Friday, 28 July 2017

Pesta kaut beras di Tanjong Karang

Orang ramai berpusu-pusu mengutip beras yang tumpah di atas jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong, Tanjong Karang malam kelmarin.


TANJONG KARANG – Puluhan penduduk dan pengguna jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong di sini tanpa rasa bersalah berpesta mengaut beras yang tumpah di atas jalan raya sehinggakan ada yang sanggup membawa lori sendiri malam kelmarin.

Walaupun pemandu dan pihak berkuasa menghalang perbuatan tersebut, namun jumlah orang yang terlalu ramai menyebabkan 28 tan beras licin hanya dalam tempoh empat jam.

Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu berlaku ketika sebuah treler jenis Scania membawa muatan beras dalam guni seberat 40 tan metrik sedang dalam perjalanan dari Setiawan, Perak menuju ke Senai, Johor.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, muatan beras yang dibawa menjadi tidak stabil ketika melalui jalan yang rosak sebelum puluhan guni beras tumpah dan terjatuh di atas jalan raya.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.

Pemandu treler, Risat Abd. Rahim, 43, mendakwa, kejadian itu berpunca daripada faktor jalan raya yang mendap berikutan kerja-kerja pembinaan serta naik taraf jalan persekutuan di kawasan berkenaan.

Dakwa Risat, dia memandu kenderaan berat itu dengan agak perlahan berikutan keadaan jalan yang rosak sebelum muatan beras yang dibawanya tiba-tiba menjadi tidak stabil dan terjatuh di atas jalan raya.

“Saya kemudian berhenti di tepi jalan untuk mengelakkan treler saya terus senget dan terbalik.

“Tetapi saya tidak sangka, tiba-tiba orang ramai menyerbu kawasan kejadian. Saya kesal, tindakan orang ramai mengutip beras yang tumpah tanpa rasa bersalah walaupun saya dan pihak polis telah menghalang mereka.

“Malah, ada yang sanggup membawa lori satu tan untuk mengaut beras yang tumpah itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...