Monday, 18 July 2016

Bingkisan buat Umno dan Pas

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
KEBENARAN itu amat pahit. Inilah perkara yang perlu disedari oleh kita semua, terutama kalangan pemimpin negara dan masyarakat serta para daie. Berkata benarlah, kerana kebenaran itu tetap akan menang sampai bila-bila, meskipun kalah di dunia atau dikeji dan dimaki musuh.

Benar, saya merasai berseorangan, kerana saya tahu ramai yang takut memberikan sokongan secara terbuka. Tidak mengapalah. Saya serahkan nasib ini kepada takdir Ilahi. Ya, ALLAH kuatkanlah semangat ini. Bimbinglah hambamu ini ke jalan yang Kau redai. Matikan aku dalam iman dan Islam.

Selama ini ultra kiasu menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, tali barut, barua dan penjilat Umno. Namun, setelah terbongkar dan viral, saya keluar daripada menjadi ahli seumur hidup MCA, semuanya terkejut beruk. Baharulah mereka tahu, hakikat sebenarnya saya masih orang Cina yang duduk dalam parti Cina. Atas dasar prinsip, kemudian, saya keluar.

Apakah saudaraku tidak menitis air membaca komen daripada saudara Tai Khai Eong dalam blog saya, ridhuantee.blogspot, artikel minggu lepas. Kata Tai:

"Prof, apa yang Prof tuliskan tentang ultra kiasu semuanya betul dan benar belaka. Liciknya mereka. Mereka sebenarnya, tidak mahu melihat orang Melayu atau lebih tepat, orang Islam maju. Mereka takut perniagaan dan pendapatan mereka hancur. Dan pelbagai lagi kelicikan ultra kiasu ini yang harus Prof tulis lagi.

Walaupun saya penyokong kuat parti pemerintah sekarang, tetapi sekiranya parti pemerintah tidak lagi berkuasa, saya mengharap agar Pas lah penggantinya. Kalau lain, Islam hancur. Saya, walau bukan Islam, tapi saya faham benar tentang Islam.

Maklumlah, rumah hanya terletak di belakang masjid. Dari kecil hingga besar memang dapat dengar ceramah dan acara yang berlangsung di masjid. Kampung saya di Penang pula, majoriti besarnya, Melayu. Harap Prof dapat bongkarkan lagi niat jahat ultra kiasu."

Terus terang, saya amat bersetuju dengan komen saudara Tai. Ditakdirkan Umno hilang kuasa, parti mana lagi boleh diharapkan untuk menjaga negara bertuah ini jika bukan Pas. Nak harapkan Amanah dan PKR? Mereka ini jelas sekali kuda tunggangan ultra kiasu. Ultra kiasu adalah DAP, MCA, Gerakan, MIC dan mereka yang menentang agenda Islam.

Saya sangat pelik, kenapa Umno masih tidak menyedari MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen yang menentang Islam lain, sebenar bergantung kekuatan kepada Umno dan orang Melayu. Jika orang Melayu tidak mengundi mereka, sudah lama parti-parti ini bungkus. Kita terus melantik mereka menjadi menteri, memberi ruang dan peluang begitu luas. Sedangkan mereka tidak pernah mengundi kita.

Bukan tidak ada pilihan. Ada. Lantiklah Cina, India atau Bumiputera bukan Islam, atau zimmi, yang baik-baik menjadi menteri dan ahli Kabinet. Masih ramai.

Meskipun mereka bukan daripada kalangan parti politik. Ini tidak, sudah tahu mereka menjadi beban dan masalah, malangnya terus dilantik dan dinaikkan pangkat. Apa erti semua ini?

Sebab itu, saya setuju dengan Tai, pilihan hari ini adalah Pas. Walaupun Pas dikatakan berseorangan, tidak akan menang dalam PRU akan datang kerana keluar daripada Pakatan, tetapi Pas mempunyai prinsip. Mulianya manusia bukan kerana pandai bermuka-muka, tetapi kerana prinsipnya yang teguh. Apatah lagi cekal dan kental bersama Islam.

Kemuliaan kita di sisi ALLAH, bukan kerana pandai menguruskan negara ini semata-mata, tetapi harus dilihat sejauh mana keberanian mempertahankan maruah agama suci ini daripada dicemari. Bangunlah wahai saudaraku. Kita sudah tidak punyai banyak masa.

Umno dan Pas mesti berpolitik secara matang. Bersatulah, sama ada secara senyap mahupun terang, seperti yang dilakukan oleh parti politik ultra kiasu ini DAP, MCA, Gerakan, SUPP dan lain-lain. Semua mereka ini bersatu dalam NGO yang bernama, Hua Zongatau Dong Jiao Zong. NGO inilah yang paling berpengaruh.

Umno akan keseorangan nanti jika tidak bersama Pas, kerana dalam BN, hanya Umno sahaja parti yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Parti lain hanya menjaga perut mereka. Sampai bila Umno akan terus menjadi kuat jika terus diasak kiri kanan depan belakang?

Ingat! Malaysia bukan Brunei atau Indonesia, majoriti Islam mereka besar, melebihi 70 peratus. Kita hanya 50-50, jika ada lebih pun mungkin 5-6 peratus. Apakah kelebihan itu menguntungkan kita? Saya pasti, kita ada jawapannya.

Saya amat yakin jika Umno dan Pas berpolitik secara matang, kerusi luar bandar semuanya akan menjadi milik mereka. Kerusi bandar, seperti biasa menjadi milik ultra kiasu. Kita masih boleh menang. Apatah lagi dengan sokongan Raja-Raja Melayu. Bila menang, jalankan pemerintahan secara adil, lantiklah zimmi Cina, India dan Bumiputera yang boleh diharap, seperti Helen Ang dan Lim Sian See, menjaga kepentingan rakyat.

* Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI UnisZA

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...