KUALA LUMPUR 29 Julai - Sebanyak 28 pegawai imigresen yang ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula awal Mei hingga Selasa lalu dipercayai terlibat menyeludup masuk dan keluar lebih 10,000 warga asing ke negara ini sejak lima tahun lalu.
Kegiatan penyeludupan itu dipercayai dilakukan bukan hanya melalui lapangan terbang negara tetapi juga di semua pintu masuk negara, termasuk darat dan air.
Menurut sumber, kebanyakan warga asing yang dibawa masuk adalah rakyat Bangladesh diikuti India, Afrika, China, Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka.
Ujarnya, selain bekerja secara haram, terdapat warga asing yang dipercayai menunggu masa untuk diuruskan pergi ke negara ketiga dengan menjadikan negara ini sebagai transit.
Jelasnya, mereka akan berurusan dengan ejen bagi mendapatkan pasport tempatan yang telah dipalsukan dan ejen pula kemudiannya akan menggunakan pegawai imigresen terlibat bagi proses seterusnya.
“Setiap warga asing yang masuk akan dikenakan bayaran antara RM300 dan RM5,000 oleh ejen mengikut negara.., dan pegawai imigresen terlibat pula akan menerima bayaran lebih kurang sama (dengan ejen) berdasarkan jumlah warga asing yang perlu diseludup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sumber itu memberitahu, kesemua warga asing yang dibawa masuk tidak mengikuti prosedur yang sah seperti keperluan menjalani saringan kesihatan dan dikhuatiri boleh menjadi punca merebaknya penyakit-penyakit berjangkit dan berbahaya di negara ini.
Semalam, media melaporkan sebanyak 28 pegawai imigresen termasuk isteri seorang pelakon terkenal ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.
Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun. Sebanyak 15 orang ditahan dalam operasi awal Mei dan 13 lagi ditahan Selasa lalu.
Utusan Malaysia melalui laporan eksklusif pada 10 Mei dan 11 Mei lalu melaporkan mengenai ‘keistimewaan’ lebih 10 sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan pasport yang dikesan sewenang-wenangnya menjadikan kedua-dua lapangan terbang utama negara sebagai pusat transit warga asing sebelum berlepas ke negara ketiga.
Sindiket itu juga menyebabkan kira-kira 10 warga keluar menggunakan pasport palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 setiap hari sejak awal tahun ini.
Maklumat itu adalah hasil siasatan PDRM susulan penahanan dua pegawai imigresen bersama 17 individu lain dalam satu operasi khas di sekitar Lembah Klang pada awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...