Sunday 23 July 2017

Jokowi arah tembak pengedar dadah



JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (gambar) mengarahkan anggota penguat kuasa menembak mati pengedar dadah bagi memerangi ancaman narkotik yang semakin serius di negara itu.

“Bertindak tegas, terutama kepada pengedar dadah asing yang masuk negara ini. Tangkap dan tembak mereka kerana kita sekarang berada dalam keadaan kecemasan narkotik,” ujar Joko semasa berucap pada majlis anjuran sebuah parti politik di sini malam kelmarin.

Kenyataannya itu telah dibandingkan kepada tindakan sama yang dilakukan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang me­lancarkan perang antidadah kira-kira setahun lalu sehingga menyaksikan ribuan pengedar dadah dibunuh.

Kempen berdarah di Filipina itu telah mencetuskan kritikan daripada komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Indonesia turut mempunyai undang-undang keras dalam memerangi dadah. Joko sebelum ini dikritik kerana memerintahkan hukuman tembak terhadap pengedar dadah yang dihukum mati oleh mahkamah.

Aktivis hak asasi manusia dan sebilangan agensi kerajaan telah meminta Indonesia menghapuskan hukuman mati.

Arahan tembak mati daripada Joko itu dikeluarkan beberapa minggu selepas polis Indonesia menembak mati seorang warga Taiwan dalam serbuan di bandar berdekatan Jakarta.

Lelaki tersebut yang merupakan anggota kumpulan yang cuba menyeludup 1 tan dadah jenis methamphetamine ke negara itu terbunuh ketika cuba bertindak balas semasa ditahan.

Selepas insiden itu, Ketua Polis Negara, Tito Karnavian dipetik oleh media mengatakan bahawa beliau telah memerintahkan semua pegawai polis agar tidak teragak-agak menembak pengedar dadah yang cuba mengelak daripada ditangkap. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...