Sunday, 31 July 2016

28 pegawai imigresen bawa masuk 10,000 warga asing


KUALA LUMPUR 29 Julai - Sebanyak 28 pegawai imig­resen yang ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula awal Mei hingga Selasa lalu dipercayai terlibat menyeludup ma­suk dan keluar lebih 10,000 warga asing ke negara ini sejak lima tahun lalu.

Kegiatan penyeludupan itu dipercayai dilakukan bukan hanya melalui lapangan terbang negara tetapi juga di semua pintu masuk negara, termasuk darat dan air.

Menurut sumber, kebanyakan warga asing yang dibawa masuk adalah rakyat Bangladesh diikuti India, Afrika, China, Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka.

Ujarnya, selain bekerja secara haram, terdapat warga asing yang dipercayai menunggu masa untuk diuruskan pergi ke negara ketiga dengan menjadikan negara ini sebagai transit.
Jelasnya, mereka akan ber­urusan dengan ejen bagi mendapatkan pasport tempatan yang telah dipalsukan dan ejen pula kemudiannya akan menggunakan pegawai imigresen terlibat bagi proses seterusnya.

“Setiap warga asing yang ma­suk akan dikenakan bayaran antara RM300 dan RM5,000 oleh ejen mengikut negara.., dan pegawai imigresen terlibat pula akan mene­rima bayaran lebih kurang sama (dengan ejen) berdasarkan jumlah warga asing yang perlu diseludup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sumber itu memberitahu, kesemua warga asing yang dibawa masuk tidak mengikuti prosedur yang sah seperti keperluan menjalani saringan kesihatan dan dikhuatiri boleh menjadi punca merebaknya penyakit-penyakit berjangkit dan berbahaya di negara ini.

Semalam, media melaporkan sebanyak 28 pegawai imigresen termasuk isteri seorang pelakon terkenal ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun. Sebanyak 15 orang ditahan dalam operasi awal Mei dan 13 lagi ditahan Selasa lalu.

Utusan Malaysia melalui laporan eksklusif pada 10 Mei dan 11 Mei lalu melaporkan mengenai ‘keistimewaan’ lebih 10 sin­diket penyeludupan manusia dan pemalsuan pasport yang dikesan sewenang-wenangnya menjadikan kedua-dua lapangan terbang utama negara sebagai pusat transit warga asing sebelum berlepas ke negara ketiga.

Sindiket itu juga menyebabkan kira-kira 10 warga keluar menggunakan pasport palsu di Lapang­an Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 setiap hari sejak awal tahun ini.

Maklumat itu adalah hasil siasatan PDRM susulan penahanan dua pegawai imigresen bersama 17 individu lain dalam satu operasi khas di sekitar Lembah Klang pada awal tahun ini.

Samun tempat kerja sendiri

Polis merampas wang tunai RM7,130
daripada suspek.
SEREMBAN - Lima suspek kejadian samun sebuah kedai makanan sejuk beku di Senawang, di sini, berjaya diberkas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, empat daripada mereka merupakan pekerja kedai tersebut.

“Semua lelaki berumur lingkungan 20-an ini ditahan kerana dipercayai suspek kes pecah masuk kedai makanan sejuk beku.

“Tiga daripada mereka ditahan pada Khamis lalu iaitu sehari selepas kejadian manakala dua lagi ditahan pada Jumaat lalu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dua suspek yang telah bekerja di kedai itu sejak awal tahun ini mengaku memecah masuk premis dan mencuri wang perniagaan.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,130 daripada suspek dan sebuah motosikal yang mempunyai komponen dibeli hasil wang curi.

“Semua mereka direman selama empat hari hingga Isnin ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kedai dan soal siasat masih diteruskan,” katanya.

Rabu lalu, dalam kejadian kira-kira 11.50 malam, polis menerima satu laporan polis daripada seorang pekerja kedai makanan sejuk beku di Senawang yang mendakwa kedai dipecah masuk penjenayah.

Hasil siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil pada roller shutter kedai dan laci wang simpanan turut diumpil.

Wang tunai hasil jualan berjumlah RM15,000 dicuri. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan polis secara terperinci mengesyaki perbuatan pecah masuk kedai itu melibatkan orang dalam.

Saturday, 30 July 2016

Janji palsu petik epal di Australia

TERPEDAYA dengan iklan-iklan petik buah di Australia yang menjanjikan bulan dan bintang, membuatkan ramai masuk perangkap penipuan ejen.

Sanggup berhabis RM9,000 untuk mengejar impian gaji lumayan, seorang mangsa pemetik buah di Australia yang hanya mahu dikenali sebagai Kayla, 32, menceritakan kisah malangnya sepanjang lebih dua bulan di negara kanggaru itu.

Kerana pengalaman ngerinya itu, Kayla sanggup berkongsi kisahnya bersama Sinar Harian. Tegasnya, jangan ada lagi orang kita yang tertipu dan jika hendak menjadi pemetik buah di sana, berhati-hatilah...

