SAYA selalu kesempitan wang. Walaupun bekerja, duit habis kerana membayar hutang rumah, kereta dan pelbagai komitmen dalam masa singkat. Kadang-kadang majikan lewat membayar gaji menyebabkan saya mengalami kesukaran. Saya mohon petua, apakah ada amalan menarik rezeki dan bagaimana boleh menjadikan doa seseorang itu mudah diterima Allah SWT?
Shahrin, Johor
PETUA yang saya boleh berikan adalah memperbanyakkan istighfar. Jadikan istighfar sebagai pembuka pintu rezeki kerana ia jaminan daripada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”
Mengapa Nabi Nuh meminta kaumnya beristighfar? Jawapannya, kerana kaumnya ketika itu banyak melakukan maksiat dan kafir terhadap Allah sehingga menyebabkan Allah tidak menurunkan mereka hujan dalam jangka masa yang panjang.
Bahkan, kemarau teruk melanda kaumnya menyebabkan wanita menjadi mandul. Disebabkan itu, mereka pergi kepada Nabi Nuh untuk meminta nasihat apa yang patut mereka lakukan.
Nabi Nuh akhirnya memberikan nasihat supaya mereka beristighfar kepada Allah SWT daripada dosa maksiat, syirik dan kekafiran mereka.
Al-Quran juga menyarankan ketika kita merasakan pintu rezeki seakan tertutup supaya menghadapinya dengan berusaha membuka pintu rezeki dengan istighfar kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu (daripada perbuatan syirik) dan bertaubat kepada-Nya (Jika kamu mengerjakan demikian), nescaya Dia akan memberi nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) kepadamu sampai waktu yang ditentukan dan (di akhirat pula) Dia akan memberikan kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal soleh) akan pahala kelebihan itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru haranya).”
Kisah Imam Ahmad boleh dijadikan pendorong. Diceritakan, pada akhir hayatnya, beliau tiba-tiba teringin untuk ke salah satu kota Baghdad, pada hal beliau tidak ada sebarang hajat dan keperluan untuk ke sana.
Beliau bergerak ke kota Baghdad sehinggalah sempat solat Isyak berjemaah di salah sebuah masjid di sana. Pada malam itu, beliau membuat keputusan untuk berehat dan tidur di masjid berkenaan.
Tiba-tiba siak masjid datang dan tidak mengizinkan Imam Ahmad tidur di dalam masjid. Siak masjid itu tidak mengenali wajah Imam Ahmad walaupun beliau ulama terkenal.
Beliau disuruh keluar lalu siak mengunci pintu masjid. Kemudian Imam Ahmad mengambil keputusan untuk berbaring di tepi masjid. Tiba-tiba datang lagi siak masjid tadi menghalau Imam Ahmad dalam keadaan marah-marah.
Beliau ditolak-tolak sehingga ke jalanan. Peristiwa itu disaksikan seorang penjual roti yang sedang membuat adunan. Penjual roti itu tinggal bersebelahan dengan masjid.
Dia pun memanggil Imam Ahmad dan mengajak menginap di rumahnya. Imam Ahmad duduk di belakang penjual roti itu dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai musafir.
Penjual roti itu tidak berkata apa-apa sekiranya Imam Ahmad tidak bertanya. Dia hanya meneruskan kerjanya membuat adunan roti. Tetapi Imam Ahmad memperhatikan penjual roti itu lidahnya sentiasa menyebut “Astaghfirullah” sama ada ketika meletakkan garam, memecahkan roti, mencampurkan gandum dan sebagainya.
Imam Ahmad bertanya: “Sudah berapa lama kamu membuat sebegini?” Penjual roti itu menjawab: “Sudah 30 tahun iaitu sejak saya mula-mula bekerja membuat roti.”
Imam Ahmad bertanya: “Apa hasilnya daripada perbuatan kamu ini?” Penjual roti itu menjawab: “Tidak ada hajat yang saya minta melainkan Allah SWT pasti memakbulkannya.”
Lalu penjual roti itu berkata: “Cuma satu hajat yang aku pohon belum dikabulkan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah hajat yang kamu pohon itu?”
Penjual roti itu menjawab: “Saya memohon supaya Allah mempertemukan saya dengan Imam Ahmad.”
Imam Ahmad bertakbir dan berkata: “Allahuakbar, Allah datangkan saya jauh dari Baghdad pergi ke Bashrah, bahkan sampai ditolak-tolak oleh tukang siak masjid hingga ke jalanan kerana istighfarmu.”
Penjual roti itu terkejut dan memuji Allah apabila dia mengetahui di hadapannya ialah Imam Ahmad. Begitulah besarnya kelebihan istighfar.
*Penulis ialah pendakwah
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...