KAJIAN terkini pakar perubatan mendapati tiga cawan kopi sehari mampu memanjangkan umur selain mengurangkan risiko kematian akibat pelbagai penyakit. |
MIAMI – Penggemar kopi pasti teruja dengan dua hasil kajian antarabangsa yang mendedahkan minuman tersebut mampu membantu mereka untuk hidup lebih lama.
Laporan kajian penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Annals of Internal Medicine menunjukkan wujud kaitan antara tabiat minum kopi dan kecenderungan memiliki umur yang panjang.
Kajian pertama bersifat pemerhatian diketuai oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) dan Imperial College London, mengkaji lebih daripada setengah juta penduduk di 10 buah negara di Eropah yang turut disifatkan sebagai analisis terbesar mengenai kesan minum kopi dalam populasi di benua itu.
Menurut kajian berkenaan, mereka yang minum kira-kira tiga cawan kopi sehari cenderung hidup lebih lama berbanding individu lain yang tidak menggemari minuman tersebut.
“Kami mendapati pengambilan kopi yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah daripada sebarang sebab khususnya melibatkan masalah peredaran darah dan pencernaan.
“Paling penting, keputusan itu adalah sama di semua 10 negara Eropah, walaupun dengan tabiat minum kopi dan adat resam yang berbeza,” jelas Ketua Penyelidik IARC, Marc Gunter.
Kajian kedua melibatkan lebih daripada 180,000 responden pelbagai latar belakang etnik di AS pula menemukan manfaat untuk umur yang panjang sama ada kopi itu berkafein atau sebaliknya.
Kajian itu mendapati penggemar kopi mempunyai risiko kematian yang lebih rendah akibat penyakit jantung, kanser, strok, diabetes, masalah pernafasan dan buah pinggang.
Mereka yang minum satu cawan sehari juga didapati 12 peratus kurang berkemungkinan berdepan risiko penyakit berbanding dengan mereka yang tidak minum kopi dan jumlah tersebut meningkat kepada 18 peratus bagi mereka yang minum dua atau tiga cawan sehari. – AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...