Wednesday 8 June 2016

Aragvi imbau kenangan Kesatuan Soviet

SEORANG cef di restoran Aragvi menunjukkan cara pembuatan hidangan khinkali.
TEMPAT makan popular dalam kalangan perisik Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti (KGB) dan angkasawan Rusia iaitu restoran Aragvi di Moscow telah dibuka semula, sekali gus mengimbau kembali zaman kegemilangan Kesatuan Soviet.

Restoran mewah yang mula beroperasi pada 1938 di Jalan Tverskaya itu dibaik pulih dengan kos berjumlah AS$20 juta (RM83 juta).

Asalnya, restoran itu dibuka atas inisiatif ketua keselamatan terkenal sewaktu pemerintahan Joseph Stalin, Lavrenti Beria untuk kegunaan para pegawai daripada agensi KGB iaitu ejen perisik Kesatuan Soviet.

Ia bertambah popular menjelang 1960-an ketika era pemerintahan pegawai Nikita Khrushchev yang mengurangkan penindasan terhadap masyarakat. Ketika ini, Aragvi cukup popular dalam kalangan artis.

Walaupun harga makanan di Aragvi mahal dan hanya boleh diakses oleh golongan elit, ia tetap diabadikan dalam kesusasteraan Kesatuan Soviet dan filem.

Malah, para pelanggan juga perlu membayar satu persepuluh daripada gaji bulanan mereka untuk memperoleh keistimewaan makan bersama artis, angkasawan, pembuat filem dan juara catur.

“Menceritakan kemasyhuran ayam Agravi yang dipanggang dengan kacang dan bawang putih seumpama seseorang itu menjadi ahli kumpulan elit dalam Kesatuan Soviet. Ia sangat sedap,” ujar bekas anggota KGB, Nelli Maxiova, 83.

Pada 1943, penyair terkenal, Sergey Mikhalkov turut memberi penghormatan kepada Aragvi kerana berjaya memberi ilham kepadanya menulis lagu kebangsaan Kesatuan Soviet yang baharu.

Begitupun, menjelang 1991 iaitu selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, restoran itu telah diswastakan dan bertukar tangan beberapa kali.

Situasi itu telah menghilangkan ciri-ciri asal yang ada pada Aragvi sebelum ia ditutup pada 2003.

Bagi pemilih baharu, Kumpulan Tashir dan Gor Nakhapetyan yang mengeluarkan dana bagi memulihkan restoran itu berhasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan salah satu legenda Kesatuan Soviet.

ARAGVI masih mengekalkan imej restoran mewah
seperti pada peringkat awal penubuhannya.
“Sudah tentu kami mahu menghidupkan semula nostalgia pada zaman dahulu,” ujar Nakhapetyan yang membesar di bekas negara jajahan Kesatuan Soviet, Armenia.

Antara menu baharu yang diperkenalkan di restoran itu ialah hidangan klasik Georgia seperti khinkali iaitu pau yang berisi daging, khcahapuri (roti dengan keju di atasnya) dan sajian lain misalnya borscht dan black sea herring pate.

Menu popular

Salah satu menu Georgia popular di Aragvi ialah hearty georgian iaitu sup yang diperbuat daripada daging kambing dan walnut.

Malah, nama restoran itu turut diambil sempena sungai di Georgia di sebelah sebuah hotel yang pernah diduduki oleh Leo Tolstoy dan Anton Chekhov.

Bilik makan utama di restoran itu turut dicat dengan warna Kesatuan Soviet berserta imej bekas jagung, traktor dan pekerja ladang. Bilik itu juga pernah digunakan oleh Lavrentiy Beria.

Sewaktu era Stalin, restoran itu terkenal dengan menu satsivi atau ayam sejuk dalam sos kacang yang dihidangkan dalam gerabak kereta api khas dari Tbilisi.

Menurut pengacara televisyen dan penulis buku berkaitan Kesatuan Soviet, Leonid Parfyonov, sewaktu pemerintahan Stalin, makanan Georgia sering dihidangkan di Kremlin dan menjadi hidangan popular dalam kalangan anggota Kesatuan Soviet.

“Walaupun selepas kematian Stalin, makanan tradisi Georgia seperti berempah dan wain masih kekal dan Aragvi merupakan simbol kepada gaya mewah Soviet,” ujar Parfyonov.

Namun, Aragvi juga menjadi tempat kepada agenda jahat Kesatuan Soviet. Ia telah dijadikan bilik melepak kepada pegawai KGB sambil merekrut ejen baharu. Setiap bilik makanan di restoran itu turut dipasang mikrofon tersembunyi.

“Bagi KGB, Aragvi sentiasa menjadi tempat pilihan merekrut ejen dan parti perpisahan bagi ejen-ejen yang akan dihantar ke luar negara,” ujar bekas ketua KGB ketika menentang Britain, Mikhail Lyubimov.

Dia juga masih mengingati peristiwa sewaktu bos KGB menghantarnya ke Aragvi secara tidak formal untuk bertemu dua ejen baharu dalam jabatan itu sekitar 1960.

“Pernah satu ketika, kami semua sedang minum dan salah seorang daripada pegawai telah menjemput seorang wanita cantik untuk menari.

“Tanpa kami sedari, wanita itu adalah seorang perisik Amerika Syarikat yang diekori oleh KGB,” katanya.

Selepas restoran itu dibuka semula, buku tetamu penuh dengan mesej nostalgia: “Bawa balik resipi lama dan perapan daging sama seperti yang pernah anda buat.”

Hidangan utama di Aragvi adalah sekitar AS$12.50 (RM52) hingga AS$27 (RM112) dan ia tidak jauh bezanya dengan harga-harga hidangan di restoran Barat lain. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...