PENDUDUK Palestin mengerjakan solat di Bandar Lama, dekat pekarangan Masjid Al-Aqsa kelmarin. |
BAITULMUQADDIS – Seorang penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadualkan tiba di Israel semalam untuk membantu mengurangkan ketegangan berhubung langkah keselamatan baharu Rejim Zionis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Lawatan Jason Greenblatt itu menyusul selepas keganasan berdarah di pekarangan Masjid Al-Aqsa atau dikenali sebagai Temple Mount oleh orang Yahudi hujung minggu lalu.
“Greenblatt berlepas ke Israel malam kelmarin ekoran kebimbangan lebih banyak keganasan akan berlaku.
“Beliau akan berusaha meredakan ketegangan di rantau itu,” kata seorang pegawai AS yang enggan identitinya didedahkan.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan mengadakan rundingan tertutup pada hari yang sama bagi membincangkan keganasan yang makin memuncak di Baitulmuqaddis.
Rundingan tergempar itu dipanggil oleh Mesir, Perancis dan Sweden.
Israel memasang alat pengesan logam di beberapa pintu masuk ke lokasi tersebut termasuk Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu susulan serangan pada 14 Julai lalu yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.
Penduduk Palestin bagaimanapun menganggap langkah Israel itu sebagai cubaan Rejim Zionis untuk menguasai pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Sebagai protes, warga Palestin enggan memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa dan mengerjakan solat di jalan-jalan di luarnya.
Pihak berkuasa Israel memberi alasan bahawa alat pengesan logam itu diperlukan kerana penyerang dalam insiden pada 14 Julai lalu menyeludup masuk pistol ke pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Bantahan terhadap langkah keselamatan Israel itu mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan tujuh warga Palestin terbunuh.
Terdahulu, ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit menuduh Israel bermain api dengan melaksanakan langkah keselamatan baharu itu, manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan pemasangan alat pengesan itu sebagai menghina umat Islam. – AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...