Thursday, 16 June 2016

Pembiayaan penuh beli kereta Proton - Bank Rakyat

Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal (tengah) pada Majlis Perlepasan Proton Perdana Motorcade di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.Turut hadir Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat Datuk Mustafa Abd Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan OtoMobil Nasional Sdn Bhd (Proton) Rohime Shafie.
KUALA LUMPUR 16 JUN: Bank Koperasi Islam terbesar Malaysia, Bank Rakyat hari ini bekerjasama dengan Proton Holdings Bhd (Proton) dengan menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan 100 peratus bagi pembelian kereta Proton termasuk Proton Perdana yang baru dilancarkan pada Selasa lepas.

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata tawaran itu terbuka kepada semua penjawat awam dan swasta yang menepati syarat-syarat pinjaman dan tempoh tawaran itu terbuka sepanjang masa. 

"Bank Rakyat sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan sebagai inisiatif membantu rakyat memiliki produk tempatan, kami tampil dengan tawaran ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan model Proton Perdana baharu di sini. 

Majlis pelepasan itu diadakan seiring dengan promosi Kempen Beraya Bank Rakyat yang menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i serta produk auto yang lain dengan tawaran hadiah wang tunai sehingga RM400,000. 

Pada majlis sama, turut diadakan program Pautan Ramadan Kacau Bubur Lambuk bertujuan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

 "Kira-kira 5,000 bungkus bubur lambuk akan diagih di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti KL Sentral, Stesen LRT Bangsar dan Masjid Bangsar bermula 3 petang ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...