Guan Eng telah ditahan di pejabatnya di Tingkat 28 Bangunan Komtar pada jam 5.45 petang tadi. |
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengikut Akta SPRM 2009 pagi esok di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategi SPRM, selain Guan Eng, terdapat seorang lagi wanita bergelar ahli perniagaan akan dituduh di mahkamah sama.
Sementara itu, dalam kenyataan SPRM sebelum itu, setiausaha agung DAP itu dan wanita berkenaan ditahan petang tadi selepas SPRM mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara untuk menuduh mereka di mahkamah.
"Guan Eng telah ditahan di pejabatnya di Tingkat 28 Bangunan Komtar pada jam 5.45 petang.
"Sementara itu, wanita berkenaan ditahan jam 4.15 petang di pejabatnya di Penang Garden hari ini," kata kenyataan itu.
Guan Eng ditahan sebaik habis mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar tadi.
Beliau dibawa ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira jam 6.20 petang dengan menaiki kereta milik kerajaan negeri.
Sebelum ini, Guan Eng telah dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan terhadap kes pembelian banglonya di Jalan Pinhorn yang mencetuskan kontroversi setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika Sidang Dewan Rakyat April lalu.
Selain itu, difahamkan penahanan Guan Eng itu berkemungkinan berkait dengan isu banglo terbabit.
Bagaimanapun, dalam usaha menahan Ahli Parlimen Bagan itu, pihak SPRM telah mengambil tindakan dan bekerjasama dengan pasukan polis yang turut kelihatan di sekitar pekarangan Komtar.
Kehadiran anggota polis itu difahamkan bagi menjaga ketenteraman dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. -SH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...