Thursday, 30 June 2016

Aplikasi bantu jejak pencuri telefon bimbit

ANTARA aplikasi penjejak pencuri popular yang mendapat muat turun tinggi daripada pengguna.
BEBERAPA bulan lalu, seorang lelaki mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kekecohan dan sentimen perkauman di ibu negara. 

Bagaimanapun, kejadian seumpama itu boleh dielak pada masa depan, berikutan pelbagai inovasi teknologi yang diperkenalkan sekarang. Aplikasi seperti GotYa! dan Lockwatch boleh mengenal pasti pencuri dengan mudah tanpa perlu mencetuskan kekecohan seperti yang berlaku di Plaza Low Yat sebelum ini. 

Aplikasi itu mudah untuk dimuat turun di semua platform peranti tidak kira telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android, iOS atau Windows Konsepnya mudah, ia membantu pemilik peranti merakamkan wajah mana-mana individu bukan pemilik gajet yang melakukan cubaan memecah masuk telefon pintar serta mencuba memasukkan kata laluan salah beberapa kali.

Hasilnya, pemilik peranti kini boleh mengetahui mana-mana individu khususnya jika telefon mereka dicuri apabila maklumat pengguna akan dihantar terus ke sistem e-mel pemilik telefon termasuk dari segi kedudukan telefon pintar itu dikesan serta gambar. 

Bagaimanapun, timbul keraguan bagi sesetengah pihak yang menyanggah dan mendakwa aplikasi baharu seperti itu tidak boleh digunakan sebagai bukti kesalahan mencuri walaupun memperoleh gambar wajah individu yang cuba memecah masuk. 

Oleh yang demikian, pihak kami cuba mendapatkan penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penggunaan aplikasi berkenaan sama ada ia diterima sebagai bukti di undang-undang atau sebaliknya. 

Mengulas perkara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), SAC Mohd Kamarudin Md Din, berkata walaupun pemilik peranti berjaya merakamkan gambar individu yang disyaki sebagai pencuri, namun pihak polis memerlukan bukti lain seperti saksi yang melihat gajet berkenaan diragut atau dirampas. 

"Ia memerlukan sokongan bukti lain yang menunjukkan ia dicuri, barulah boleh digunakan sebagai bukti. "Jika kita hanya menggunakan bukti gambar wajah seseorang individu, berkemungkinan dia yang menemui peranti ini dan melihatnya sahaja," katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata, pihak polis tidak mempunyai masalah sekiranya gambar berkenaan digunakan untuk membawa mereka kepada suspek yang disyaki mencuri peranti terbabit. -BH

Bos syarikat jalin hubungan cinta dengan isteri orang cedera ditembak

Aik JOON dalam keadaan berlumuran darah
selepas terkena lima das tembakan dalam
 kejadian berhampiran pasar raya Giant
di Desa Petaling semalam.
KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta yang menjalin hubungan cinta dengan isteri orang cedera parah ditembak ketika memandu kereta di Kilometer 3.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran pasar raya Giant di Desa Petaling di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, mangsa Low Aik Joon, 40, mengalami kecederaan pada leher, tangan kanan dan dada selepas terkena lima das tembakan ketika memandu kereta Nissan Teana seorang diri menghala ke Damansara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Sing berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu dalam perjalanan ke tempat kerja dihampiri sebuah motosikal yang dipercayai ditunggangi dua lelaki.

“Salah seorang lelaki itu melepaskan enam das tembakan dari jarak dekat di sebelah kanan tingkap pemandu. -Kosmo!

Wednesday, 29 June 2016

Guan Eng akan didakwa esok pagi

Guan Eng telah ditahan di pejabatnya
 di Tingkat 28 Bangunan Komtar
pada jam 5.45 petang tadi.
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengikut Akta SPRM 2009 pagi esok di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategi SPRM, selain Guan Eng, terdapat seorang lagi wanita bergelar ahli perniagaan akan dituduh di mahkamah sama.

Sementara itu, dalam kenyataan SPRM sebelum itu, setiausaha agung DAP itu dan wanita berkenaan ditahan petang tadi selepas SPRM mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara untuk menuduh mereka di mahkamah.

"Guan Eng telah ditahan di pejabatnya di Tingkat 28 Bangunan Komtar pada jam 5.45 petang.

"Sementara itu, wanita berkenaan ditahan jam 4.15 petang di pejabatnya di Penang Garden hari ini," kata kenyataan itu.

Guan Eng ditahan sebaik habis mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar tadi.

Beliau dibawa ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira jam 6.20 petang dengan menaiki kereta milik kerajaan negeri.

Sebelum ini, Guan Eng telah dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan terhadap kes pembelian banglonya di Jalan Pinhorn yang mencetuskan kontroversi setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika Sidang Dewan Rakyat April lalu.

Selain itu, difahamkan penahanan Guan Eng itu berkemungkinan berkait dengan isu banglo terbabit.

Bagaimanapun, dalam usaha menahan Ahli Parlimen Bagan itu, pihak SPRM telah mengambil tindakan dan bekerjasama dengan pasukan polis yang turut kelihatan di sekitar pekarangan Komtar.

Kehadiran anggota polis itu difahamkan bagi menjaga ketenteraman dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. -SH

Putrajaya akan miliki jambatan glulam terpanjang

PUTRAJAYA 28 Jun - Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menggerakkan projek pembinaan jambatan pejalan kaki glulam (glued-laminated timber) terpanjang di negara ini bermula bulan depan.
Dr. Abdul Rahim Nik

Jambatan bernilai RM3 juta yang dibiayai MTC itu akan menghubungkan Presint 1 dan Presint 16, di sini.

Dengan jarak 47 meter dan keluasan tiga meter, jambatan yang akan diperbuat daripada spesies kayu tempatan itu dijadualkan siap pembinaannya pada Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik berkata, selain membiayai kos pembinaan jambatan tersebut, pihaknya turut membiayai kos pencahayaan dan landskap.

Katanya, glulam merupakan produk kayu berkekuatan tinggi yang terdiri daripada lapisan-lapisan kayu yang dilekatkan bersama bahan pelekat yang tahan lama serta kalis cecair.

