Wednesday 12 July 2017

Dua beranak ditahan SPRM

Di pejabat MISDEC di Batu Berendam, Melaka inilah dua beranak ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang RM4 juta.

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) negeri menahan dua pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) yang merupakan anak-beranak bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan duit agensi tersebut berjumlah RM4 juta.

Kedua-dua beranak yang berusia 76 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat MISDEC di Batu Berendam di sini kira-kira pukul 1 petang semalam.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, mereka masing-masing yang memegang jawatan sebagai Pengurus Eksekutif dan seorang lagi Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan MISDEC disiasat berkaitan kes menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan serta memindahkan kira-kira RM4 juta wang MISDEC ke akaun syarikat mereka dalam tempoh 2014 sehingga 2015.

“Hasil siasatan SPRM mendapati pemindahan wang milik MISDEC ke akaun syarikat dimiliki kedua-dua beranak itu dilakukan menerusi beberapa keping cek yang nilainya mencecah lebih kurang RM4 juta.

“Mereka ditahan di Melaka hari ini (semalam) dan SPRM te­lah menyita wang hampir RM600,000 dalam akaun sebuah syarikat,” katanya.

MISDEC yang ditubuhkan pada 1994 merupakan sebuah entiti pendidikan yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...