Saturday, 1 July 2017

PBB dilarang masuk Myanmar

GAMBAR fail menunjukkan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi.

YANGON - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan dibenarkan memasuki dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan penindasan yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk Rohingya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar, Kyaw Zeya di Nayphidaw, hari ini.

“Jika mereka (PBB) tetap dengan pendirian untuk menghantar mana-mana individu bagi menjayakan misi siasatan ini, maka tidak ada sebab untuk kami membenarkan mereka masuk,” katanya.

Tambah Kyaw Zeya, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan sebarang visa kemasukan ke Myanmar kepada individu atau kakita­ngan yang dilantik untuk misi itu.

Myanmar menerusi Menteri Luarnya, Aung San Suu Kyi sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan misi anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu itu.

Walaupun tidak menjaga perihal ketenteraan, Suu Kyi yang juga Kaunselor Myanmar tetap dikritik kerana gagal membela nasib lebih sejuta penduduk Islam Rohingya di Rakhine, barat negara ini.

Dalam kunjungannya ke Sweden bulan ini, pemimpin itu mendakwa, misi PBB itu hanya akan ‘memburukkan permusuhan’ antara pelbagai kaum di Myanmar ketika ini.

Sementara itu, Kyaw Zeya menganggap tindakan PBB mengenakan tekanan terhadap negaranya berhubung isu itu sebagai tidak wajar.

“Tindakan ini sebenarnya tidak akan membantu usaha kami untuk menyelesaikan isu Rohingya ini menggunakan pendekatan yang lebih holistik,” ujar beliau. – REUTERS

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...