Tentera Laut Indonesia kelmarin menunjukkan kapal perang Indonesia, KRI Imam Bonjol-363 mendekati sebuah bot nelayan China (kanan) di perairan Kepulauan Natuna. |
MANILA – China menggunakan armada nelayan bersama pengiring bersenjata bagi mengukuhkan lagi tuntutan maritimnya di wilayah tuntutan bertindih, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat(AS) dalam satu amaran semalam dan menyifatkan tindakan Beijing sebagai membimbangkan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kapal perang Indonesia melepaskan tembakan amaran dan menahan sebuah bot nelayan China bersama tujuh kru di Kepulauan Natuna, Laut China Selatan pada minggu lalu. Tindakan itu dikecam Beijing.
“Saya fikir ini satu trend membimbangkan untuk melihat bot-bot nelayan China diiringi oleh kapal pengawal pantai. Cara ini kelihatan digunakan untuk mengukuhkan tuntutan yang mungkin tidak sah,” kata pegawai AS itu melalui sidang video kepada wartawan di Asia Tenggara.
“Saya fikir ia menunjukkan kehadiran China yang semakin meluas (pasukan tentera dan separa tentera) dan digunakan dengan cara provokatif serta berisiko untuk menggugat kestabilan,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.
Tidak seperti beberapa negara lain di rantau ini, Indonesia tidak mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China melibatkan pulau-pulau kecil atau terumbu tetapi tuntutan Beijing untuk hak menangkap ikan berhampiran Kepulauan Natuna merangkumi zon ekonomi eksklusif Jakarta.
Susulan konfrontasi pada minggu lalu, panglima armada barat tentera laut Indonesia berkata, pencerobohan bot nelayan itu adalah ‘tersusun’, menunjukkan Beijing telah ‘memberikan restunya’.
“China memprotes kerana merasakan kawasan ini (Kepulauan Natuna) milik mereka,” kata Komander Achmad Taufiqoerrochman. - AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...