Saturday 11 June 2016

Tolak permohonan bekas pelajar UPNM

Bekas pelajar UPNM, Nurul Shamimi Zainul Ariffin (belakang) keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan bekas pelajar jurusan perubatan untuk mencabar keputusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menamatkan pengajiannya atas alasan dia berkahwin.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa mahkamah tidak mempunyai sebab campur tangan dalam keputusan dibuat universiti berkenaan.

Beliau memerintahkan pemohon iaitu Nurul Shamimi Zainul Ariffin membayar kos RM6,000 kepada kedua-dua responden, UPNM dan Majlis Angkatan Tentera (MAT), iaitu RM3,000 bagi setiap responden.

Dalam alasan penghakimannya Asmabi berkata pemohon dengan rela hati menandatangani kontrak dan mengetahui dia tidak dibenarkan berkahwin dalam tempoh lima tahun pengajiannya.

Pada 23 April 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas pelajar jurusan perubatan untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan UPNM menamatkan pengajiannya.

Dalam permohonannya, Nurul Shamimi, 24, yang ditawarkan pengajian di UPNM pada 4 September 2011 berkata, beliau dibiayai Kementerian Pertahanan Malaysia berstatus pegawai kadet menandatangani perjanjian dengan MAT yang tidak membenarkannya berkahwin sepanjang tempoh pengajian.

Bekas pelajar Sarjana Muda Doktor Perubatan itu berkata UPNM menamatkan pengajiannya selepas bersetuju dengan keputusan MAT membatalkan pelantikannya sebagai pegawai kadet kerana melanggar perjanjian selepas mendapati dia berkahwin di Thailand pada 2012 ketika berusia 21 tahun.

Nurul Shamimi, yang kini ahli farmasi memohon deklarasi bahawa perjanjian antaranya dengan kedua-dua responden yang menghalang perkahwinannya adalah tidak berperlembagaan, tidak sah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah deklarasi keputusan mesyuarat MAT pada 26 Ogos 2014 yang memutuskan bahawa pelantikannya sebagai pegawai kadet

ditamatkan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dikenakan bayaran balik RM83,998.66 adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Beliau turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan UPNM membenarkannya meneruskan pengajian dalam jurusan itu sehingga selesai dan menyambung semula penajaan. -Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...