BEBERAPA lelaki dihukum membuat senaman tekan tubi selepas ditangkap kerana tidak berpuasa. |
Bogor (Indonesia): Pihak berkuasa daerah Leuwiliang di Bogor menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap penduduk beragama Islam yang tidak berpuasa pada Ramadan.
Pegawai di Agensi Penguat kuasa Awam menyerbu beberapa kedai makan pada tengah hari Khamis lalu dan menahan 13 orang yang sedang makan.
Selepas mengesahkan semua lelaki itu beragama Islam, mereka dibawa ke pejabat daerah untuk diberi nasihat dan dikenakan hukuman senaman tekan tubi.
“Ini adalah satu bentuk nasihat supaya lelaki ini tidak mengulangi kesalahan mereka,” kata ketua daerah Leuwiliang, Chairuka Judhianto.
Chairuka berkata, surat arahan dikeluarkan meminta restoran di daerah itu hanya boleh beroperasi pada jam 4 petang hingga 9 malam dan dari jam 2 pagi hingga 4 pagi pada Ramadan ini.
Menurutnya, surat arahan itu juga mengharamkan kafe dan lokasi hiburan beroperasi pada bulan yang mulia ini.
Pekerja hotel dan restoran juga digesa berpakaian sopan serta menutup aurat.
“Sekiranya mereka ditangkap tidak berpuasa lagi, kami akan meminta mereka membuat lebih banyak senaman tekan tubi.
“Pemilik restoran juga diberi amaran dan sekiranya ingkar, kami akan menyita premis berkenaan,” tegasnya.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan supaya keadaan lebih tenang di Bogor ketika Ramadan bukannya berkaitan dengan isu keselamatan. - Agensi
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...