Monday 11 July 2016

Britain salah serang Iraq

Tony Blair 
LONDON – Britain melanggar undang-undang antarabangsa apabila menyerang Iraq pada 2003, kata Timbalan Perdana Menteri ketika itu, John Prescott semalam susulan inkuiri awam berhubung tindakan tersebut.

Inkuiri tujuh tahun itu mendapati pada Rabu lepas bahawa justifikasi, perancangan dan pengendalian Perang Iraq oleh bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair merupakan siri ke­gagalan tetapi tidak menyebut sama ada perang itu mencabuli undang-undang.

Lapan bulan sebelum Iraq di­serang pada 2003, Blair berkata kepada Presiden Amerika Syarikat, George Bush: “Saya akan bersama anda, walau apapun,”.

Beliau akhirnya menghantar seramai 45,000 askar Britain ke medan perang walaupun pilihan untuk perdamaian masih wujud, demikian menurut inkuiri awam itu.

Prescott dalam komentarnya yang disiarkan akhbar Sunday Mirror berkata, beliau kini menukar pendiriannya tentang status Perang Iraq dan mengkritik Blair kerana menghalang menteri-menterinya daripada berbincang terlebih dahulu sama ada perang itu sah di sisi undang-undang.

“Pada 2004, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan memberitahu bahawa penukaran kepimpinan menjadi matlamat utama Perang Iraq, perang ini jelas melanggar undang-undang.

“Dengan hati yang amat sedih dan marah. Saya kini percaya beliau berkata benar,” kata Prescott dalam komentarnya.

Ramai rakyat Britain mahu Blair dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah berkaitan keputusannya mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iraq yang menyebabkan kematian seramai 179 anggota tentera negara itu dan lebih 150,000 penduduk awam Iraq sepanjang perang dan penaklukan selama enam tahun itu. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...