Wednesday 1 June 2016

Penjara Pokok Sena jual kuih hasil tangan banduan

PENGARAH Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara, Ahmad Faudzi Awang (tiga dari kanan) bersama pegawainya melancarkan Promosi Kuih Raya di Penjara Pokok Sena.
POKOK SENA: Seramai 30 banduan Penjara Pokok Sena berganding bahu menyiapkan tempahan kuih muih sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus mencapai sasaran hasil jualan melebihi RM350,000. 

Pengarah Penjara Negeri Kedah, Ahmad Fauzi Awang, berkata Penjara Pokok Sena adalah penjara yang berjaya mengeluarkan hasil produktiviti yang paling banyak dan turut mendapat tempahan daripada pelbagai pihak. 

Katanya, sasaran yang dibuat adalah berdasarkan rekod tahun lalu apabila Penjara Pokok Sena menerima tempahan bernilai sebanyak RM300,000. 

"Tempahan yang dibuka kali ini membabitkan 27 jenis kuih muih termasuk tiga ciptaan baharu yang sering menjadi pilihan tempahan oleh pelanggan. "Tiga jenis kuih baharu iaitu biskut shandong, biskut valvet merah dan kuih kapal terbang. 

Selain itu, pelbagai kek turut ditawarkan seperti kek keju, kek lapis asam, kek oreo dan kek buah," katanya. Beliau berkata pada sidang media di Majlis Perasmian Promosi Kuih Raya 2016 di Galeri Vokasional dan Industri Penjara Pokok Sena di sini hari ini. 

Ahmad Fauzi berkata, pihaknya mengalu-alukan pelanggan untuk membeli secara pukal kerana label tidak diletakkan supaya kuih muih mudah dijual. 

"Pelanggan juga boleh membuat tempahan awal seminggu sebelum tarikh hari raya dengan harga yang lebih murah antara 25 hingga 35 peratus berbanding harga pasaran," katanya. -BH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...