Monday 11 July 2016

Permintaan meningkat untuk pengawal peribadi bersenjata

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapha Ali.
PUTRAJAYA: Lebih ramai ahli perniagaan dan orang kenamaan kini mahu mendapatkan khidmat pengawal peribadi bersenjata dan melengkapkan kenderaan kegunaan mereka serta keluarga dengan cermin kereta kalis peluru.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapha Ali, tidak menolak kemungkinan fenomena itu berlaku berikutan peningkatan mendadak kes jenayah menggunakan senjata api kebelakangan ini, terutama serangan membabitkan pembunuh upahan. 

"PPKKM akan mengadakan perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat bagi merancang program untuk melatih lebih ramai pengawal peribadi dan pengawal keselamatan bersenjata. "Ada kira-kira 800 syarikat keselamatan berdaftar di negara ini, yang mempunyai sekitar 200,000 pengawal keselamatan tetapi hanya kira-kira 10 peratus daripada mereka yang mempunyai lesen membawa senjata api. 

"Dulu, kita ada ramai bekas tentera dan polis yang mahu menjadi pengawal keselamatan dan mereka sudah ada pengalaman guna senjata api tetapi kini tidak ramai dalam kalangan mereka memilih kerjaya ini. Justeru, kita perlu melatih dalam kalangan orang awam," katanya lagi.

Beliau menegaskan seseorang calon perlu lulus saringan keselamatan, kesihatan mental dan fizikal, mempunyai rekod bersih, terbukti bertanggungjawab serta lulus latihan senjata sebelum diberi lesen 'membawa dan menggunakan' senjata api. "Gaji mereka pula antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa selain bergantung kepada ketangkasan, pengalaman berkhidmat sebagai polis atau tentera serta sama ada memiliki kemahiran seni mempertahankan diri. 

"Bagaimanapun, individu yang mahukan perlindungan untuk tujuan tertentu boleh juga mendapatkan khidmat pengawal peribadi bersenjata berdasarkan tempoh berapa jam yang diperlukan," katanya. Sementara itu, jurucakap sebuah syarikat pembekal cermin keselamatan, STEC Laminates, berkata syarikatnya menerima purata lima panggilan seminggu sejak tiga minggu kebelakangan ini, daripada pelanggan yang bertanya mengenai pemasangan cermin kalis peluru untuk kenderaan. 

"Sebenarnya syarikat kami menghasilkan cermin keselamatan bagi perniagaan seperti kedai barangan kemas dan pengurup wang selain untuk kegunaan premis perniagaan serta kediaman, kebanyakannya untuk pasaran eksport. 

"Namun, sejak peningkatan kes tembak-menembak di sini, ramai yang bertanya mengenai cermin kalis peluru untuk kenderaan dan kami merujuk mereka kepada pelanggan kami yang melakukan kerja pemasangan cermin kalis peluru ini. 

"Harga bergantung kepada kenderaan dan ketebalan cermin, yang berfungsi mengurangkan kelajuan serta menghentikan peluru daripada menembusinya. Ia berupaya menahan antara tiga hingga enam das tembakan pada satu-satu masa," katanya. 

Jurucakap sebuah lagi syarikat, Secuglass Sdn Bhd, berkata semakin ramai pelanggan kini mahu menggantikan cermin biasa di kediaman masing-masing dengan kaca balistik iaitu sejenis cermin kalis cahaya yang juga kalis peluru.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...