Thursday, 21 July 2016

14 kapal perang Turki ‘hilang’ selepas kudeta


ISTANBUL – Sebanyak 14 kapal milik tentera laut Turki dilaporkan “hilang” selepas berakhirnya cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Jumaat lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Komander Tentera Laut Turki, Laksamana Veysel Kosele juga gagal dihubungi sejak kudeta tersebut.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada beliau terlibat dalam cubaan rampasan kuasa itu atau ditahan secara paksa selepas media tempatan melaporkan bahawa Veysel diperdaya untuk menaiki salah sebuah kapal yang hilang itu setelah diberitahu tentang satu serangan pengganas.

Menurut portal Times, sebanyak 14 kapal yang dilaporkan hilang itu berada di Laut Aegean atau Laut Hitam semasa cubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu.

Kapal-kapal itu gagal kembali ke pangkalan walaupun boleh dikesan menggunakan radar.

Perkara itu menimbulkan spekulasi bahawa kapal-kapal itu mungkin dalam perjalanan ke pelabuhan Greece untuk mendapatkan suaka.

Kerajaan Turki enggan mengulas perkara itu, namun memberitahu akhbar tempatan: “Penilaian kami mendapati ada pihak yang mungkin cuba merampas helikopter atau terlibat dalam keganasan lain terhadap rakyat dan bangunan kerajaan.”

Dalam perkembangan berkaitan, lapan pegawai tentera yang menaiki sebuah helikopter menuju ke Greece ketika cubaan rampasan kuasa itu bertindak memohon suaka politik.

Turki menuntut mereka dikembalikan, namun Greece menegaskan permohonan suaka itu perlu diteliti mengikut undang-undang antarabangsa, manakala dakwaan bahawa mereka terlibat dalam kudeta itu juga akan diambil kira.

Kelapan-lapan individu itu akan dibicarakan hari ini kerana memasuki Greece tanpa izin.

Sementara itu, bekas Ketua Tentera Udara Turki, Jeneral Akin Ozturk mengaku mengenai peranannya merancang rampasan kuasa kepada pihak pendakwa raya, menurut laporan agensi berita Anadolu.

Akin dipetik sebagai berkata bahawa beliau ‘bertindak dengan niat untuk mengadakan rampasan kuasa’.

Lebih 200 orang maut dalam cubaan rampasan kuasa pada malam Jumaat lalu. Akin sebelum ini menafikan terlibat dalam kudeta itu.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...