Monday, 13 June 2016

'Niat ada, tetapi belum bersedia...'

Gambar Acapan yang tersebar pagi tadi. 
"Saya belum bersedia memeluk Islam, tetapi sudah lama mendalami agama ini," kata pelakon dan pelawak, Acapan, 58, ketika diminta mengulas dakwaan dia sudah memeluk Islam di surau di Jenderam Hilir, Sepang, Selangor, semalam.

Acapan atau nama sebenarnya R Samynathan ketika dihubungi berkata, berita yang tersebar itu membuatkan dia terkejut dan tidak menyangka kunjungannya ke surau berkenaan menjadi ‘viral’ di laman sosial pagi tadi.

Menurut Acapan, dia memang berada di situ semalam bagi memenuhi jemputan berbuka puasa daripada beberapa kenalan.

Katanya, pada masa sama, mereka mahu mempertemukannya dengan seorang pendakwah.

"Saya tahu, dalam perkara ini (memeluk Islam) perlu lahir daripada hati yang ikhlas. Saya tidak mahu masuk Islam kerana terpaksa.

“Saya akui niat untuk memeluk Islam itu sudah lama ada dan saya juga sudah mendalami ajaran Islam bertahun-tahun lamanya," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu siapa yang menyebarkan gambar dan video berkenaan.

“Saya akui mereka memang mengharapkan saya memeluk Islam, tetapi buat masa sekarang saya belum bersedia,” katanya.

Acapan berkata, berita yang tersebar membuatkan dia dihujani pertanyaan daripada keluarga yang turut terkejut.

Terdahulu, gambar Acapan bersama beberapa individu yang didakwa sudah memeluk Islam tersebar di laman sosial sejak pagi tadi.

Berdasarkan apa yang dikongsi, Acapan dikatakan memilih nama Muhammad Ramadhan sebagai nama Islamnya. -myMetro

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...