Thursday 28 July 2016

Perlu sokong hudud, elak jenayah keganasan

Ir Khairil Nizam Khirudin
SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan hari ini menggesa rakyat menyokong pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, undang-undang Islam bukan hanya bersifat menghukum semata-mata malah ia juga boleh mencegah jenayah daripada terus berleluasa.

"Kami meyakini masalah disebalik pelaksanaan ini dan kami berharap agar usaha ke arahnya boleh digemburkan,  secara berperingkat-peringkat daripada pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan kebimbangan terhadap jenayah yang didalangi kumpulan kongsi gelap di negara ini.

Katanya lagi, insiden jenayah terancang oleh kumpulan kongsi gelap boleh menjejaskan keamanan di negara ini.

"Berdasarkan fakta kes yang didapati menerusi media, sekurang-kurangnya terdapat 10 kes tembak mati berlaku di Lembah Klang sejak dari bulan Januari hingga Julai 2016.

"Apa sudah jadi? Tidakkah ini mencerminkan jenayah keganasan semakin menular dalam kalangan masyarakat bandar? Adakah kadar jenayah benar-benar menurun sehingga 20 peratus di Kuala Lumpur sepertimana didakwa sebelum ini?" soalnya.

Ujarnya lagi, kes-kes jenayah kini berada di tahap membimbangkan memandangkan semakin banyak jenayah dilakukan di tempat terbuka dan pada siang hari.

Hal ini membuktikan fokus kerajaan dalam mengurangkan indeks jenayah negara dan meningkatkan kondusif selamat dalam kalangan masyarakat semakin gagal.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa polis meningkatkan kawalan dan aktiviti membanteras sindiket kongsi gelap atau kumpulan mafia di seluruh negara.

"Kita tidak mahu negara yang disayangi ini dicemarkan oleh aktiviti-aktiviti ganas sehingga boleh menggugat keamanan masyarakat," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...