Menurut Kayla, sebelum ini dia bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5,000. Namun, dia melepaskan jawatannya kerana mahu menjaga ibunya yang sakit dan perlu mendapatkan rawatan dialisis setiap hari.

"Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya," katanya.

Selepas ibunya kembali sihat, Kayla membuat keputusan untuk ke Australia dan berkerja sebagai pemetik buah.

Berbekal impian dan semangat mahu mengubah hidup, Kayla mencari ‘lubang’ untuk merealisasikan mimpinya. Dia berusaha mencari orang tengah untuk membantunya meneruskan perjalanan ke Australia.

Dirancakkan lagi dengan iklan dan tawaran menarik di Facebook membuatkan niatnya untuk bekerja sebagai pemetik buah di Australia membuak-buak. Apatah lagi dengan tawaran gaji RM12,000 sebulan.

Dengan restu ibu, Kayla nekad mengeluarkan semua wang simpanan serta menjual motosikal kesayangan. Tidak cukup itu, Kayla meminjam daripada adik-beradik lain dan rakan untuk dijadikan modal.

"Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja," katanya.

Kembara hitam

Ketika pesawat Boeing yang membawanya ke Melbourne meninggalkan bumi Malaysia, terlalu banyak persoalan tiba-tiba bermain di fikiran Kayla.

"Saya nekad, saya teruskan. Saya sudah tidak boleh berpatah balik, lagipun tujuan utama saya untuk menjadi pemetik buah di Australia ialah mahu melangsaikan hutang dan pinjaman," tegasnya.

Katanya, ejen yang hanya memperkenalkan diri sebagai Mie dan berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu tidak putus-putus memberitahu Kayla supaya jangan bimbang kerana segalanya sudah diuruskan.

Sesudah tiba di sebuah ladang di Victoria, Kayla pun memulakan pekerjaannya sebagai pemetik buah. Perasaan curiganya bermula apabila ada pemetik buah yang lebih lama daripadanya mula merungut tidak dibayar gaji.

“Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja,” katanya.

Dari situ bermulalah episod hitam dalam kerjaya Kayla sebagai pemetik buah. Selepas dirinya ditipu kontraktor ladang, Kayla diarahkan oleh ejen lain supaya ke sebuah pekan kecil, Robinvale, juga di Victoria.

"Ejen itu hanya memberikan saya satu nombor telefon yang dia sendiri tidak pasti siapa, tetapi mendakwa ia milik kontraktor yang akan memberikan saya pekerjaan.

“Malangnya saya tak dapat menghubungi ejen berkenaan dan dari situlah bermulanya siri penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-ratanya mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap di Australia.

Amat menyedihkan apabila yang menipu adalah orang dari negara tercinta kita sendiri, Malaysia," ujar Kayla.

Seperti berada di 'neraka'

Demi meneruskan kelangsungan hidup, Kayla gagahi juga rintangan dan cabaran yang datang. Hingga tanpa sedar sudah sebulan dia membanting tulang di negara Australia, kontraktor semakin galak menggunakan tipu helah kononnya upah akan dibayar mengikut jam kerja, namun semuanya hanya janji palsu.

“Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245).

“Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji.

“Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana,” rintihnya.

Menurut Kayla, adakalanya dia rasa seperti dieksploitasi tetapi tidak boleh menuding jari kepada sesiapa.

“Cuma saya kesal ramai mangsa yang sudah ditipu tidak mendedahkan kisah mereka, kalau ia diuar-uarkan setidaknya mungkin dapat mengelak saya daripada melalui azab seperti itu.

“Inilah pengajaran berurusan dengan penipu. Nasihat saya seboleh-bolehnya kalau ada sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai pemetik buah, dapatkan ‘working holiday visa’ untuk tempoh setahun, tidak mahal pun lebih kurang RM1,000. Cari kenalan yang boleh dipercayai dan boleh tawarkan kerja sepanjang musim, bukannya ejen,” katanya.

Menurutnya, kembara dua bulan banyak memberi pengajaran kepadanya.

Wang bekalan yang dibawa sebanyak RM9,000 hangus digunakan untuk menampung kehidupan di sana termasuk tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Keperitan hidup sebagai pekerja dan dengan hanya menggunakan visa pelawat juga membuatkan hidup Kayla tidak senang. Setiap kali sedang memetik buah, dia bimbang dirinya dicekup oleh pihak berkuasa.

Kerana sudah tidak tahan dengan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung dan wang yang sudah habis digunakan, Kayla membuat keputusan drastik berhenti menjadi pemetik buah, dan meninggalkan ladang berkenaan.

Dengan visa yang hampir tamat tempoh, Kayla akhirnya kembali ke bumi tercinta Malaysia.