“Teknologi melibatkan glulam membolehkan kayu-kayu besar diubah dan dibengkok kepada pelbagai saiz dan bentuk.

“Projek ini akan memperkasakan usaha MTC dalam menggalak serta mempromosikan penggunaan kayu dan juga berkongsi teknologi kejuruteraan kayu dalam kalangan pembina di samping mewujudkan kerjasama dengan PPj,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian selepas beliau dan Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung projek berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasim berkata, PPj akan mengkaji penggunaan sistem pencahayaan khas dalam usaha menyerlahkan kecantikan jambatan berkenaan selain menjaga habitat burung di kawasan sekitar.

“Saya teruja dengan kerjasama dengan pihak MTC ini. Jambatan pejalan kaki ini akan memanfaatkan penduduk sekitar. Ia memendekkan jarak perjalanan,” katanya.

Syarikat myGlam Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek pembinaan tersebut. - UTUSAN

Tuesday, 28 June 2016

Belanja dua kali ganda sambut raya

PUSAT beli-belah menawarkan pelbagai promosi sempena Aidilfitri.
ORANG ramai, terutamanya wanita di negara ini berbelanja kira-kira 81.1 peratus atau melebihi dua kali ganda untuk menyediakan pelbagai kelengkapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan-bulan biasa. 

Kajian Tingkahlaku Perbelanjaan Musim Perayaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri itu membabitkan 655 responden bagi memahami corak perbelanjaan rakyat berkaitannya. Hasil kajian itu mendapati 79 peratus pengguna menyediakan bajet untuk persediaan sambut Syawal. 

Bagaimanapun, Prof Mohamad Fazli berkata, wanita yang lazimnya merancang perbelanjaan untuk keluarga gagal mematuhi bajet ditetapkan atau tidak tahu mengurus kewangan ketika berbelanja untuk persiapan menyambut Aidilfitri. 

"Majoriti wanita menyediakan bajet untuk membeli pelbagai kelengkapan raya. Berdasarkan kajian itu, ada wanita yang berbelanja antara RM100 hingga RM300 untuk membeli pakaian sendiri, selain untuk anak, kuih raya, juadah pagi raya, selenggara kenderaan, pengangkutan dan duit raya. 

"Situasi itu amat membimbangkan kerana mereka boleh berhadapan dengan masalah perbelanjaan pada bulan berikutnya," katanya ketika dihubungi, semalam. Kajian itu adalah yang kali pertama dilakukan bagi mengkaji sejauh mana tabiat berbelanja bagi isi rumah ketika menghadapi persiapan perayaan. 

Bijak berbelanja 


Prof Mohamad Fazli berkata, pengguna bijak seharusnya patuh dengan bajet disediakan. Contohnya, mereka memperuntukkan RM3,000 untuk persiapan Aidilfitri, justeru perlu berbelanja kurang daripada jumlah itu "Kita hanya bercakap berdasarkan andaian, namun dengan kajian empirikal ini ia bukan saja dapat membuktikan keputusan tepat, tetapi boleh membuka mata semua pihak mengenai keperluan mengubah tabiat berbelanja rakyat di negara ini, khususnya dalam kalangan wanita," katanya. 

Prof Mohamad Fazli, berkata wanita seharusnya membuat persiapan lebih awal dan bukannya seminggu atau dua minggu sebelum hari raya. "Kini kita boleh buat banyak rujukan. Cuba selidik harga menerusi internet, iklan promosi, bertanya rakan dan sebagainya sebelum membeli. Pembelian saat akhir antara punca individu terlebih belanja. "

Selain itu, pengguna perlu meneliti produk ditawarkan, sama ada ia benar-benar murah dan berkualiti atau mungkin sekadar untuk penghabisan stok," katanya. 

Elak terjebak hutang baru 


Prof Mohamad Fazli berkata, peniaga memerangkap pengguna dengan permainan manipulasi harga atau promosi harga runtuh atau menawarkan pembelian kredit bermula RM1 seminggu. "Pengguna mungkin tertarik dengan tawaran kredit RM1, tetapi perlu bijak. Cuba kira tawaran berkenaan secara bulanan, ia sebenarnya jauh lebih tinggi dan menjadi perangkap hutang baharu bagi pengguna," katanya. 

Kajian itu disifatkan sebagai 'alarm clock' kepada tabiat berbelanja wanita dan isi rumah untuk berbelanja secara berhemah. "Aidilfitri harus disambut secara sederhana bukannya berbelanja sampai tidak ingat dunia hingga lupa tujuan dan pengertian Aidilfitri," katanya. -BH

Monday, 27 June 2016

Junjung batu 40kg bantu lelaki China turunkan berat badan

CONG YAN kini mampu bersenam dengan berjalan sambil menjunjung batu seberat 40 kilogram di atas kepalanya.
BEIJING 26 Jun – Seorang lelaki China mendakwa berat badannya berkurangan sebanyak 30 kilogram dengan mengamalkan aktiviti berjalan kaki sambil mengimbangi seketul batu sebe­rat 40 kilogram di atas kepalanya.

Portal Oddity Central me­laporkan, rutin senaman pelik Cong Yan dari wilayah Jilin itu bermula sejak tiga tahun lalu selepas dia sedar dan khuatir tentang berat badannya yang mencecah 115 kilogram pada ketika itu.

Sejak itu, dia mula bersenam di sebuah taman di Jilin dengan berjalan kaki serta menaiki dan menuruni tangga di laluan sempit di pusat rekreasi berkenaan.

Namun, tindakan Yan meletak seketul batu di atas kepala­nya menjadikan dia berbeza dengan pengunjung taman yang lain.

“Saya tidak mahu mengambil pil diet. Jadi, saya memutuskan untuk mengurangkan berat badan saya dengan bersenam,’’ katanya.

Selain melakukan senaman biasa, Yan pada mulanya menjunjung seke­tul batu seberat 15 kilogram di atas kepalanya dan berjalan sejauh mana yang dia mampu.

Apabila sudah biasa dengan bebanan itu, dia menggantikannya dengan batu yang lebih besar selain menambah jarak senamannya.

Hari ini, Yan berkata, dia mampu berjalan sejauh tiga kilometer sehari dengan menjunjung batu seberat 40 kilogram.

