Sunday 31 July 2016

Samun tempat kerja sendiri

Polis merampas wang tunai RM7,130
daripada suspek.
SEREMBAN - Lima suspek kejadian samun sebuah kedai makanan sejuk beku di Senawang, di sini, berjaya diberkas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, empat daripada mereka merupakan pekerja kedai tersebut.

“Semua lelaki berumur lingkungan 20-an ini ditahan kerana dipercayai suspek kes pecah masuk kedai makanan sejuk beku.

“Tiga daripada mereka ditahan pada Khamis lalu iaitu sehari selepas kejadian manakala dua lagi ditahan pada Jumaat lalu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dua suspek yang telah bekerja di kedai itu sejak awal tahun ini mengaku memecah masuk premis dan mencuri wang perniagaan.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,130 daripada suspek dan sebuah motosikal yang mempunyai komponen dibeli hasil wang curi.

“Semua mereka direman selama empat hari hingga Isnin ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kedai dan soal siasat masih diteruskan,” katanya.

Rabu lalu, dalam kejadian kira-kira 11.50 malam, polis menerima satu laporan polis daripada seorang pekerja kedai makanan sejuk beku di Senawang yang mendakwa kedai dipecah masuk penjenayah.

Hasil siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil pada roller shutter kedai dan laci wang simpanan turut diumpil.

Wang tunai hasil jualan berjumlah RM15,000 dicuri. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan polis secara terperinci mengesyaki perbuatan pecah masuk kedai itu melibatkan orang dalam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...