Wednesday 27 July 2016

NATO diingat bersiap sedia lindungi Poland daripada ancaman Rusia

WARSAW – Satu kajian baharu memberi amaran bahawa Rusia cuma memerlukan semalaman untuk menakluki Poland pada bila-bila masa sahaja, manakala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mesti bersedia untuk melindungi Poland.

Dasar luar agresif Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin mendorong negara-negara serantau berwaspada selepas Moscow merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine, demikian me­nurut akhbar Sun.

Badan pemikir Eropah, Majlis Atlantik memberi amaran: “Walaupun Moscow ketika ini tidak berhasrat mencabar NATO secara terang-terangan, pendirian ini boleh berubah dalam masa singkat,”.

Badan itu menjelaskan bahawa operasi tentera Rusia amat pantas dan memberi amaran kepada Poland serta sekutunya supaya segera menambah persenjataan sebagai langkah pencegahan.

Malah, laporan itu turut mencadangkan beberapa sasaran serangan ke atas Rusia sekiranya situasi memaksa termasuk Kaliningrad dan infrastruktur Metro di Moscow.

Menurut kumpulan pemikir itu, lebih banyak peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) perlu ditempatkan di rantau ber­kenaan, manakala Poland pula perlu menghalang penghijrahan keluar belianya untuk mencari pekerjaan di luar negara.

Mereka sebaliknya perlu di­serap untuk mengukuhkan pasukan tentera Poland.

Pada awal bulan ini, Presiden AS, Barack Obama mengumumkan rancangan untuk mengerahkan seramai 1,000 askarnya ke Poland, persediaan terbesar NATO sejak Perang Dingin.

Timbalan Penasihat Ke­selamatan negara AS, Ben Rhodes, menafikan Washington meningkatkan ketegangan di Eropah timur.

“Kami mahu menunjukkan bahawa akan ada tindak balas dan lebih banyak askar dihantar ke Eropah timur sekiranya Rusia terus bersikap agresif,” katanya.

Selain AS, Britain yang merupakan antara 28 anggota NATO juga akan menghantar tenteranya ke Eropah timur pada bulan ini.

Seramai 500 askar Britain akan ditempatkan di Estonia dan 150 di Poland, manakala 3,000 lagi akan dihantar ke rantau itu sekiranya aktiviti Rusia di sempadan kedua-dua negara meningkat. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...