Malah katanya, dia merasakan keadaannya kini bertambah baik berbanding sebelum memulakan senaman.

Terdorong dengan perhatian yang diberikan kepadanya sejak kebelakangan ini, Yan kini mahu mencatat namanya dalam buku rekod dunia, Guinness World Records berhubung rutin senamannya yang unik. -Utusan

Dua menteri dan empat timbalan menteri baharu dilantik

Noh Omar
PUTRAJAYA 27 Jun - Bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Noh Omar kembali ke dalam Kabinet apabila dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Ghani pula dinaikkan pangkat menjadi Menteri Kewangan II bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang bersara atas sebab peribadi.

Bagi jawatan timbalan menteri pula, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan sementara Ahli Parlimen Silam, Datuk Nasrun Mansur pula Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi bagi menggantikan arwah Tan Sri Noriah Kasnon.

Turut dilantik sebagai timbalan menteri ialah Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) manakala Datuk Seri S.K. Devamany (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). - UTUSAN

Najib umum rombakan Kabinet baharu


SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet di Putrajaya, sebentar lagi.

Ia berikutan lima kekosongan jawatan, iaitu tiga menteri dan dua timbalan menteri.

Pengumuman tersebut juga dijangka akan dibuat dalam sidang media khas Kabinet di pejabatnya pada   jam 3.15 petang. -SH

Impak Fenomena Ayunan Madden-Julian di Malaysia

FENOMENA Ayunan Madden-Julian
BARU-BARU ini, bermula dari minggu pertama Jun 2016, ribut petir, hujan batu dan cuaca lembap berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung terutama di Lembah Klang dan ibu negara yang menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini berbeza daripada biasa kita alami dalam musim monsun barat daya (Jun hingga Ogos), yang biasanya cuaca kering dan panas. 

Keadaan ribut petir dan cuaca lembap yang berlaku ini adalah disebabkan fenomena dipanggil sebagai 'Madden-Julian Oscillation (MJO)' atau Ayunan Madden-Julian dan menyediakan keadaan yang sesuai untuk proses pembentukan ribut petir dan cuaca lembap tempatan. Fenomena MJO adalah sebahagian keragaman iklim dalam musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20/60 hari. Fenomena MJO sering berlaku ketika ketiadaan fenomena El Nino atau La Nina. 

Bagaimanapun, fenomena MJO boleh memperkukuhkan proses penjanaan fenomena El Nino. MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera, menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera skala besar pada bahagian barat Lautan Hindi dan bergerak ke timur ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia. Pergerakan sistem perolakan berskala besar ini disusuli pergerakan sistem perolakan dikurangkan. 

Ramal keragaman cuaca

Sebelum penemuan fenomena ini oleh dua ahli meteorologi Amerika Syarikat iaitu Roland A Madden dan Paul R Julian pada 1971, perubahan cuaca di kawasan tropika dipercayai bersifat rawak dan sukar diramal. Bagaimanapun, penyelidikan mengenai fenomena ini sejak beberapa dekad lalu mendapati ia menyediakan isyarat yang boleh diguna untuk meramal keragaman cuaca dan iklim, terutama di rantau Benua Maritim merangkumi Malaysia dan Indonesia dari tempoh masa seminggu hingga sebulan.

Kajian lanjut oleh dua ahli meteorologi Australia iaitu Mathew Weller dan Harry Hendon pada 2004 menyediakan kaedah yang mudah memantau pergerakan MJO dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik yang terbahagi kepada lapan fasa MJO. 

Pelbagai agensi termasuk Pusat Ramalan Iklim, Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA), Amerika Syarikat memantau fenomena ini dan menyediakan ramalan pergerakan MJO dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik. Menurut laporan Bureau of Meteorology Australia, dari 8 hingga 11 Jun 2016, 12 hingga 17 Jun 2016 dan 18 hingga 20 Jun 2016, MJO berada dalam fasa 1, 2 dan 3. 

Pada tempoh ini, kawasan di pantai barat Semenanjung terutama di Lembah Klang dan sekitar Kuala Lumpur, ribut petir dan cuaca lembap direkodkan sehingga menyebabkan beberapa kejadian banjir kilat di ibu negara. Cuaca lembap dan ribut petir ini bukan sahaja dialami di Semenanjung, malah di Sumatera. MJO mempengaruhi keragaman cuaca dan iklim di Malaysia, tetapi impaknya bergantung kepada musim ia berlaku dan fasa MJO itu sendiri.

Mengikut hasil penyelidikan saya dan kumpulan di UKM, pada musim monsun barat daya (Jun hingga Ogos), curahan hujan di kawasan pantai barat Semenanjung meningkat pada fasa 1 hingga 2, manakala di pantai timur kadar curahan hujan menurun. Pada fasa 4 hingga 7 seluruh Semenanjung mengalami keadaan kering. Corak ini adalah berdasarkan kepada analisa data merangkumi 33 tahun dari 1980 hingga 2012. 

Kajian juga mendapati peredaran skala besar berkaitan MJO pada fasa 1 dan 2 berinteraksi dengan peredaran skala tempatan memperkukuhkan kitaran harian dan proses pembentukan ribut petir dan cuaca lembap. Ternyata Malaysia dipengaruhi pelbagai fenomena keragaman iklim kerana kedudukannya di antara dua lautan utama iaitu Lautan Hindi di sebelah kiri dan Lautan Pasifik di sebelah kanan. 

Walaupun ramai beranggapan Malaysia tidak diancam bencana berkait cuaca dan iklim seteruk seperti Filipina, hakikatnya bencana berkaitan cuaca dan iklim melanda negara kita berulang kali menyebabkan impak sosioekonomi yang tinggi. Kehidupan rakyat, infrastruktur rosak dan pelbagai sektor ekonomi terjejas teruk. 

Banjir buruk melanda negeri di pantai timur Semenanjung pada penghujung Disember 2014 menjejaskan kehidupan lebih 500,000 penduduk, menyebabkan 25 kematian dan kerugian dianggar RM2.9 bilion. Kita baru sahaja melalui kemarau teruk dan cuaca panas ekstrem antara Januari hingga April 2016 disebabkan fenomena El Nino. 

