ANTARA aplikasi penjejak pencuri popular yang mendapat muat turun tinggi daripada pengguna. |
BEBERAPA bulan lalu, seorang lelaki mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kekecohan dan sentimen perkauman di ibu negara.
Bagaimanapun, kejadian seumpama itu boleh dielak pada masa depan, berikutan pelbagai inovasi teknologi yang diperkenalkan sekarang. Aplikasi seperti GotYa! dan Lockwatch boleh mengenal pasti pencuri dengan mudah tanpa perlu mencetuskan kekecohan seperti yang berlaku di Plaza Low Yat sebelum ini.
Aplikasi itu mudah untuk dimuat turun di semua platform peranti tidak kira telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android, iOS atau Windows Konsepnya mudah, ia membantu pemilik peranti merakamkan wajah mana-mana individu bukan pemilik gajet yang melakukan cubaan memecah masuk telefon pintar serta mencuba memasukkan kata laluan salah beberapa kali.
Hasilnya, pemilik peranti kini boleh mengetahui mana-mana individu khususnya jika telefon mereka dicuri apabila maklumat pengguna akan dihantar terus ke sistem e-mel pemilik telefon termasuk dari segi kedudukan telefon pintar itu dikesan serta gambar.
Bagaimanapun, timbul keraguan bagi sesetengah pihak yang menyanggah dan mendakwa aplikasi baharu seperti itu tidak boleh digunakan sebagai bukti kesalahan mencuri walaupun memperoleh gambar wajah individu yang cuba memecah masuk.
Oleh yang demikian, pihak kami cuba mendapatkan penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penggunaan aplikasi berkenaan sama ada ia diterima sebagai bukti di undang-undang atau sebaliknya.
Mengulas perkara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), SAC Mohd Kamarudin Md Din, berkata walaupun pemilik peranti berjaya merakamkan gambar individu yang disyaki sebagai pencuri, namun pihak polis memerlukan bukti lain seperti saksi yang melihat gajet berkenaan diragut atau dirampas.
"Ia memerlukan sokongan bukti lain yang menunjukkan ia dicuri, barulah boleh digunakan sebagai bukti. "Jika kita hanya menggunakan bukti gambar wajah seseorang individu, berkemungkinan dia yang menemui peranti ini dan melihatnya sahaja," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pihak polis tidak mempunyai masalah sekiranya gambar berkenaan digunakan untuk membawa mereka kepada suspek yang disyaki mencuri peranti terbabit. -BH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...