PELURU berpandu China, HQ-9 dipindahkan dari Pulau Woody. |
BEIJING: China memindahkan peluru berpandu generasi barunya dari pulau yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan selepas Amerika Syarikat (AS) mengundurkan kapal pengangkut pesawat menjelang keputusan bersejarah oleh tribunal antarabangsa, menurut laporan media.
Imej Pertahanan dan Ruang Udara Airbus menunjukkan peluru berpandu HQ-9 dipindahkan dari Pulau Woody sebelum Mahkamah Timbang Tara Kekal di The Hague menolak tuntutan Beijing berhubung Laut China Selatan, lapor akhbar South China Morning Post memetik kenyataan majalah IHS Janes Defence, merujuk imej satelit.
HQ-9 mempunyai jarak 200 kilometer dan boleh memintas pesawat dan peluru berpandu.
Laporan menyatakan, peluru berpandu yang berada di Pulau Woody, terbesar di Pulau Parcel yang dituntut China dan Vietnam di Laut China Selatan mungkin diangkut balik ke tanah besar untuk tujuan penyelenggaraan oleh kapal Type 072A yang berlabuh di pelabuhan pulau itu.
Akhbar berkenaan memetik pakar tentera laut, Li Jie, sebagai berkata pemindahan HQ-9 adalah tindak balas kepada keputusan Pentagon untuk mengundurkan USS John C Stennis dari Laut China Selatan pada 5 Julai lalu, menunjukkan Beijing dan Washington mahu mengurangkan risiko konfrontasi ketenteraan.
"Tentera China perlu menunjukkan sikap mesra selepas Pentagon mengundurkan USS John Stennis ke Hawaii.
"Beberapa usaha tepat melucutkan senjata akan membantu mengurangkan ketegangan di rantau itu. Kami melihat kemajuan dalam pertukaran tentera peringkat tertinggi China-Amerika Syarikat, dengan Amerika menghantar ketua operasi tentera lautnya, Laksamana John Richardson untuk bertemu rakan sejawatannya dari China, Laksamana Wu Shengli, selepas keputusan itu," kata Li. - AGENSI
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...