Pada Jun hingga November 2015, keadaan kemarau berlarutan di Sumatera dan Kalimantan disebabkan fenomena El Nino yang menyebabkan kebakaran hutan yang tidak terkawal. Akibatnya, Malaysia mengalami episod jerebu teruk yang berterusan hampir tiga bulan dari September hingga November 2015. Ternyata bencana berkait cuaca dan iklim tidak boleh dipandang remeh. 

Tambahan lagi, menurut Laporan Penilaian ke-5 Perubahan Iklim oleh Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peningkatan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera berterusan akan meningkatkan kekerapan cuaca ekstrem. 

Minimumkan impak 

Persoalannya, bagaimana Malaysia boleh mempersiapkan diri dalam berdepan dengan cuaca ekstrem supaya impak boleh diminimumkan? Tiga aspek utama yang menentukan tahap risiko kita terhadap bencana berkaitan cuaca dan iklim iaitu bencana itu sendiri, pendedahan kepada bencana dan kerentanan kita terhadap bencana ini.

Aspek pendedahan dan kerentanan bergantung kepada pelbagai faktor seperti sosioekonomi, penempatan dan pembangunan yang tidak terancang. Bagaimanapun, memahami bencana cuaca dan iklim perlu kefahaman mengenai sistem iklim dunia, serantau dan tempatan menerusi penyelidikan dan pembangunan berterusan.

Agensi pelaksana perlu bekerjasama dengan institusi penyelidik dalam menjalankan penyelidikan terarah di mana hasil penyelidikan boleh dimanfaatkan untuk memantau dan menangani bencana berkait cuaca dan iklim. -BH

Sunday, 26 June 2016

Charlie TUDM dipintas jet pejuang Indonesia

CHARLIE C130
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengesahkan menerima laporan insiden sebuah pesawat Charlie C130 dipintas oleh dua jet pejuang Indonesia dalam ruang udara berhampiran Pulau Natuna hari ini. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dipintas ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Labuan. 

"Kita ada menerima laporan berhubung kes berkenaan tapi maklumat lengkap secara sahih belum diperoleh. "Kita akan meneliti laporan ini memandangkan belum mendapat maklumat lengkap mengenai kes ini," katanya selepas majlis penyerahan bubur lambuk di Bazar Ramadan, Setiawangsa, di sini, hari ini. 

Hishammuddin berkata, insiden seperti itu sering berlaku di negara lain dan ia bergantung kepada hubungan dua hala negara berkenaan bagi menyelesaikannya. Katanya, beliau mempunyai hubungan erat dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Riacudu dan sekiranya berlaku insiden antara Indonesia dan Malaysia ia biasanya diselesaikan secara diplomasi.

"Bila sebut Indonesia, saya tak risau kerana kebiasaannya ia dapat diselesaikan dengan baik. Saya berharap media bertanggungjawab dalam membuat laporan supaya tidak mencetuskan emosi kedua-dua negara berjiran," katanya. -BH

BUDAYA YANG PATUT DI PADAMKAN

Gambar hiasan.

BUDAYA YANG PATUT DI PADAMKAN

Beratnya jadi lelaki. Disebalik mereka lihat setannya perangai lelaki-lelaki, di sebalik mereka lihat mudahnya jadi lelaki boleh kahwin empat, mudahnya lelaki boleh buat apa sahaja yang mereka nak buat, orang perempuan terlupa untuk pandang sesuatu yang hari ini telah membunuh lelaki dalam senyap.

Untuk pengetahuan semua perempuan, jadi lelaki ini nampak mudah kerana bebanan mereka semua mereka simpan kemas dalam hati dan digantikan pula dengan senyuman yang acah tiada masalah. Lelaki di Malaysia telah dikerah gila-gila seawal perkenalan dengan perempuan. Entah budaya orang gila mana yang buat yang mana lelaki perlu jadi "bank" bagi perempuan sebelum kahwin. Kononnya lelaki perlu gentleman. Gentleman kepala zionis kau!

Lelaki di pau teruk seawal perkenalan pertama. Mula bercinta, setiap makan luar, setiap berjalan bagai lelaki di galakkan sponsor perempuan. Full sponsor. Gentleman lah konon. Padahal belum konfem pun jadi hak milik. Kau bayangkan, lelaki nak keluar untuk berkenalan pun kadang terpaksa kerja 2,3 hari untuk buat duit belanja semata nak keluar dengan kau. Dan kau pula perempuan, cuma dengan sengih sahaja dah cukup untuk keluar pada sesi perkenalan. Tak payah bawak purse okey! Standby je kot laki gak bayar, kau terus minta putus cakap yang lelaki tu lelaki tak guna.

Bila dah mula serius berkenalan, masuk ke part bertunang. Lelaki mula berkira-kira duit gaji, tengok ibu ayah pula bukan orang senang. Maka bermulalah edisi kumpul duit dan kerja keras lelaki. Nak lepaskan trend tunang style meriah punya pasal. Anggaran RM2,000 sekrang ni. Konon gentleman dan romantik! Kerja lah siang malam si lelaki untuk ikat si perempuan. Perempuan waktu itu hanya pegang pada janji lelaki yang ingin ikat dia jadi tunang. Tinggal nak pilih baju cantik ala princes, dan lelaki hulur duit bayarkan guna duit berhempas pulas kerja. Selamba kerja bagai nak rak nak kejar duit modal untuk tunang. Lepas tu hangus sekejap je income yg sebulan dua kau kumpul tu.

Di bisikkan pula, hantaran RM10,000. Ternganga kejap lelaki. Ahh, demi kau perempuan, demi cinta. Terus lah lelaki mengelabah cari kerja yang kedua. Sehari buat dua tiga kerja semata untuk halalkan kau. Berpeluh-peluh lelaki. Kadang sampai jatuh sakit nak halalkan kau punya pasal. Hingga ada yang smpai terpaksa ikat perut, terpaksa potong duit belanja bulanan mak ayah. Akhirnya dapat kumpul. Selepas berkotor tangan, bersepah peluh. Kau pula perempuan waktu itu sedang sibuk mencari apa-apa yang cantik, sedang bahagia terbayang nak jadi princes. Nak jadi cantik gila waktu kahwin. Dasyat pengorbanan lelaki nak bahagiakan kau. 

