Sunday, 12 June 2016

Mi kari P.Pinang tidak pernah ada sijil halal

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan kisah gerai jualan mi kari dari Pulau Pinang yang menjadi viral selepas dilaporkan sebuah akhbar tempatan menyebut resipi rahsia peniaganya menggunakan darah babi itu tidak pernah memiliki atau diberikan sijil pengesahan halal Malaysia.

Jakim melalui Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi.

“Pengguna yang dihormati, merujuk kepada laporan akhbar bertarikh 2 Jun 2016 berkaitan penggunaan darah babi di dalam penyediaan mi kari yang di jual di Pulau Pinang dan juga di SS2, Petaling Jaya.

“Untuk makluman pengguna, gerai jualan ini tidak pernah memiliki atau diberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Pengguna dinasihatkan agar berhati-hati di dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi serta sentiasa memastikan premis tersebut memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah supaya makanan yang diperoleh adalah halalan toiyiban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam tersebar di media sosial mengenai keratan akhbar bertajuk ‘Dishing out Penang’s famous laksa: Secret recipe from island brought to Kuala Lumpur 40 years ago’ di mana pemiliknya, David Tan memberitahu mi karinya menggunakan darah babi yang dipercayai baik untuk kesihatan.

Dalam pada itu, Jakim turut mengingatkan agar pengguna tidak keliru dengan kenyataan yang menyebut ‘secret recipe’ itu yang tiada kaitan dengan jenama Secret Recipe.

“Jenama Secret Recipe telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jakim.

“Sebarang kemusykilan mengenai produk-produk yang berada di pasaran dan juga premis makanan, bolehlah di semak di www.halal.gov.my atau direktori Halal Malaysia di aplikasi telefon pintar MyJakim,” katanya. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...