Friday, 14 July 2017

Profesor dari Korea bangunkan papan kekunci jawi

Prof. Dr. Kang Kyoung Seok

BUKIT MERTAJAM - Cinta yang mendalam terhadap tulisan jawi menyebabkan Prof. Dr. Kang Kyoung Seok memasang impian untuk membangun dan mengeluarkan papan kekunci khas bertulisan jawi.

Dekan Fakulti Asia Tenggara di Daegu University of Foreign Stu­dies (DUFS) Korea Selatan itu menyasarkan untuk merealisasikan impiannya itu pada 2019.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah menunjukkan minat untuk membangunkan papan kekunci itu yang akan menjadi pertama seumpamanya di dunia.

“Ketika ini projek tersebut berada pada fasa terakhir dan saya yakin dapat dikeluarkan selewat-lewatnya pada 2019 sekali gus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dengan adanya papan kekunci itu, tulisan jawi akan terus dimartabatkan serta dikembangkan ke serata pelusuk dunia,” katanya da­lam temu bual eksklusif bersama Utu­san Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kyoung Seok, 62, memperkenalkan pengajian dalam kebudayaan Melayu terutama tulisan jawi di DUFS pada tahun lalu turut menjalankan kajian mengenai ilmu jawi atau Jawiology melalui Pusat Antarabangsa Jawiology di universiti tersebut.

Selain itu, beliau turut berhasrat mencipta mesin pengimbas yang boleh menterjemah tulisan jawi kepada pelbagai bahasa dan percaya teknologi itu dapat membantu peminat tulisan jawi sepertinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, idea tersebut timbul selepas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad pernah mendedahkan terdapat 4,600 manuskrip Melayu lama bertulisan jawi lama yang masih belum terusik untuk dilakukan 
sebarang kajian atau usaha-usaha untuk menterjemahkannya ke dalam tulisan rumi.

“Ada yang menganggap saya gila apabila terlalu taksub dengan tulisan jawi sehingga sanggup me­rantau ke Malaysia ketika ramai rakan saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat atau England.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini pada 1984, saya terus jatuh cinta dengan tulisan jawi dan membolehkan saya kini diiktiraf sebagai pakar jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Kyoung Seok berkata, beliau amat menghargai usaha Utusan Malaysia memperkenalkan semula penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan bertulisan jawi dalam versi cetak di Johor melalui tajaan Johor Corporation (JCorp).

Namun, pada masa sama, beliau melahirkan kebimbangan apabila generasi muda di negara ini yang semakin melupakan tulisan bangsa sendiri selain khuatir berlaku ketandusan generasi yang mampu menguasai tulisan jawi.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...