Cukuplah baginya dua bulan lebih yang amat memeritkan.

Crimea sertai Rusia

Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan di bandar Yalta,dua tahun selepas Putin menandatangani perjanjian perpisahan Crimea dari Ukraine.
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani satu dekri menggabungkan Semenanjung Crimea yang dipisahkan dari Ukraine dan menyertai semula Moscow dua tahun lalu, ke rantau selatan negara itu.

Laporan Press TV mengatakan dalam dekri tersebut, beliau turut melantik Vladimir Vasilyavich Ustinov sebagai pesuruhjaya presiden di Bahagian Persekutuan Selatan.

Dekri itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan Ukraine, dan Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volodymyr Yelchenko menolak perintah berkenaan selain menyifatkannya sebagai tidak sah dan batal.

Yelchenko seterusnya mengedarkan kenyataan draf menggesa 15 anggota Majlis Keselamatan (UNSC) untuk menyatakan kebimbangan ke atas keputusan Putin dan menegaskan beliau supaya menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta keutuhan wilayah Ukraine.

Bagaimanapun, Yelchenko  menjangkakan kenyataannya bakal disekat kerana Rusia merupakan salah sebuah daripada lima negara yang mempunyai kuasa veto dalam UNSC.

Crimea mengisytiharkan kemerdekaan dari Ukraine pada 17 Mac 2014 dan secara rasmi memohon menjadi sebahagian daripada Rusia susulan referendum sehari sebelum itu.

Friday, 29 July 2016

Huawei OEM telefon pintar paling selamat

DENGAN pesatnya pembangunan dan semakin luasnya penggunaan telefon pintar, faktor keselamatan menjadi semakin penting. Dengan adanya data yang semakin hari semakin murah, kini ada lebih terdedah kepada risiko keselamatan seperti virus, malware, eksploitasi dan bermacam-macam lagi.

32 peratus peranti Android tidak boleh dikemaskini

Walaupun Google telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mengemaskini sistem operasi Android ke tahap keselamatan yang lebih tinggi, percaya atau tidak – 32 peratus peranti Android sedia ada tidak boleh dikemaskini dan ini membuatkan ia lebih terdedah kepada risiko keselamatan itu tadi.

Statistik ini menunjukkan bahawa kebanyakan pengguna masih menggunakan versi Android yang lama dan angka ini amatlah membimbangkan. Kadangkala ia bukan silap pengguna itu sendiri, tetapi telefon pintar yang dimiliki mereka memang tidak boleh dikemaskini disebabkan faktor-faktor tertentu.

Menurut Google, terdapat 24 kelemahan kritikal yang telah dibaiki menerusi versi terkini sepanjang 2016 – namun disebabkan pengguna tidak dapat mengemas kini telefon pintar mereka; maka mereka dibiarkan terdedah kepada bahaya tersebut.

77 peratus telefon pintar Huawei dikemaskini dengan versi terbaru

Mengikut carta di atas, Huawei berada di tempat kelima dari segi jumlah telefon pintar yang dijual. Namun, ini tidak bermakna syarikat dari China itu memandang remeh isu keselamatan.

Tahniah diucapkan kepada Huawei kerana memastikan pengguna sentiasa mendapat versi terbaru yang diambil daripada Google dan diolah ke dalam sistem pengoperasian yang digunapakai dalam kebanyakan telefon pintar keluaran Huawei.

Ini menunjukkan kesungguhan mereka di dalam memastikan pengguna tidak terdedah kepada risiko keselamatan yang boleh mendatangkan malapetaka jika ia dibiarkan begitu sahaja.

Huawei bantu Android takluk jualan telefon pintar EU

Android telah berkembang kepada lebih tiga suku daripada jumlah telefon pintar yang dijual di pasaran terbesar di Eropah.

Menurut data terkini daripada Kantar Worlpanel Com Tech, Android menyumbang 76.5 peratus daripada telefon pintar yang dijual di UK, Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol dalam tempoh tiga bulan sehingga Mei, mendapat 6.0 peratus mata berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Di China, Android menyumbang hampir empat daripada lima telefon pintar yang dibeli dalam tempoh yang sama dan Google OS menyumbang 68.5 peratus daripada jualan di Amerika Syarikat (AS).

Android menunjukkan pertumbuhan yang paling kukuh di Itali, dengan memperoleh 10.2 peratus mata dari tahun ke tahun untuk menguasai 80.9 peratus jualan telefon pintar bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada bulan Mei.

Bagaimanapun, kata Kantar, hal ini tidak bermakna IOS semakin merosot.

Di Perancis dan UK, saham iOS kembali meningkat, masing-masing mencapai 21 dan 36 peratus pasaran tersebut.

Dari segi jenama telefon pintar, Samsung mendahului senarai lima teratas bagi pasaran Eropah, diikuti oleh Apple.

