KAPAL perang jenis Strategic Sealift Vessel buatan PT PAL Indonesia merupakan produk utama yang dilengkapi sistem persenjataan canggih dan terkini. |
Sambil membawa buku catatan kecil dan pen hitam, seorang lelaki bertubuh sedikit berisi yang bertopi putih kelihatan melangkah laju menuju ke dek kapal.
Pemuda yang memakai baju seragam biru itu menghampiri dua pekerja yang sedang merapikan ikatan tali di sisi dek.
“Ikat kuat-kuat, jangan sampai tercabut. Pastikan ikatan-ikatan itu kemas,” ucap pemuda itu.
Pemuda yang dikenali sebagai Satriyo Bintoro itu merupakan seorang individu yang bertanggungjawab menyiapkan kapal perang BRC Tarlac 601 daripada syarikat Penataran Angkatan Laut Indonesia (PT PAL Indonesia) di Surabaya, Indonesia. Mereka perlu menghantarkan kapal itu ke Pelabuhan Manila di Filipina.
Kapal perang BRC Tarlac 601 berlepas dari Surabaya pada 8 Mei lalu dan tiba pada 13 Mei selepas membelah lautan selama kira-kira lima hari empat malam.
Sebelum belayar, Satriyo atau lebih mesra dipanggil Pak Bin menghimpunkan semua pegawai yang telah diberikan tugasan untuk menghantar kapal itu ke Filipina.
“Walaupun berasal daripada pelbagai bidang berlainan, kita di atas kapal ini merupakan satu kumpulan. Laksanakan tugas kamu dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan peranan masing-masing agar kapal ini selamat tiba di Filipina,” ujarnya memberi semangat kepada ratusan pegawainya.
Setelah memeriksa identiti dan memastikan pasport semua awak-awak lengkap, dia kembali menjalankan tugas rutin di atas kapal.
Bagaimanapun, perasaan khuatir muncul daripada raut wajahnya apabila pasport milik lapan orang petugas di bahagian dapur masih belum diserahkan.
“Kita semua tidak akan berlepas sekiranya ada seorang yang tidak membawa pasport. Kita akan tunggu sehingga semuanya lengkap,” kata pemuda yang bertugas sebagai Pengurus Unit Niaga PT PAL Indonesia itu.
Tidak lama selepas itu, lapan pasport milik petugas bahagian dapur diserahkan kepadanya.
Sepanjang perjalanan, Pak Bin tetap mundar-mandir ke sana dan ke mari bagi memastikan semua kerja yang belum selesai dapat disempurnakan dengan baik sebelum mereka tiba di Pelabuhan Manila.
“Sangat penting untuk kita tunjukkan hasil kualiti kerja yang terbaik kepada Filipina,” kata Pak Bin.
Di bahagian mesin, bahagian dalaman dan setiap inci kapal perang BRC Tarlac 601 diperiksa Pak Bin dengan begitu teliti sehinggakan waktu rehatnya hanya selepas mesyuarat dengan pegawai.
Tindakan itu bagi memastikan tugasan kerja seharian sudah selesai dan rancangan untuk hari esok disiapkan.
Buatan tempatan
Kapal perang Tarlac jenis Strategic Sealift Vessel (SSV) merupakan kapal perang pertama buatan PT PAL Indonesia yang dieksport ke luar negara.
Keistimewaannya, kapal yang ditempah oleh Kementerian Pertahanan Filipina itu bukan dibuat oleh unit kapal perang PT PAL Indonesia tetapi ia dibina oleh unit kapal komersial.
“Walaupun kami bukan daripada unit kapal perang, kami tetap bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain. Apa yang penting, kapal ini adalah buatan anak Indonesia,” kata pemuda kelahiran Surabaya itu.
Menurut Pak Bin, pada awalnya, kapal jenis SSV itu sememangnya memerlukan dok atau limbungan yang panjang iaitu minimum 150 meter.
Bagaimanapun, di PT PAL Indonesia, dok seperti itu hanya dimiliki oleh unit kapal komersial. Berikutan masalah ini, projek berkenaan diserahkan kepada pihaknya.
Selain itu, disebabkan BRC Tarlac 601 memiliki panjang 123 meter dan lebar 21.8 meter, maka proses pembuatannya perlu dilakukan di Pelabuhan Semarang yang dimiliki oleh unit kapal komersial.
