Thursday 9 June 2016

Tarik balik pembekuan jawatan baharu sektor awam

Datuk Azih Muda
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan penjawat awam dengan tidak membenarkan pewujudan jawatan baharu serta kenaikan pangkat secara serta-merta.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, ini adalah kerana keadaan ekonomi negara semakin baik memandangkan harga minyak melonjak dari US$35 kepada US$50 per tong baru-baru ini.

Beliau berkata, Surat Pekeliling Perbendaharaan perlu ditarik balik agar rasionalisasi 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia yang ditambah baik yang berkuat kuasa 1 Julai ini, dapat dilaksanakan.    

"Kami yakin kerajaan akan menarik balik Pekeliling Perbendaharaan yang berkuat kuasa 1 Mac lalu seiring dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara daya saing dan mencapai status negara maju menjelang 2020.    

"Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada graduan universiti yang baharu menamatkan pengajian serta keyakinan golongan belia menyertai kerajaan bertambah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat bersama Jabatan Perbendaharaan di sini hari ini.

Pekeliling Perbendaharaan bertajuk "Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan" menggariskan 14 garis panduan, antaranya pewujudan jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.

Pekeliling itu juga mengarahkan pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara, dilaksanakan dengan kawalan ketat.

Pekeliling itu mengarahkan jawatan kosong yang tidak diisikan melebihi dua tahun, dimansuhkan.

Sementara itu, Azih juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan insentif Aidilfitri sebanyak RM500 kepada lebih 1.6 juta penjawat awam.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua penjawat awam untuk sentiasa meningkatkan kecekapan, produktiviti dan prestasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara.

"Jangan anggap bantuan khas ini tiada kaitan dengan prestasi. Insentif diberikan kerana kerajaan sentiasa puas hati dengan sumbangan serta kerajaan tidak abaikan tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cuepacs juga menyambut baik keputusan lulusan matrikulasi Kementerian Pendidikan dianugerahkan Sijil Matrikulasi mulai tahun ini bagi memudahkan mereka memohon pekerjaan terutama di sektor awam. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...