Huawei berada di tempat ketiga, berkembang 7.4 peratus dari tahun ke tahun dengan menyumbang 12.5 peratus jualan telefon pintar dalam tempoh tiga bulan.

Di Itali dan Sepanyol, Huawei paling kukuh di pasaran Kesatuan Eropah (EU), syarikat itu menguasai hampir 21 peratus daripada jumlah jualan, dengan P8 Lite kekal sebagai salah satu daripada telefon paling laris kebelakangan ini.

Kedua-dua pasaran ini menyaksikan Samsung mengalami penurunan terbesar dari tahun ke tahun, merosot 7.6 peratus di Itali dan 5.6 peratus di Sepanyol, sebaliknya Samsung kekal sebagai jenama telefon pintar terkenal yang dijual.

Bloomberg: ‘1MDB Officer 3’ seorang wanita

SHAH ALAM – Agensi berita antarabangsa, Bloomberg hari ini melaporkan identiti ‘1MDB Officer 3’ merupakan bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan tersebut, kerajaan Amerika Syarikat (AS) merujuk pegawai itu sebagai seorang wanita rakyat Malaysia yang belajar undang-undang di UK dan bekerja dengan sebuah syarikat pemaju serta minyak sebelum menyertai 1MDB.

Wanita berkenaan pernah bertugas dalam bahagian undang-undang 1MDB serta menjadi pengantara 1MDB dengan Goldman Sachs Group Inc, bank antarabangsa yang membantu syarikat pelaburan strategik negara memungut, RM24.33 bilion (AS$6 bilion).

“Walaupun jumlahnya sederhana berbanding dengan yang lain dalam skim tersebut, dakwaan pindahan RM20.27 juta itu ketara.

“Penerimanya bukan sahaja seorang peguam dan pengantara 1MDB dengan Goldman Sachs tapi juga satu-satunya orang dalam 1MDB yang DoJ sebut menerima bayaran,” lapor Bloomberg.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman (DoJ) AS dilaporkan tidak menuduh wanita ini atau mana-mana individu melakukan jenayah dalam saman yang dikemukakan.

Sebelum ini, DoJ mengemukakan saman sivil untuk menyita aset bernilai lebih RM4 bilion yang dipercayai diperoleh melalui konspirasi pengubahan wang haram daripada 1MDB.

DOJ turut menamakan individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi tersebut iaitu, anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz; ahli perniagaan, Jho Low serta dua individu lagi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Tarik balik larangan bawa 1.5 juta pekerja Bangladesh?


SELEPAS tertangguh selama enam bulan, akhirnya larangan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh dipercayai telah ditarik balik.  

Sumber dalaman yang diperoleh China Press memberitahu, kerajaan akan hanya membenarkan pekerja Bangladesh yang dibawa masuk itu terlibat dalam tiga sektor, iaitu pembuatan, pembinaan dan perladangan serta senarai mereka dimasukkan ke dalam negara sumber.

Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan arahan tersebut dalam tempoh dua minggu ini .

Persetujuan ini dikatakan adalah antara kerajaan dengan kerajaan (G to G) dan tidak lagi diuruskan melalui agensi pekerja asing. Ini bermakna pihak majikan selepas ini perlu menanggung levi pekerja asing asing.

Pada Februari tahun ini, Kerajaan Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani perjanjian persefahaman untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara kita dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagaimana pun, perjanjian tersebut dikatakan telah terbatal tidak sampai 24 jam sekali gus menyebabkan banyak sektor seperti pembinaan dan pembuatan menghadapi masalah kekurangan tenaga pekerja yang serius.

Akhbar itu menulis lagi, dalam tempoh enam bulan yang lalu, pelbagai pihak termasuk persatuan perindustrian dan perladangan telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa kementerian yang berkaitan mengenai masalah yang dialami mereka.

Difahamkan, di kawasan industri Bakri, Muar, sebanyak 14 kilang perabot telah ditutup akibat kekurangan tenaga pekerja asing sepanjang tempoh pembekuan pekerja asing.

Thursday, 28 July 2016

Perlu sokong hudud, elak jenayah keganasan

Ir Khairil Nizam Khirudin
SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan hari ini menggesa rakyat menyokong pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, undang-undang Islam bukan hanya bersifat menghukum semata-mata malah ia juga boleh mencegah jenayah daripada terus berleluasa.

"Kami meyakini masalah disebalik pelaksanaan ini dan kami berharap agar usaha ke arahnya boleh digemburkan,  secara berperingkat-peringkat daripada pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan kebimbangan terhadap jenayah yang didalangi kumpulan kongsi gelap di negara ini.

Katanya lagi, insiden jenayah terancang oleh kumpulan kongsi gelap boleh menjejaskan keamanan di negara ini.

"Berdasarkan fakta kes yang didapati menerusi media, sekurang-kurangnya terdapat 10 kes tembak mati berlaku di Lembah Klang sejak dari bulan Januari hingga Julai 2016.

