Friday, 1 July 2016

Tiada lorong tambah nilai mulai esok


KUALA LUMPUR - Lorong tambah nilai kad PlusMiles dan Touch 'n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan tidak akan beroperasi mulai esok dan sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Pengurus Wilayah Tengah Plus Malaysia Berhad, Yusuf Abdul Aziz berkata, ini merupakan antara langkah untuk mengelak kesesakan di plaza tol Plus.  

"Bagaimanapun pusat khidmat pelanggan kami di beberapa plaza tol akan beroperasi seawal 7 pagi sehingga 10 malam setiap hari bagi kemudahan pengguna membuat urusan tambah nilai.

"Pihak Plus ingin menasihatkan pengguna untuk menambah nilai sebelum memulakan perjalanan dan ini boleh dilakukan di banyak tempat termasuk di stesen minyak, ATM dan pelbagai lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ekoran jangkaan pertambahan 1.6 juta kenderaan di Lebuh Raya Plus  pada musim perayaan ini, beberapa kawasan dijangka mengalami kesesakan lebih daripada biasa.

Yusuf berkata, antara kawasan yang dijangka sesak di sebelah utara ialah dari Slim River sehingga Kuala Kangsar, manakala bagi laluan ke selatan dari Pedas Linggi sehingga Melaka.

Kesesakan berikutan laluan trafik dari empat atau tiga lorong terpaksa berhimpit untuk melalui dua lorong, selain perlu melalui kawasan mendaki, katanya.

"Bagi menyuraikan kesesakan trafik, Plus bersedia membuka laluan kontra di kawasan berkenaan. Namun jika kesesakan amat teruk, kita akan minta pengguna lebuh raya menggunakan laluan alternatif.

"Dimohon para pengguna mematuhi arahan semasa Plus dan pihak polis yang akan membantu mengawal selia trafik," katanya.

Yusuf turut mengingatkan pengguna lebuh raya agar tidak menyalahgunakan lorong kecemasan atau akan berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Perbuatan ini hanya akan mengganggu pengguna lain terutamanya pasukan operasi menyelamat apabila berlaku kecemasan," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh menghubungi talian Plusline 1-800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik, bantuan PlusRonda dan informasi lain. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...