Friday, 29 April 2016

Facebook untung besar


SAN FRANCISCO – Facebook kelmarin merancang terus mengukuh­kan pengaruh Mark Zuckerberg (gambar) sebagai peneraju kepada rangkaian sosial yang semakin berkembang pesat dan mencatatkan keuntungan besar.

Pendapatan pada suku pertama Facebook mencatatkan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun lalu apabila melonjak kepada AS$5.4 bilion (RM21 bilion) berbanding AS$3.5 bilion (RM13.64) untuk tempoh sama pada tahun lalu.

“Kami berjaya mela­kukan permulaan yang hebat untuk tahun ini,” kata Zuckerberg yang juga Pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook.

Sementara itu, data pengguna aktif Facebook setiap bulan meningkat kepada 1.65 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mereka yang menggunakan Facebook setiap hari juga me­ningkat 16 peratus kepada 1.09 bilion dengan peningkatan besar daripada pengguna peranti mudah alih.

Laporan menunjukkan Facebook menggunakan kedudukan dominannya dalam media sosial untuk meningkatkan hasil pengiklanan kerana meng­hubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan terbaharu termasuk video secara langsung.

Facebook turut mengumumkan bahawa lembaga pengarahnya bersetuju meluluskan pelan menubuhkan kelas saham tanpa undian bagi meningkatkan modal serta membolehkan Zuckerberg mengawal visi dan hala tuju syarikat.

Pemegang saham perlu mengundi cadangan itu ketika me­syuarat pemegang saham tahunan pada 20 Jun nanti, menurut Facebook.

Langkah itu bertujuan membolehkan Zuckerberg terus kekal berkuasa di Facebook walaupun beliau memberikan sebahagian besar sahamnya untuk kebajikan seperti yang diumumkan tahun lalu bersama isteri­nya. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...