Tuesday, 28 June 2016

Belanja dua kali ganda sambut raya

PUSAT beli-belah menawarkan pelbagai promosi sempena Aidilfitri.
ORANG ramai, terutamanya wanita di negara ini berbelanja kira-kira 81.1 peratus atau melebihi dua kali ganda untuk menyediakan pelbagai kelengkapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan-bulan biasa. 

Kajian Tingkahlaku Perbelanjaan Musim Perayaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri itu membabitkan 655 responden bagi memahami corak perbelanjaan rakyat berkaitannya. Hasil kajian itu mendapati 79 peratus pengguna menyediakan bajet untuk persediaan sambut Syawal. 

Bagaimanapun, Prof Mohamad Fazli berkata, wanita yang lazimnya merancang perbelanjaan untuk keluarga gagal mematuhi bajet ditetapkan atau tidak tahu mengurus kewangan ketika berbelanja untuk persiapan menyambut Aidilfitri. 

"Majoriti wanita menyediakan bajet untuk membeli pelbagai kelengkapan raya. Berdasarkan kajian itu, ada wanita yang berbelanja antara RM100 hingga RM300 untuk membeli pakaian sendiri, selain untuk anak, kuih raya, juadah pagi raya, selenggara kenderaan, pengangkutan dan duit raya. 

"Situasi itu amat membimbangkan kerana mereka boleh berhadapan dengan masalah perbelanjaan pada bulan berikutnya," katanya ketika dihubungi, semalam. Kajian itu adalah yang kali pertama dilakukan bagi mengkaji sejauh mana tabiat berbelanja bagi isi rumah ketika menghadapi persiapan perayaan. 

Bijak berbelanja 


Prof Mohamad Fazli berkata, pengguna bijak seharusnya patuh dengan bajet disediakan. Contohnya, mereka memperuntukkan RM3,000 untuk persiapan Aidilfitri, justeru perlu berbelanja kurang daripada jumlah itu "Kita hanya bercakap berdasarkan andaian, namun dengan kajian empirikal ini ia bukan saja dapat membuktikan keputusan tepat, tetapi boleh membuka mata semua pihak mengenai keperluan mengubah tabiat berbelanja rakyat di negara ini, khususnya dalam kalangan wanita," katanya. 

Prof Mohamad Fazli, berkata wanita seharusnya membuat persiapan lebih awal dan bukannya seminggu atau dua minggu sebelum hari raya. "Kini kita boleh buat banyak rujukan. Cuba selidik harga menerusi internet, iklan promosi, bertanya rakan dan sebagainya sebelum membeli. Pembelian saat akhir antara punca individu terlebih belanja. "

Selain itu, pengguna perlu meneliti produk ditawarkan, sama ada ia benar-benar murah dan berkualiti atau mungkin sekadar untuk penghabisan stok," katanya. 

Elak terjebak hutang baru 


Prof Mohamad Fazli berkata, peniaga memerangkap pengguna dengan permainan manipulasi harga atau promosi harga runtuh atau menawarkan pembelian kredit bermula RM1 seminggu. "Pengguna mungkin tertarik dengan tawaran kredit RM1, tetapi perlu bijak. Cuba kira tawaran berkenaan secara bulanan, ia sebenarnya jauh lebih tinggi dan menjadi perangkap hutang baharu bagi pengguna," katanya. 

Kajian itu disifatkan sebagai 'alarm clock' kepada tabiat berbelanja wanita dan isi rumah untuk berbelanja secara berhemah. "Aidilfitri harus disambut secara sederhana bukannya berbelanja sampai tidak ingat dunia hingga lupa tujuan dan pengertian Aidilfitri," katanya. -BH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...