Tuesday, 4 July 2017

Qatar diberi tempoh hingga hari ini

QATAR menghadapi krisis diplomatik apabila enam buah negara Arab bertindak memutuskan hubungan pada 5 Jun lalu.

RIYADH – Qatar perlu memenuhi kata dua Arab Saudi dan sekutu-sekutunya hari ini yang mahukan negara itu bersetuju terhadap 13 tuntutan sebagai syarat untuk membatalkan sekatan diplomatik, komunikasi dan ekonomi ke atas Doha.

Tarikh akhir tuntutan itu sepatutnya tamat tengah malam kelmarin namun Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir akhirnya bersetuju memberikan masa selama 48 jam lagi supaya Doha dapat memberikan tindak balas yang positif.

Tempoh lanjutan itu diberikan bagi memenuhi permintaan Kuwait selaku orang tengah dalam krisis rantau Asia Barat itu, kata satu kenyataan bersama yang disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA.

Kerajaan Kuwait telah memohon tempoh lanjutan itu berikutan pengumuman Qatar bahawa ia akan menyerahkan keputusannya kepada pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah semalam.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Yemen, Libya dan Mesir mengumumkan hubungan diplomatik dengan Qatar diputuskan sekali gus mencetuskan krisis diplomatik terburuk di rantau Asia Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Keempat-empat negara itu mendakwa Doha menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran, seteru serantau Arab Saudi, namun Qatar menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...