"Apa sudah jadi? Tidakkah ini mencerminkan jenayah keganasan semakin menular dalam kalangan masyarakat bandar? Adakah kadar jenayah benar-benar menurun sehingga 20 peratus di Kuala Lumpur sepertimana didakwa sebelum ini?" soalnya.

Ujarnya lagi, kes-kes jenayah kini berada di tahap membimbangkan memandangkan semakin banyak jenayah dilakukan di tempat terbuka dan pada siang hari.

Hal ini membuktikan fokus kerajaan dalam mengurangkan indeks jenayah negara dan meningkatkan kondusif selamat dalam kalangan masyarakat semakin gagal.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa polis meningkatkan kawalan dan aktiviti membanteras sindiket kongsi gelap atau kumpulan mafia di seluruh negara.

"Kita tidak mahu negara yang disayangi ini dicemarkan oleh aktiviti-aktiviti ganas sehingga boleh menggugat keamanan masyarakat," katanya lagi.

Watak kartun juga diperguna hina Islam


London: Penerbit rancangan kartun ‘Fireman Sam’ memohon maaf tanpa syarat berikutan satu episod rancangan itu menunjukkan watak kartun memijak helaian al-Quran.

Menurut penonton, episod ‘Troubled Waters' itu yang ditayangkan Channel 5 pada 28 Jun lalu, menunjukkan watak ‘Elvis’ menghina kitab suci umat Islam dan ia kini dipadamkan daripada laman web stesen berkenaan.

Jurucakap Mattel yang menerbitkan rancangan itu melalui anak syarikatnya Hit Entertainment berkata: “Kami diberitahu bahawa dalam satu episod ‘Fireman Sam’ (Siri 9, Episod 7), ada imej helaian al-Quran dipijak.
Petikan dalam animasi ‘Fireman Sam’ dimana watak kartun itu memijak helaian al-Quran.

“Helaian itu sepatutnya menunjukkan tulisan biasa dan kami amat kesal dengan kesilapan itu. Kami dengan terbuka memohon maaf.

“Kami tidak lagi berurusan dengan studio animasi yang melakukan kesilapan itu. Kami juga akan mengkaji semula prosedur bahan penerbitan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

Mattel yang turut menghasilkan rancangan kartun ‘Thomas the Tank Engine’ dan ‘Bob the Builder’.

Jurucakap Channel 5 berkata, mereka tidak akan menyiarkan lagi episod itu.

Rancangan asal kartun itu disiarkan BBC pada 1987 sehingga pertengahan 1990-an sebelum Chanel 5 membeli hak siaran versi baru pada 2008.

Edar dadah guna sampul duit raya

SULAIMAN (kanan) menunjukkan sebahagian dadah bernilai lebih RM1 juta dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di di sebuah rumah di Majidee pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Taktik dua lelaki mengedar dadah menggunakan sampul duit raya bagi me­ngaburi pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup bersama pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta dalam dua serbuan berasingan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kawasan di Tampoi di sini pukul 6 petang, polis berjaya menahan seorang warga emas berusia 60 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, lelaki berkenaan mengaku terlibat dengan pengedaran dadah sebelum membawa kepada penahanan suspek kedua di sebuah rumah di Majidee di sini kira-kira dua jam kemudian.

“Sebaik tiba di rumah tersebut, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan pagar rumah berkenaan dan berjaya me­rampas wang tunai RM18,870 yang disembunyikan dalam beg helmet.

“Semakan ke atas suspek kedua turut mendapati, dia memiliki satu rekod jenayah lampau berhubung kes dadah dan ujian air kencingnya turut didapati positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam.

Wednesday, 27 July 2016

Warga internet berang CEO Yahoo dapat AS$55 juta

Marissa Mayer

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yahoo, Marissa Mayer akan mendapat pampasan sekurang-kurangnya AS$55 juta (RM225 juta) jika gergasi telekomunikasi Amerika Syarikat, Verizon membeli Yahoo.

Menurut laporan Fortune.com, netizen 'bengang' kerana Marissa disifatkan gagal menguruskan Yahoo dengan baik.

Netizen juga menuduh terdapat elemen 'korupsi korporat' berkenaan pemberian pampasan tersebut.

Marissa mendapat liputan selepas Yahoo mengambil beliau bekerja pada 2012 dan mula membuat keputusan yang memburukkan lagi gergasi enjin carian internet tersebut.

Laporan Wall Street Journal pula melaporkan Yahoo membelanjakan AS$2 bilion di bawah pengurusan Marissa semata-mata untuk membeli perniagaan internet kecil iaitu 'start-ups'.

Beratus juta lagi telah dibelanjakan ke arah penghasilan aplikasi telefon bimbit, carian video dan carian awam.

Masalah timbul apabila tiada sebarang keuntungan diperoleh daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh Marissa.