Tapi siapa sahaja perempuan lihat pengorbanan lelaki tu?

Bab hantaran ni yang sbnrnya banyak matikan ramai lelaki. Lelaki bagai nak gila ada yang sanggup buat loan berpuluh ribu, yang sanggup tidur sehari cuma 2-3jam semata untuk kerja nak cukupkan duit halalkan kau. Kau bayangkan sahaja, lelaki perlu modal yang sangat tinggi sehingga sanggup gadai kesihatan, gadai keringat untuk "beli" tanggungjawab yang paling berat dalam dunia ni daripada ayah dan ibu kau. Tanggungjawab yang sangat berpotensi untuk di humban ke api neraka. Semua untuk kau tau perempuan. Dia ambil tanggungjawab utk tanggung semua dosa kau daripada bapak kau. Dari bapak kau tau bukan kepala bapak kau. Sori, saja aku nak bikin panas.

Sebaiknya hantaran ni,belah perempuan sepatutnya ambil tanggungjawab untuk ringankan beban si lelaki yang bakal pikul tanggungjawab besar nak mampus tu. Woi, kau ingat senang ke nak kumpul 10k? Ada pula sampai 20k! Lelaki juga ada tanggungjawab pada emak ayah, pada keluarga. Entah bila nak dapat kumpul duit sebanyak tu semata untuk kau. Kau senang lah cakap bila lelaki tak cukup duit je kau kata lelaki tak serius.Apakah kau pernah hargai keringat lelaki ini? Yang kau tahu, bercerita tentang romantiknya lelaki lain yang buat surprise pada pasangan dorang. Sibuk cerita bahagia orang lain. Kau try kumpul duit tengok. Set 3bulan ke 4bulan ke kumpul duit hantaran tu. Dalam masa yang sama, kau wajib bagi duit belanja dekat mak bapak kau setiap bulan, wajib ajak pasangan kau tu keluar setiap minggu. Kau bawa kereta isi minyak semua sendiri, makan semua kau bayar. Cuba kau tengok dapat kumpul ke tak. 

Senangnya kerja kau.

Dan bila dah halalkan kau, kau dah jadi isteri. Bermakna semua tanggungan, segala hutang pemiutang kau dah jatuh atas tanggungjawab suami. Tak kisah lah apa jenis hutang pun termasuk hutang Ptptn. Semuanya lelaki perlu bertanggungjawab untuk sara segalanya. Bertambah lagi komitmen laki. Kau boleh bayangkan waktu itu apa yang ada dalam fikiran lelaki? Lelaki cuma belanja senyuman, untuk kau lihat dia tenang. Kuat. Keluar lagi lelaki bersepah peluh memikirkan kau, urat-urat tangan berselirat timbul membuat kerja berat, tidak cukup tidur, memikirkan keluarga kandungnya, memikirkan ibu ayah kau. Apa sahaja sanggup mereka buat demi bahagiakan semua yang tersayang. Tak habis dia berkira-kira incomenya untuk kau semua tidak terbeban. Untuk kau tidak sesekali terpaksa susah. Lelaki waktu itu cuma mampu senyum sambil bisik dalam hati...

"Asalkan semua yang tersayang ini bahagia dan tidak merasa peritnya kehidupan, strugglenya kehidupan..merasa semua serba cukup..biar lah aku yang susah yang penting korang semua bahagia itu pun dah cukup buat hilang segala letih."

Di saat strugglenya bekerja, hati mereka tidak pernah hilang dari ingatkan kau dan anak-anak. Kau pula mudah bercerita lagi keinginan kau untuk dapat itu seperti pasangan lain, mengeluh tentang kereta yang panas, mengeluh tentang rumah yang kecil, mengeluh mahukan surprise, mengeluh mahukan 24jam masa bersama, mengeluh tentang inginnya bercuti seperti pasangan lain. Apakah kau tak tahu, itu semua perbuatan yang sangat penting diri? Kau tidak pernah cuba ambil tahu keinginan lelaki, tidak cuba tahu hargai strugglenya suami. Kau mudah jawab kononnya kau sanggup susah asalkan si lelaki sentiasa ada bersama, tapi berapa banyak akhirnya rumah tangga ranap dek konon kau sanggup susah tu? Berhenti jadi penipu. Yang kau mudah lafaz, lelaki ini kedekut, tidak faham kau dan suka pentingkan perkara lain berbanding kau.

Kasihan lelaki. Maka termenung lah lelaki sambil merungut dalam hati..

"Entah bangsat mana yang awal buat semua ini sebagai cara untuk dilihat gentleman.. kalau aku dapat tahu, memang keturunan dia aku sumpah jadi pakar matematik.. biar dia tahu sikit kira-kira yang tak menyusahkan bangsa.."

Hargai lah lelaki. Kerana kalian tidak pernah akan nampak betapa strugglenya lelaki nak bahagiakan semua yang tersayang. Kadang hingga terpaksa tebal muka pinjam duit kawan, kawan pula dengan sinis kata..

"Time kitorg melepak kau tak pernah ada pun, asik dengan pasangan je 24jam.." 

Semua untuk lepaskan kau dan anak-anak. Mereka pilih untuk membahagiakan daripada di bahagiakan. Kau dahulu perlu belajar bersyukur dari apa yang lelaki struggle untuk kau seawal perkenalan pertama. Bukan berterusan muncung bibir macam minta di uppercut bila merajuk.

Kau apa tahu? Merengek minta difahami 24jam. Kau sendiri tidak pernah langsung memahami. Menepek muka di FB tahu lah kau. Yang ini memang aku saja bakar line. Ini realiti. Kau perempuan kena selalu belajar bersyukur. Dan kena yakin,Cerekarama TV3 pasal lelaki romantik kaya raya anak dato keparat tu semua kisah di planet lain. Bukan di bumi kita.

Dan pesanan keras untuk lelaki,bila kau dapat pasangan yang sanggup sama-sama susah dengan kau, sanggup sama-sama susah untuk ke jalan halal, kongsi duit, bantu kau naik.. hargai lah. Jangan mudah sangat lupa sampai terlalu cepat plan untuk kahwin dua. Lagi-lagi bila kau mula berjaya dan selera dah mula meraba-raba. Itu gampang namanya. 

