Tuesday, 19 July 2016

Beijing tutup sebahagian Laut China Selatan


BEIJING – Beijing akan menutup akses ke sebahagian Laut China Selatan bagi tujuan latihan tentera, kata beberapa pegawai semalam selepas Mahkamah Tetap Arbitrasi (PCA) di The Hague, Belanda menolak tuntutannya di perairan tersebut.

Kawasan luar pantai timur pulau Hainan itu akan menjadi lokasi latihan tentera bermula hari ini hingga Khamis depan, kata pentadbiran maritim China di laman webnya sambil menambah, perairan itu akan menjadi kawasan larangan.

Kawasan laut itu dikenal pasti terletak jauh dari Kepulauan Paracel dan lebih jauh dari Kepulauan Spratly, dua kepulauan di Laut China Selatan yang dituntut oleh Beijing dan beberapa negara jirannya.

Tentera Laut China menjalankan latihan
ketenteraan di sekitar kawasan
Laut China Selatan.
PCA pada minggu lalu memutuskan bahawa tiada asas undang-undang untuk Beijing menuntut sebahagian besar laut tersebut seperti yang terkandung dalam peta tahun 1940-an yang dikenali sebagai ‘sembilan garis putus-putus’ dan merentasi ke perairan negara-negara lain.

Manila yang memfailkan kes itu terhadap Beijing menyambut baik keputusan PCA, namun keputusan tersebut ditolak oleh China. -AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...