Netizen kini menganggap 'jumlah bayaran berdasarkan prestasi' (pay for performance) sebagai sebuah mitos.

NATO diingat bersiap sedia lindungi Poland daripada ancaman Rusia

WARSAW – Satu kajian baharu memberi amaran bahawa Rusia cuma memerlukan semalaman untuk menakluki Poland pada bila-bila masa sahaja, manakala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mesti bersedia untuk melindungi Poland.

Dasar luar agresif Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin mendorong negara-negara serantau berwaspada selepas Moscow merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine, demikian me­nurut akhbar Sun.

Badan pemikir Eropah, Majlis Atlantik memberi amaran: “Walaupun Moscow ketika ini tidak berhasrat mencabar NATO secara terang-terangan, pendirian ini boleh berubah dalam masa singkat,”.

Badan itu menjelaskan bahawa operasi tentera Rusia amat pantas dan memberi amaran kepada Poland serta sekutunya supaya segera menambah persenjataan sebagai langkah pencegahan.

Malah, laporan itu turut mencadangkan beberapa sasaran serangan ke atas Rusia sekiranya situasi memaksa termasuk Kaliningrad dan infrastruktur Metro di Moscow.

Menurut kumpulan pemikir itu, lebih banyak peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) perlu ditempatkan di rantau ber­kenaan, manakala Poland pula perlu menghalang penghijrahan keluar belianya untuk mencari pekerjaan di luar negara.

Mereka sebaliknya perlu di­serap untuk mengukuhkan pasukan tentera Poland.

Pada awal bulan ini, Presiden AS, Barack Obama mengumumkan rancangan untuk mengerahkan seramai 1,000 askarnya ke Poland, persediaan terbesar NATO sejak Perang Dingin.

Timbalan Penasihat Ke­selamatan negara AS, Ben Rhodes, menafikan Washington meningkatkan ketegangan di Eropah timur.

“Kami mahu menunjukkan bahawa akan ada tindak balas dan lebih banyak askar dihantar ke Eropah timur sekiranya Rusia terus bersikap agresif,” katanya.

Selain AS, Britain yang merupakan antara 28 anggota NATO juga akan menghantar tenteranya ke Eropah timur pada bulan ini.

Seramai 500 askar Britain akan ditempatkan di Estonia dan 150 di Poland, manakala 3,000 lagi akan dihantar ke rantau itu sekiranya aktiviti Rusia di sempadan kedua-dua negara meningkat. – Agensi

Bayi mati selepas diberikan ‘gas ketawa’

Gambar hiasan.
SYDNEY – Seorang bayi yang baru lahir mati selepas diberikan ‘gas ketawa’ dan bukannya oksigen akibat kekeliruan di sebuah hospital di Australia, manakala seorang lagi bayi cacat, kata pihak berkuasa semalam.

Seorang doktor mendedahkan kejadian tersebut selepas bayi lelaki itu meninggal dunia secara tiba-tiba awal bulan ini. Beberapa ujian mendapati soket pada dinding Hospital Bankstown-Lidcombe di Sydney itu menyalurkan gas nitrus oksida dan bukannya oksigen.

Seorang bayi perempuan pula sedang bertarung nyawa selepas tersilap diberikan gas itu pada Jun lalu.

Menteri Kesihatan New South Wales, Jillian Skinner yang telah mengarahkan siasatan dijalankan berkata, beliau amat sedih kerana ‘kesilapan tragis’ itu.

“Nasib baik hanya dua bayi yang terjejas. Saya diberi jaminan bahawa tiada kes lagi seumpamanya.” kata Skinner kepada pemberita di sini.

Insiden kesilapan gas itu berlaku kurang enam bulan selepas pendedahan berpuluh-puluh pesakit kanser di sebuah hospital lain diberikan dos kemoterapi salah sejak 2012.

Skinner bagaimanapun berkata, beliau tidak merancang untuk meletak jawatan.

“Jika didapati terdapat kecuaian sepenuhnya, sesuatu yang saya secara peribadi dapat menghalangnya, mungkin saya akan meletak jawatan. Namun, saya tidak yakin situasi itu berlaku dalam kes ini,” katanya.

Bapa saudara bayi malang itu, David Kharma berkata, keluarga mangsa terkejut dengan apa yang berlaku.

“Anda tidak menyangka perkara seperti ini masih berlaku di sebuah negara maju pada abad ke-21,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia. – AFP

Tuesday, 26 July 2016

RISDA mahu eksport ketum

Datuk Zahidi Zainul Abidin
Kuala Nerus: RISDA akan memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran menanam pokok ketum berikutan mendapat permintaan tinggi daripada syarikat farmasi di luar negara.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan merayu untuk mendapatkan kelulusan itu bagi tujuan eskport sahaja.