Bahagiakan lah. Bina cinta sampai akhir nyawa.

Apapun, hargai pasangan korang yang tidak terlihat pengorbanannya pada korang. Cinta mereka melebihi segalanya. Solopeh Allah dan Rasul.

Salam kejayaan,geng! <3 <3

Siapa meroyan bila baca status ni, memang aku penumbuk tulang rusuk kiri dia sampai jodoh dia cedera parah. Nak kahwin, sama-sama lah bantu. Bukan belum jadi hak milik lagi kau dah melenggang kangkung macam Princes Fiona. Princes fiona pun yang lenggang kangkung pun dapat bersuamikan Shrek je tau. Ini kau dapat lelaki yang gila struggle, apa lagi? Hargai lah. Jangan penting diri fikir korang punya hati je. Korang punya keinginan je.

Saling Melengkapi! Bertolak ansur. <3

Yang ikhlas dan kurang ajar,
Bro Kepala Bapak Berjambul 7 Petala Harimau Selatan Tuan Amir Danau

Nukilan: Amir Hamzah Abdul Hamid

Kamera perangkap had laju dipasang

KAMERA jenis Digi Cam turut digunakan polis trafik sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan menempatkan berpuluh-puluh kamera perangkap had laju mudah alih di kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara menerusi Ops Selamat 9/2016 menjelang Aidilfitri nanti.

Penempatan itu dibuat di semua lebuh raya, jalan di negeri-negeri dan jalan Persekutuan bagi menangani kadar kemalangan jalan raya yang kerap meningkat secara mendadak pada setiap kali musim perayaan.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, kamera itu merupakan langkah pencegahan yang diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan dan bukannya untuk menghukum pengguna jalan raya.

Menurutnya, pada Ops Selamat 7 yang diadakan selama 15 hari pada tahun lalu, sebanyak 20,458 kes kemalangan dilaporkan berlaku berbanding 18,484 nahas dalam operasi sama pada 2014.

Beliau berkata, bagi jumlah kemalangan maut pula, sebanyak 303 kes dicatatkan pada Ops Selamat 7 berbanding 217 kes dalam operasi sama pada tahun sebelumnya. -Kosmo!

Saturday, 25 June 2016

Beijing semakin tenggelam, menurut kajian

Bandar raya Beijing yang dikatakan semakin tenggelam dari tahun ke tahun.
BEIJING - CHINA. Ibu negara China dikatakan semakin tenggelam dari tahun ke tahun, menurut kajian terbaharu yang dibuat menerusi teknologi pengimejan satelit.

Memetik laporan portal antarabangsa, Metro.co.uk, kajian tersebut mendedahkan terlalu banyak unsur eksploitasi bawah tanah berlaku di bandar raya tersebut menyebabkan Beijing tenggelam sehingga 11 sentimeter setiap tahun.

“Buat masa sekarang, kami sedang menjalankan analisis terperinci terhadap kesan penenggelaman itu ke atas infrastruktur seperti kereta api berkelajuan tinggi di Beijing.

"Mudah-mudahan kami akan melakukan penemuan pada akhir tahun ini," kata salah seorang penyelidik ketika dihubungi agensi berita, Guardian.

Kajian mendapati bandar raya itu perlahan-lahan mendap ke dalam tanah, di mana penurunan yang paling ketara dicatatkan di daerah Chaoyang.

Difahamkan, Chaoyang telah mengalami pembangunan pesat sejak awal 1990-an.

Pada 2013, kerajaan menganggarkan kota itu mempunyai rizab untuk menampung 12 juta penduduk, bagaimanapun kini jumlah penduduk bandar kini mencatatkan angka mencecah 20 juta.

Bekam sampai reput


Chengdu, China: Seorang lelaki mengalami kecederaan serius apabila belakangnya hampir berlubang selepas menjalani rawatan bekam setiap hari selama hampir sebulan.

Li Lin, 63, menjalani rawatan bekam di sebuah pusat kesihatan tradisional di sini bagi mengubati sakit sendi yang dialaminya.

Lelaki itu menjalani rawatan bekam pada setiap hari bermula pada pertengahan Mei hingga pertengahan Jun lalu.

Li berkata, pengamal perubatan menyarankan dia menjalani rawatan bekam selama sebulan untuk menyembuhkan penyakitnya itu.

Rawatan itu menggunakan beberapa cawan yang dipanaskan bagi mewujudkan kesan sedutan pada kulit pesakit yang biasanya meninggalkan kesan lebam. -Agensi

Friday, 24 June 2016

Blogger Rusia ‘intip’ dalaman Korea Utara

SEKUMPULAN kanak-kanak dilihat turut serta dalam kerja-kerja pembinaan sebuah bangunan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran di Korea Utara.
PYONGYANG 23 Jun - Seorang penulis blog Rusia sanggup mengambil risiko apabila mengembara sejauh lebih 480 kilometer berhampiran kawasan sempadan di Korea Utara baru-baru ini.

Penulis tersebut, Alexander Be­lenkiy meluangkan masa selama tiga hari sepanjang kembaranya semata-mata mahu melihat kehidupan sebenar penduduk di negara yang diperintah oleh komunis itu.

“Saya berpeluang melihat kawasan yang paling terpencil di Korea Utara serta merakam beberapa keping gambar menarik. Hanya sebilangan kecil orang asing yang pernah melawat tempat-tempat ini.

“Adakah perbuatan ini berbahaya? Ya, sudah tentu. Tapi berbaloi. Memandangkan kawasan ini merupakan sempadan antarabangsa, saya mungkin akan ditangkap dan didakwa sebagai pengintip,” kata Belenkiy seperti yang dilaporkan oleh portal Daily Mail.

Belenkiy memulakan perjalanannya dari Dandong, wilayah Liaoning di tenggara China sebelum menuju ke bahagian utara di pintu masuk sempadan Korea Utara.
ANTARA gambar menara kawalan yang sempat
dirakam oleh penulis blog Rusia,
Alexander Belenkiy ketika berada
di kawasan sempadan
Korea Utara baru-baru ini.

