Wednesday 1 June 2016

Malaysia tawar dua aspek kepakaran kepada Jepun

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan cenderahati kepada Shinzo Abe ketika melakukan kunjungan hormat di pejabat Perdana Menteri Jepun itu di Tokyo, semalam.
TOKYO 31 Mei – Malaysia sedia membantu Jepun mendapatkan kepakaran dalam menangani ancaman militan dan menjayakan industri halal memandangkan negara Matahari Terbit itu sudah bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesediaan Malaysia itu dinyatakan hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di pejabat Perdana Menteri itu, hari ini.

Beliau berkata, Jepun telah menyatakan hasrat untuk mempelajari kejayaan Malaysia yang berpengalaman luas dalam menangani ancaman militan sejak Zaman Darurat lagi hingga kini.

Di samping itu, katanya, kemampuan serta piawaian Malaysia menyediakan industri halal juga menarik perhatian Jepun dan kedua-dua kejayaan itu (menangani ancaman militan dan industri halal) boleh membantu Jepun menjayakan Sukan Olimpik 2020.

Jelasnya, Jepun mahu Sukan Olimpik 2020 berlangsung de­ngan sempurna termasuk menghindarkan ancaman militan dan pengganas Negara Islam (IS) di samping kehadiran ramai atlet beragama Islam memerlukan penyediaan makanan halal.

Beliau berkata, kerajaan Jepun tidak mahu ada anasir luar cuba menyusup masuk ketika Sukan Olimpik 2020 berlangsung yang akan mengancam keselamatan atlet.

“Dalam hal ini, kita sedia bertukar-tukar maklumat risikan bagi menangani ancaman militan.

“Mengenai industri halal, Jepun berpandangan lebih jauh bahawa industri tersebut dapat menjadi pasaran yang lebih luas dan terbuka. Ini terbukti apabila ada syarikat Jepun melabur jutaan ringgit dalam industri wangian halal di Malaysia selain jumlah penduduk Islam dunia dijangka mencecah 2.8 bilion menjelang 2050.

“Jepun juga kagum dengan piawaian industri halal Malaysia termasuk peranan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Perbada­nan Pembangunan Halal (HDC).

“Malaysia setuju membantu Jepun termasuk menyediakan kepakaran dalam dua aspek ini termasuk melatih pegawai-pegawai Jepun,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun yang bermula sejak kelmarin.
Sebelum itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso di sini.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Halal Malaysia (MHM) berkata, Malaysia juga sedia memudahkan segala urusan pelaburan kepada Jepun yang berminat menambah pe­laburan di Malaysia.

Menjawab pertanyaan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia-Singapura, Ahmad Zahid berkata, Malaysia amat menghargai minat Jepun untuk menyertai tender terbuka projek berkenaan.

“Bagi Malaysia, selepas perjanjian HSR itu ditandatangan dengan Singapura, kita akan umumkan tender terbuka kepada mana-mana negara yang berminat,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menegaskan, mana-mana ahli UMNO yang bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai calon Bebas, akan diambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti.

Katanya, tindakan itu termasuk mereka akan hilang keahlian kerana tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip parti.

Malah kata beliau, tindakan digugurkan sebagai ahli parti juga sejajar dengan dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Kita tidak halang mana-mana ahli yang sengaja mahu bertanding sebagai calon Bebas di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Ini negara demokrasi dan itu hak masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...