Tuesday, 26 July 2016

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Papa Gomo


PUTRAJAYA - Blogger Papa Gomo harus membayar ganti rugi RM800,000 kepada bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonan terakhirnya untuk mengetepikan saman itu ditolak.

Ini adalah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Wan Muhammad Azri Wan Deris, juga dikenali sebagai Papa Gomo, bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 4 Disember tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.   

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum menolak permohonan untuk kebenaran merayu itu dengan kos RM10,000 selepas mendapati permohonan perayu tidak mempunyai merit.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan Amran Aminuddin yang mewakili Wan Muhammad Azri.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Pada 21 Mac 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...