TMJ merancang untuk membeli AC Milan. |
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin mencipta satu lagi sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air sekiranya hasratnya membeli kelab Itali, AC Milan menjadi kenyataan.
Cadangan itu dinyatakan TMJ dalam temubual eksklusif bersama media Singapura, The Straits Times Jumaat lalu, namun tetap menjelaskan betapa fokus utamanya kini tetap kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perlu melihat dulu keadaan sebelum membuat sebarang keputusan untuk melakukan pelaburan besar buat kelab Itali yang diminatinya sejak kecil itu.
"Saya merancang untuk membeli AC Milan, tetapi kita lihat macam mana keadaannya dulu. Saya suka Milan dan meminati kelab Itali itu sejak kecil. Tapi, fokus utama saya tetap kepada JDT. "Tapi, sekiranya saya boleh melabur untuk kelab bola sepak di Eropah, ia sudah pasti di AC Milan," kata TMJ yang turut menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.
TMJ kini sedang berusaha gigih untuk menjadikan JDT sebagai salah satu kelab yang digeruni lebih-lebih lagi dengan kemudahan latihan terbaharu yang dijangka menelan belanja RM15 juta dan stadium baharu berkapasiti 40,000 tempat duduk. Apapun, jika cadangan itu benar-benar menjadi kenyataan, TMJ bakal menjadi individu kedua yang melabur di kelab Itali selepas jutawan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad membeli kelab Serie B, Bari FC 1908.
AC Milan kini dimiliki bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang mana dikatakan sudah memberi isyarat untuk menjual kelab berkenaan. Selain itu, TMJ turut menjelaskan betapa beliau berharap dapat bekerjasama dengan kelab gergasi Itali itu pada masa hadapan.
"Kita sangat berharap dapat menjalinkan kerjasama antara JDT dan AC Milan pada masa hadapan. Sama ada ia kolaborasi secara terus atau sekadar sumbangan kecil dari kelab berkenaan," katanya. -BH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...