Tetamu undangan memerhatikan kapal perang BRC Tarlac 601 sebelum belayar di Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia. |
“Terdapat satu lagi pelabuhan iaitu di Irian, namun ia berperanan untuk membaiki kapal komersial atau kapal perang yang rosak. Oleh itu, pihak syarikat memutuskan untuk menyiapkan kapal tersebut di Pelabuhan Semarang,” jelasnya.
Keputusan itu tidak mematahkan semangat unitnya, bahkan ia menjadi satu cabaran kepada mereka untuk mengeluarkan produk kapal perang.
Lulusan Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) PAL itu mengakui, projek yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun tersebut hampir terbengkalai seketika.
Seramai 936 pekerja dikerahkan untuk menyiapkan sebuah kapal perang dengan bantuan pihak ketiga daripada subkontraktor sehingga semua proses selesai.
“Subkontraktor diberikan tugas-tugas tertentu untuk pemasangan alat pemanas dan kebersihan. Kami sudah lama menjalinkan kerjasama dan sebelum ini, kami berpuas hati dengan kerja-kerja mereka,” jelasnya.
Tambah Pak Bin, sejak kewujudan unit kapal komersial pada 1990-an itu, sudah lebih daripada 100 kapal yang dibangunkan dan mendapat tempahan daripada pelbagai negara seperti Jerman, Turki, Hong Kong serta Indonesia.
Tepati waktu
Tempoh yang diberikan kerajaan Filipina untuk menyiapkan dan menghantar kapal perang BRC Tarlac 601 adalah selama dua tahun daripada tarikh tempahan iaitu pada 13 Mei 2014.
“Apa yang penting, sebelum pukul 12 tengah malam waktu tempatan, fizikal kapal itu perlu berada di Pelabuhan Manila. Selama lima hari dari Surabaya ke Manila, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau sendiri mengakui mesin kapal perang BRC Tarlac 601 sememangnya dilengkapi dengan teknologi terbaharu sehinggakan semua jurumudi berasa lebih mudah mengendalikan.
“Produk kapal keluaran PT PAL Indonesia memang diakui mempunyai kualiti yang baik dalam dunia pelayaran, bahkan beberapa negara juga mengakui ketahanan mesinnya,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, pihak syarikat ingin membuktikan kepada dunia bahawa Indonesia mampu menyiapkan kapal dalam tempoh waktu yang ditetapkan dan menjadi kebanggaan jika berjaya.
Selain itu, syarikat juga berharap kejayaan pembuatan kapal perang BRC Tarlac 601 menjadi penggerak utama kebangkitan kepada kejayaan PT PAL Indonesia, sekali gus sebagai bukti bahawa Indonesia bukan sahaja hebat dalam menguruskan sumber laut tetapi cemerlang dalam menyediakan peralatan persenjataan di laut.
“Usaha ini sesuai dengan azam Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menggambarkan negara itu sebagai sebuah negara hab maritim,” kata Pak Bin yang menjawat jawatan nombor satu di unit kapal komersial itu pada tahun 2014.
Di satu sudut lain, meskipun belum genap dua tahun menggalas jawatan itu, kualiti kerjanya diakui sangat baik.
Berbekalkan pendidikan selama hampir empat tahun di SMK PAL, ditambah lagi pendidikan peringkat Sarjana Jurusan Elektrik di Jerman selama setahun setengah, keterampilannya mampu menjadikan ia sebagai seorang pemimpin yang disegani.
“Saya akui, kualiti kerja dan kepimpinan yang ditunjukkan Pak Bin memang hebat dan dia berjaya menggalas tugas dengan baik walaupun baru memegang jawatan itu,” kata Pengarah Produksi PT PAL Indonesia, Edi Widarto.
Bukan itu sahaja, pujian berdasarkan hasil produksi kapal yang diketuai Pak Bin juga diungkapkan perwakilan daripada Filipina, Francis Alexander R. Jose yang turut serta dalam rombongan penghantaran tersebut.
“Setelah mencuba kelajuan maksimum kapal iaitu 16 knot, kapal tetap stabil dan kami akui kapal ini memang canggih serta berkualiti tinggi,” kata Jose. -Kosmo!
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...