Kata lelaki itu, sepanjang perjalanan, dia melihat beberapa buah menara kawalan dibina setiap 300 meter untuk memantau aktiviti penduduk, kanak-kanak menjadi buruh serta penduduk miskin yang sedang membasuh pakaian di sungai.

Belenkiy memberitahu, dia juga melihat kepulan-kepulan asap kilang yang berbahaya khususnya kepada penduduk setempat yang tinggal berhampiran.

“Basikal merupakan pengangkutan utama di Korea Utara dan sepanjang tiga hari berada di sini, saya hanya melihat tiga kenderaan sahaja. Itupun bukan kereta yang membawa penumpang.

“Ada juga kereta api, tetapi pengangkutan itu cuma meng-hubungkan beberapa kawasan tertentu dalam negara ini manakala jalan-jalan di sini pula kebanyakannya kotor dan tiada kenderaan awam,” ujarnya.

Belenkiy turut berkongsi detik-detik yang hampir mencemaskan apabila mendakwa perbuatannya merakam gambar telah disedari oleh penduduk setempat.

“Mereka kemudiannya membakar rumput kering untuk membuat asap bagi menghalang saya daripada terus mengambil gambar,” katanya.

Thursday, 23 June 2016

APPM peroleh sembilan kapal peronda termasuk tiga OPV

KUCHING 23 Jun - Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi membina sembilan lagi kapal peronda yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih bagi meningkatkan tahap keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
AHMAD PUZI

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Kahar berkata, kapal peronda pertama dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala selebihnya diperoleh secara berperingkat pada tahun-tahun berikutnya.

Beliau berkata, tiga daripadanya adalah kapal peronda luar pesisir (OPV) generasi baru yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan pendaratan helikopter, pesawat pemintas dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

"Kesemua kapal ini akan dibina dalam negara dengan kerjasama syarikat dari Jerman. Malah kepakaran dan perpindahan teknologi itu membantu memanfaatkan industri perkapalan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran Ops Pagar Laut di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), di Muara Tebas, di sini hari ini. - BERNAMA

Ibu bapa antivaksin berdosa, biarkan anak dalam bahaya - Mufti Perlis

KANGAR, 23 Jun - Individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Beliau berkata ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka divaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.

Katanya syariat Islam antaranya menuntut pemeliharaan kesihatan dan nyawa dan dalam konteks berkaitan penggunaan vaksin perlulah berpegang kepada konsep Islam.

"Islam melarang manusia memusnahkan diri secara sia-sia seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud 'jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'.

"Ayat ini jelas menyuruh kita melindungi diri dari sebarang bahaya. Tindakan yang mengakibatkan kemudaratan tidak wajar dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas program Menghayati Ramadan di sini hari ini.

Mengulas mengenai wabak difteria, Mohd Asri menasihatkan golongan yang antivaksin supaya bercakap berdasarkan fakta dan ilmu bukan sekadar membuat andaian sendiri bahawa penggunaan vaksin memberi kesan sampingan.

"Jika mereka (antivaksin) ada alternatif lebih baik untuk mengatasi sesuatu penyakit tidak mengapa tetapi yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Tanpa vaksin lebih memudaratkan kecuali mereka boleh membuktikannya," tambahnya.

Menurutnya hukum penggunaan vaksin yang mengandungi bahan tidak bersih atau dari sumber bersifat najis adalah diharuskan dan dibenarkan dalam Islam sekiranya tiada kaedah lain. - BERNAMA

China kerah armada nelayan

Tentera Laut Indonesia kelmarin menunjukkan kapal perang Indonesia, KRI Imam Bonjol-363 mendekati sebuah bot nelayan China (kanan) di perairan Kepulauan Natuna.
MANILA – China menggunakan armada nelayan bersama pengiring bersenjata bagi mengukuhkan lagi tuntutan maritimnya di wilayah tuntutan bertindih, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat(AS) dalam satu amaran semalam dan menyifatkan tindakan Beijing sebagai membimbangkan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kapal perang Indonesia melepaskan tembakan amaran dan menahan sebuah bot nelayan China bersama tujuh kru di Kepulauan Natuna, Laut China Selatan pada minggu lalu. Tindakan itu dikecam Beijing.

“Saya fikir ini satu trend membimbangkan untuk melihat bot-bot nelayan China diiringi oleh kapal pengawal pantai. Cara ini kelihatan digunakan untuk mengukuhkan tuntutan yang mungkin tidak sah,” kata pegawai AS itu melalui sidang video kepada wartawan di Asia Tenggara.

“Saya fikir ia menunjukkan kehadiran China yang semakin meluas (pasukan tentera dan separa tentera) dan digunakan dengan cara provokatif serta berisiko untuk menggugat kestabilan,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Tidak seperti beberapa negara lain di rantau ini, Indonesia tidak mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China melibatkan pulau-pulau kecil atau te­rumbu tetapi tuntutan Beijing untuk hak menangkap ikan berhampiran Kepulauan Natuna merangkumi zon ekonomi eksklusif Jakarta.

Susulan konfrontasi pada minggu lalu, panglima armada barat tentera laut Indonesia berkata, pencerobohan bot nelayan itu adalah ‘tersusun’, menunjukkan Beijing telah ‘memberikan restunya’.

“China memprotes kerana merasakan kawasan ini (Kepulauan Natuna) milik mereka,” kata Komander Achmad Taufiqoerrochman. - AFP

Perodua D63D sedan leaks out, to get 1.3 VVT engine

Appears to be in production body.

The Perodua D63D was confirmed to be in the pipeline last year. Now, funtasticko.net has published fully undisguised images of the upcoming B-segment sedan that shows its exterior.

The Perdoua D63D sedan may be based on a Toyota/Daihatsu platform.

The D63D is the codename of the B-segment sedan, but it’s real name is yet to be known. Reports suggest that the Perodua D63D won’t be a completely in-house developed product from Perodua. The company may use an existing Toyota/Daihatsu platform.

The Perodua D63D will be powered by Toyota Motor’s 1NR-VE 1.3-litre Dual VVT-i petrol engine currently found in the Toyota Avanza and the Daihatsu Xenia. This engine is manufactured by Astra Daihatsu Motor, an Indonesian subsidiary of Daihatsu. Daihatsu had announced last year that this engine will be manufactured at a new engine plant that will commence operation in mid-2016.

