Wednesday 29 June 2016

Putrajaya akan miliki jambatan glulam terpanjang

PUTRAJAYA 28 Jun - Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menggerakkan projek pembinaan jambatan pejalan kaki glulam (glued-laminated timber) terpanjang di negara ini bermula bulan depan.
Dr. Abdul Rahim Nik

Jambatan bernilai RM3 juta yang dibiayai MTC itu akan menghubungkan Presint 1 dan Presint 16, di sini.

Dengan jarak 47 meter dan keluasan tiga meter, jambatan yang akan diperbuat daripada spesies kayu tempatan itu dijadualkan siap pembinaannya pada Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik berkata, selain membiayai kos pembinaan jambatan tersebut, pihaknya turut membiayai kos pencahayaan dan landskap.

Katanya, glulam merupakan produk kayu berkekuatan tinggi yang terdiri daripada lapisan-lapisan kayu yang dilekatkan bersama bahan pelekat yang tahan lama serta kalis cecair.

“Teknologi melibatkan glulam membolehkan kayu-kayu besar diubah dan dibengkok kepada pelbagai saiz dan bentuk.

“Projek ini akan memperkasakan usaha MTC dalam menggalak serta mempromosikan penggunaan kayu dan juga berkongsi teknologi kejuruteraan kayu dalam kalangan pembina di samping mewujudkan kerjasama dengan PPj,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian selepas beliau dan Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung projek berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasim berkata, PPj akan mengkaji penggunaan sistem pencahayaan khas dalam usaha menyerlahkan kecantikan jambatan berkenaan selain menjaga habitat burung di kawasan sekitar.

“Saya teruja dengan kerjasama dengan pihak MTC ini. Jambatan pejalan kaki ini akan memanfaatkan penduduk sekitar. Ia memendekkan jarak perjalanan,” katanya.

Syarikat myGlam Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek pembinaan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...