Saturday 16 July 2016

Loji nuklear di Laut China Selatan

IMEJ menunjukkan seorang wanita berdekatan poster terumbu yang dibina landasan kapal terbang di Laut China Selatan semasa melalui jalan di Weifang, timur wilayah Shandong, China kelmarin.
BEIJING – China kini merancang membina loji kuasa nuklear mudah alih di Laut China Selatan, lapor media tempatan semalam iaitu beberapa hari selepas tribunal antarabangsa menolak tuntutan China di perairan strategik dan penting tersebut.

“Pembinaan platform kuasa nuklear marin akan digunakan untuk menyokong kawalan berkesan China di Laut China Selatan,” menurut laman web China, Global Times yang memetik kenya­taan Perbadanan Nuklear Kebangsaan China (CNNC) di satu akaun laman sosial.

Global Times yang memetik laporan itu menyebut kuasa nuklear marin akan digunakan di kepulauan dan te­rumbu Spratly yang menjadi pertikaian bagi menjamin sumber bekalan air tawar.

Laporan asal telah dipadam daripada akaun CNNC di platform media sosial WeChat semalam dan seorang staf di firma itu memberitahu AFP bahawa laporan itu perlu dipastikan ketepatannya.

“Pada masa lalu, bekalan air tawar untuk tentera yang ditempatkan di Laut China Selatan tidak dapat dijamin dan hanya boleh disediakan oleh bot-bot yang menghantar tong-tong air,” kata Global Times memetik laporan tersebut.

“Pada masa akan datang, apabila sistem elektrik dan kuasa di Laut China Selatan diperkukuhkan, China akan mempercepatkan pemba­ngunan komersial di kawasan tersebut,” tambahnya.

China menukar terumbu-terumbu di laut itu menjadi pulau buatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini selain membina infrastruktur awam dan tentera.

Laporan itu didedahkan selepas tribunal Mahkamah Timbang Tara (PCA) pada Selasa lalu menyokong kes Filipina bahawa tidak ada asas undang-undang untuk tuntutan maritim oleh Beijing.

Laporan sama turut mene­mui aktiviti China menyebabkan kerosakan teruk kepada ekosistem batu karang.

China menegaskan menolak keputusan itu dan memberi amaran kepada pesaing untuk meningkatkan tekanan ke atas isu itu. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...