Menurutnya, daun ketum mendapat permintaan tinggi dari Amerika Syarikat dan Eropah kerana tanah di negara ini lebih sesuai bagi tanaman itu.

Katanya, di luar negara, tumbuhan berkenaan didakwa mempunyai nilai perubatan tinggi, terutama ketika musim sejuk.

"Buat masa ini kita tidak mampu memenuhi permintaan mereka kerana daun ketum menyalahi undang-undang negara ini.

"Jika ia dapat memberi hasil kepada pekebun, tidak salah kerajaan memberi kebenaran dengan syarat untuk tujuan eksport sahaja," katanya selepas majlis Konvensyen GAP RISDA Negeri Terengganu 2016 di sini, hari ini.

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Papa Gomo


PUTRAJAYA - Blogger Papa Gomo harus membayar ganti rugi RM800,000 kepada bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonan terakhirnya untuk mengetepikan saman itu ditolak.

Ini adalah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Wan Muhammad Azri Wan Deris, juga dikenali sebagai Papa Gomo, bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 4 Disember tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.   

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum menolak permohonan untuk kebenaran merayu itu dengan kos RM10,000 selepas mendapati permohonan perayu tidak mempunyai merit.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan Amran Aminuddin yang mewakili Wan Muhammad Azri.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Pada 21 Mac 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. - Bernama

Peluk Islam selepas kekasih hamil

“BAGAIMANA awak peluk Islam? Apa peristiwa yang berlaku yang membuat awak peluk Islam?” Soalan ini biasa ditanya kepada mereka yang berhijrah ke Islam. Tetapi jawapan yang dinantikan adalah stereotaip: saya jatuh cinta pada Islam kerana terpesona dengan kemerduan azan, atau kerana saya tengok video debat antara agama, atau kerana saya mimpi lelaki jubah putih datang menghulurkan tangan yang bercahaya kepada saya dalam mimpi!

Memang semua di atas pernah berlaku tetapi ramai juga yang makin benci pada Islam setelah suara azan yang sumbang memekik-mekik, atau setelah tengok video debat antara agama di mana dia menjadi lebih defensif! Bahkan jika datang seorang lelaki berjubah putih dalam mimpi, mungkin dia akan terus melompat terjaga dari mimpi kerana ingatkan ISIS teroris mahu serang dia!

Hidayah ALLAH SWT datang dengan pelbagai cara dan penerimaan seorang mualaf bukan Muslim pun bergantung kepada kesediaannya. Saya pernah disoal, “Xifu, kalau kaedah dakwah kamu hebat sangat, mengapa ramai yang belum peluk Islam?” Saya jawab, “Tanyalah Tuhan. Manalah saya tau! Adakah kamu sendiri berdakwah?”

Makcik saya adalah seorang Cina Buddha campur Tao campur Konfucious. Agamanya ialah campuran tiga agama. Dia sudah tinggal bersama saya lebih 30 tahun sehingga sekarang.
Saya khaskan sebuah tempat untuk sembahyangnya dalam rumah saya. Dia tak kahwin dan sayalah yang jaga maslahatnya selama ini. Tetapi sampai ke hari ini, dia belum peluk Islam.

Semua kaedah dakwah telah saya guna ke atasnya. Saya masih gagal! Mengapa saya gagal? Saya tak tau. Saya telah berdoa dan saya telah bawanya jumpa pendakwah-pendakwah yang hebat juga tetapi tetap dia belum peluk Islam. Apa makna semua ini? Saya teringat pakcik Nabi SAW, Abu Talib. Dia pun tidak memeluk Islam walaupun Nabi SAW, pendakwah terhebat, bersungguh-sungguh meyakinkannya untuk peluk Islam.

Yang saya hairan pula ialah satu hari datang seorang lelaki Cina mualaf bukan Muslim. Dia nyatakan kesudiannya untuk peluk Islam kerana dia telah hamilkan teman wanitanya yang merupakan seorang Muslimah! Dia kata bahawa dia memang sayang pada kandungan teman wanitanya. Katanya Tuhan ALLAH SWT telah kabulkan doanya untuk mendapatkan kebahagiaan hidup berkeluarga dan berzuriat!

Saya terkejut. Beginilah caranya Tuhan bagi hidayah. Unsangkarable! Peluk Islam setelah hamilkan teman wanita! Tak logik langsung! Hancur kaedah-kaedah dakwah saya.

Teringat Malcolm X yang merupakan seorang gengster kulit hitam dulu sebelum menjadi pejuang Islam yang terkenal di Amerika. Dia begitu jahat sehingga di masukkan ke dalam penjara.
Dalam penjara, dia jumpa banduan Muslim. Teman banduan inilah yang sedarkan dia tentang Islam. Seorang banduan, bukan ustaz, pula yang bawa dia ke Islam dengan izin ALLAH SWT! Peluk Islam setelah masuk penjara! Unsangkarable lagi!

