Wednesday 20 July 2016

IPQ UUM terima pengiktirafan antarabangsa

KUALA LUMPUR- Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai Perancangan Korporat dan Jabatan Pengurusan Kualiti Terbaik di bawah kategori Institut Pengajian Tinggi pada Anugerah Global Kongres Pendidikan Dunia 2016 yang berlangsung di Mumbai, India, baru-baru ini.
HAIM HILMAN

Anugerah berkenaan diterima berdasarkan usaha berterusan IPQ dalam mengukuhkan pengurusan kualiti dan akreditasi melalui kepatuhan kepada pelbagai piawaian pengurusan kualiti selain penggunaan beberapa platform untuk meningkatkan kualiti antaranya MS ISO 9001: 2008 dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK);

Platform lain ialah Penilaian Kualiti dan Amalan Inovasi (5S), Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara), ASEAN University Network Quality Assurance (AUN-QA), Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA), Kod Amalan Audit Institusi (COPIA) dan Pelan Strategik UUM Fasa 1 (2011-2015) serta Fasa 2 (2016-2020).

Pengarah IPQ UUM, Prof Madya Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap usaha institut itu memacu kecemerlangan UUM dari segi ranking dan rating.

“Pengiktirafan ini juga adalah tambahan cemerlang kepada senarai anugerah yang telah dimenangi oleh IPQ sebelum ini. Malah, masih banyak yang perlu dilakukan dan anugerah ini pasti akan memberi dorongan kepada kami ke arah menjadi sebuah jabatan selaras dengan moto ‘Focus, Accurate, Sharp & Timely’ selain yakin dapat mengemudi agenda berkaitan Sistem Kecemerlangan Kualiti, Perancangan Korporat dan Daya Saing Global.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan IPQ yang telah memberi sokongan kepada agenda perancangan korporat, pengurusan kualiti, daya saing global dalam membantu IPQ mencapai anugerah bersejarah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...