The Perodua D63D could be offered with the 1NR-VE 1.3-litre Dual VVT-i engine.

Not much is known about what Perodua plans to offer in the D63D. The Malaysian publication’s report says that the D63D will be equipped with an engine push-start button, as well as vehicle stability control, traction control and other mandatory safety systems for receiving a 5-star safety rating from ASEAN NCAP. - funtasticko


Wednesday, 22 June 2016

Kemiskinan tidak boleh dibasmi tapi...

PPZ-MAIWP

SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyifatkan kemiskinan memang tidak boleh dibasmi di negara ini atas beberapa sebab.

Namun menurut PPZ, kemiskinan itu dapat dikurangkan.

"Kemiskinan merupakan perkara yang subjektif. Berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya, ketua keluarga tidak bertanggungjawab.

"Keadaan ini berlaku apabila ketua keluarga gagal memikul tanggungjawabnya dalam memberi nafkah, meninggalkan tanggungannya, penglibatan jenayah sehingga dipenjarakan atau sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, katanya, faktor kedua  berkait ekonomi yang memainkan peranan penting dalam peningkatan kadar kemiskinan.

"Seperti kehilangan pekerjaan, muflis, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.

"Selain itu, faktor kematian ketua keluarga yang menjadi tunjang ekonomi keluarga juga akan menyebabkan sesebuah keluarga itu terjerumus kepada kemiskinan," katanya.

Kata PPZ lagi, perceraian yang menyebabkan keruntuhan institusi keluarga turut menjadi faktor kadar kemiskinan meningkat.

"Peningkatan jumlah penceraian juga membimbangkan kerana semakin meningkat.

"Faktor lain penghijrahan di mana Kuala Lumpur merupakan antara yang terkaya di Malaysia. Keadaan ini menyebabkan ia menjadi destinasi tumpuan penghijrahan rakyat Malaysia untuk mencari rezeki.

"Selain itu, musibah seperti penyakit kronik, kemalangan dan sebagainya akan menjerumuskan sesebuah keluarga itu kepada kemiskinan," katanya. -SH

Beijing bina jenama di Laut China Selatan


SHANGHAI - CHINA. Syarikat COSCO Shipping Corp merancang untuk melancarkan percutian di atas kapal persiaran di Laut China Selatan, bulan depan, dengan laluan pertama dari bandar Sanya ke Kepulauan Parcel.

"Adalah praktikal untuk merangsang ekonomi tempatan melalui pembangunan pelancongan, logistik dan kemudahan infrastruktur," menurut pengerusi syarikat, Xu Lirong, disiarkan media tempatan China Daily.

Syarikat milik China itu memberitahu, perkhidmatan pelancongan di kawasan tersebut adalah sebahagian daripada strategi dan tanggungjawab menaikkan lagi nama negara itu di mata dunia.

Dengan pelancaran percutian berkenaan, beberapa pembangunan lain di Laut China Selatan dan Selat Taiwan akan dilakukan sekali gus membina jenama pelayaran negara pertama Beijing. - Reuters

Bom TUDM dilupus tak bertempat

ANGGOTA polis mengutip bom dan kelongsong bom yang ditemui di kawasan pembakaran sampah di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Goh di Kuantan semalam.
KUANTAN – Penduduk di perkampungan Felda Bukit Goh dekat sini kelmarin gempar apabila menemui 48 bom dan kelongsong bom di kawasan pembakaran sampah di hadapan sebuah rumah.

Penemuan objek-objek pada pukul 3 petang itu berlaku secara tidak sengaja apabila seorang penduduk ternampak benda ­asing berselerak di kawasan pembakaran sampah di situ.

Bom-bom yang diperbuat daripada besi itu digunakan semasa latihan dan digugurkan daripada pesawat pejuang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Assisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan ke atas bom dan kelongsong bom itu mendapati, ia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang digunakan sewaktu sesi latihan.

“Bom berkenaan tidak bahaya dan hanya mengeluarkan bunyi letupan. Malah, bom untuk sesi latihan itu telah digunakan dan tidak aktif lagi.

“Kami serahkan kes berkenaan kepada pihak TUDM untuk siasatan lanjut bagi menjawab persoalan bagaimana longgokan itu boleh ditinggalkan di kawasan berhampiran penempatan penduduk,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam. -Kosmo!

Tuesday, 21 June 2016

Raja Mohamed Affandi PAT baharu mulai 16 Disember

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi
Raja Mohamed Noor
KUALA LUMPUR 21 Jun - Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd. Zin berkuatkuasa 16 Disember ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peralihan jawatan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berikutan Zulkefli yang akan bercuti dan mengambil Latihan Peralihan pada tarikh tersebut sebelum bersara wajib pada 13 Jun 2017.

Beliau berkata, pengumuman enam bulan lebih awal itu dilakukan demi memastikan peralihan tampuk pemerintahan ATM berjalan lancar manakala pemimpin yang terlibat boleh membuat persediaan. - UTUSAN 

Ketagih makan bedak selepas bersalin

Lizzie Foster
WIGHT - BRITAIN. Seorang wanita mengaku ketagih bedak talkum selepas melahirkan anak pertamanya.

Laporan Dailymail mengatakan Lizzie Foster, 25, sudah 'menelan' hampir satu tan bedak talkum.

"Saya makan bedak talkum hampir sepanjang masa. Saya makan bedak ketika sarapan dan ketika menonton televisyen," kata Lizzie.

Katanya, dia terpaksa membelanjakan RM4,752.04 untuk memuaskan ketagihannya tersebut.

"Ada pakar memberitahu ketagihan ketika mengandung berlaku disebabkan kekurangan vitamin D atau zat besi.

"Saya juga tidak bimbang mengenai sebarang komplikasi ketika mengandungkan anak pertama, Ruby.  Saya muda dan lurus ketika itu," jelas Lizzie.

Difahamkan, ketagihan pelik Lizzie adalah disebabkan penyakit Pica, iaitu suatu 'eating disorder'.

Pica menyebabkan penghidapnya mahu memakan benda yang tidak mempunyai khasiat atau nutrien.