KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang menggubal satu akta khusus berkaitan kesalahan perbuatan stalking atau menghendap oleh bekas pasangan suami atau isteri.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar) berkata, peruntukan kesalahan tersebut tidak boleh dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.
Bagaimanapun beliau memberitahu, pada masa ini perbuatan menghendap mangsa keganasan rumah tangga termasuk melalui media-media sosial yang mengandungi elemen jenayah sahaja dianggap satu kesalahan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.
Katanya, ia berikutan pindaan Akta 521 itu perlu dibaca bersama Kanun Keseksaan yang tidak meletakkan perbuatan tersebut sebagai satu kesalahan.
“Di bawah pindaan akta ini, tafsiran keganasan rumah tangga meletakkan kesalahan sekiranya ada elemen jenayah melalui menghendap seperti mengugut termasuk berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga tentang mangsa untuk mengaibkan kehormatannya melalui apa-apa cara, elektronik atau sebaliknya.
“Namun, kerajaan akan mengikuti perkembangan stalking ini dan akan mempertimbangkan untuk menggubal akta khusus mengenainya melalui sokongan pelbagai pihak supaya ia dijadikan satu kesalahan jenayah pada masa akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...