Fairul Zahid |
DIBESARKAN dalam keluarga yang serba sederhana di Johor ,ditambah lagi dengan ketiadaan ibu tercinta, tidak menghalang Fairul Zahid, 28, untuk mencipta nama di Universiti New York apabila berjaya menempatkan diri dalam kalangan pelajar terbaik dalam bidang seni tari di universiti berkenaan.
Dengan memperoleh Gred Kumulatif 3.89, Fairul akhirnya berjaya membuktikan bahawa anak Melayu mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan anak bangsa lain di dunia ini.
Bercakap dengan Sinar Online baru-baru ini, Fairul berkata kejayaan yang diperolehnya itu, bukan mudah untuk didakap namun atas semangat yang kental dan rajin berusaha, dia berjaya juga untuk memperoleh keputusan cemerlang di universiti berkenaan.
"Saya sentiasa ingat pesan arwah ibu saya Maskiah Jahari dan ayah Mohd Zahid Sahri bahawa dalam dunia ini apa yang penting kita kena berusaha, Tuhan tidak akan memberi apa yang kita nak, tetapi Tuhan akan beri apa yang kita perlu.
"Saya telah berjaya menghasilkan beberapa koreografi dan baru-baru ini saya telah membuat satu produksi tari kontemporari di bawah Asia Duo Dance company dengan usaha sama daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company," katanya.
Berbicara mengenai produksi tarinya, Fairul berkata pelbagai cabaran dan halangan yang ditempuhnya sebelum berjaya merealisasikan matlamat itu.
"Tidak ramai yang ingin menaja kami. namun itu bukan halangan. Melalui hasil simpanan selama dua tahun termasuk sumber kewangan yang diberikan melalui Sime Darby Scholarship,dapatlah saya laksanakan produksi ini.
"Masih segar dalam ingatan dimana saya dan rakan terpaksa pergi mencari botol dan tin kosong untuk menambah pendapatan untuk menghasilkan produksi ini. Ternyata Alhamdulilah berhasil walaupun sedikit tetapi membantu unutk memberi makan dan minum kepada semua yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, katanya dia berharap agar lebih ramai lagi anak Melayu yang boleh mencipta nama di luar sana, agar ia boleh memberi inspirasi kepada anak bangsa kita di Malaysia.
"Dalam kejayaan saya melalui aspek pelajaran, apa yang saya boleh kongsikan adalah,saya selalu mengamalkan sikap tolong-menolong antara rakan.
"Belajar dalam kumpulan dan sentiasa murah dengan menghulur bantuan jika orang memerlukan pertolongan. kadang kala ada juga sedikit sebanyak saya hampir putus asa kerana subjek yang begitu sukar bagi saya laksanakan, namun saya sentiasa berdoa supaya saya terus kuat dan istiqamah dengan apa yang saya lakukan itu dalam kejayaan ini," katanya.
"Saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu saya. Saya nak sangat bantu keluarga dan saya tahu ianya ambil masa yang lama. Sebak didada ini bila terkenangkan arwah ibu yang terlantar sakit dahulu...namun bagi saya kejayaan ini dapat membantu mereka serba sedikit.
"Satu hari nanti insya-ALLAH saya akan bawa kejayaan ini untuk mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...