Wednesday 8 June 2016

Makanan tinggi kandungan garam, gula, lemak pengaruhi minda kanak-kanak

Setiap makanan bukan sahaja bakal memberikan kesan positif atau negatif kepada tubuh badan, malah mempengaruhi tahap kesihatan, tingkah laku dan kemahiran berfikir seseorang kanak-kanak.

KUALA LUMPUR - Makanan yang mengandungi kandungan garam, gula, lemak dan karbohidrat terlalu tinggi boleh menjadikan kanak-kanak sama ada terlalu aktif ataupun sebaliknya, terlalu lesu, menurut seorang pakar pemakanan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Dr. Norazmir Md. Nor berkata, kebiasaannya makanan yang diproses, diawet serta mengandungi bahan perisa tambahan seperti monosodium glutamate (MSG) mengandungi kadar garam, gula, lemak dan karbohidrat yang tinggi.

“Jika dibiarkan kanak-kanak makan, makanan tersebut boleh mempengaruhi tingkah laku dan pembentukan minda mereka.

“Setiap makanan bukan sahaja bakal memberikan kesan positif atau negatif kepada tubuh badan, malah mempengaruhi tahap kesihatan, tingkah laku dan kemahiran berfikir seseorang kanak-kanak,” katanya.

Beliau memberikan beberapa contoh termasuk susu segar yang mengandungi sumber kalsium dan mineral yang baik untuk kesihatan gigi, madu yang dipercayai baik untuk meredakan batuk dan lelah selain mengekalkan kecergasan tubuh badan, manakala kismis pula mempunyai kandungan gula semulajadi mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak serta mampu merangsang minda kanak-kanak. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...