Seorang GRO Muslimah pernah telefon untuk jumpa saya. Kali pertama saya jumpanya memang pakaian seksi sangat. Saya ingat dia hamil luar nikah dan memerlukan bantuan. Tetapi alangkah terkejutnya saya bila dia tanya saya bagaimana dia boleh berdakwah kepada sugar daddynya!

Rupanya dia adalah perempuan simpanan seorang ahli perniagaan bukan Muslim. Bagaimana seorang GRO kelas atasan yang berzina dengan sugar daddynya terlintas nak dakwah kepada pelanggannya?

Unsangkarable! Akhirnya, sugar daddynya ini memeluk Islam dan berkahwin dengannya setelah setahun dia berdakwah kepadanya dengan izin ALLAH SWT! Peluk Islam setelah mendapat khidmat seks GRO kelas atasan!

Contoh terakhir ialah Saidina Umar al-Khattab. Setelah kaum Quraish Musyrikin makin terancam dengan dakwah, mereka mencari seorang  untuk membunuh Nabi SAW. Maka, Umar pun offer diri untuk membunuh Nabi SAW.

Semasa dalam perjalanan ke Nabi SAW, Umar mendapat berita bahawa adik perempuannya telah memeluk Islam. Tidak perlulah saya bercerita penuh di sini tentang Umar. Google sahaja!
Apa yang unsangkarable di sini ialah bagaimana seorang yang berazam membunuh Nabi SAW akhirnya menjadi pembela Islam!
Maka, janganlah begitu mudah melabel pihak tertentu sebagai kafir harbi.

* Abdul Naser Tun Rahman AJK Smash, Murshid, Macma

Monday, 25 July 2016

PRN, PRK: Satu persamaan warga kota...

Ir Khairil Nizam Khiruddin
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khiruddin menyifatkan senario politik yang dizahirkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu tidak sama dengan suasana politik di kawasannya.

“Kita tidak tahu bagaimana bacaan semasa di peringkat masyarakat bandar berkenaan senario politik sekarang . Apa yang berlaku di Sarawak, Sungai Besar, Kuala Kangsar adalah demografi politik yang berbeza.

“Politik di Wilayah Persekutuan tidak sama dengan kawasan lain kerana di sini, cepat dan dinamik,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Pemuda Pas dan Pasti Wilayah Persekutuan, semalam.

Dalam PRN Sarawak dan dua PRK di Kuala Kangsar serta Sungai Besar yang lalu, Pas gagal mendapatkan sebarang kerusi.

Dalam pada itu, menurut Khairil Nizam yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, pihaknya telah menjalankan kajian bagi mencari strategi terbaik untuk menambah sokongan kepada sayap parti Islam itu.

“Jadi, dengan senario-senario politik baharu ini terutama sekali dengan pergolakan dalam Umno dan keputusan dua PRK baru-baru ini serta RUU 355 juga memainkan peranan di mana kami mengadakan kajian berkenaan populariti dan penerimaan rakyat terhadap Pemuda Wilayah.

“Kita akan bengkelkan dalam bulan depan. Daripada dapatan itu, kita akan pastikan ada strategi-strategi yang menarik untuk memastikan sokongan kepada kita bukan mengambil kembali sokongan sebaliknya menambah sokongan.

“Tapi apa yang kita pasti, warga kota ada satu persamaan, mereka tidak suka Umno sebab Umno menekan kehidupan mereka,” katanya.

Banteras 'ulat' campur tangan jual rumah lelong


KETIKA kemelut kegawatan ekonomi, harga rumah yang melonjak, kehidupan mendesak, sewa tinggi serta kos hidup meningkat, ramai daripada kita yang mencari rumah lelong untuk dijadikan tempat tetap berteduh sekeluarga. 

Rumah lelong adalah satu daripada cara untuk mendapatkan harga yang agak murah berbanding harga pasaran iaitu 30 peratus lebih murah bergantung kepada keadaan serta lokasi rumah. 

Akibat kegagalan pembeli membuat bayaran bulanan kepada institusi kewangan, maka rumah yang dibeli akan dibuka untuk lelongan awam. Keinginan membeli rumah lelong bukan hanya kerana harganya agak murah, tetapi juga kewujudan aset yang telah sedia ada. Untuk membeli rumah yang masih dalam pembinaan, dikhuatiri rumah tidak siap, terbengkalai atau gagal mendapatkan sijil layak menduduki (CF). 

Jadi, pilihan lain adalah rumah lelong yang sememangnya sudah ada fasiliti, cuma sesetengahnya perlukan penambahbaikan. 

Menangguk di air keruh 


Cuma, apa yang menyedihkan, ada yang sanggup menangguk di air keruh mengambil kesempatan ketika pembeli jerih mencari lima atau 10 peratus untuk dijadikan deposit. 

Mereka ini dikenali sebagai 'ulat lelong' yang sengaja berlagak sebagai pembida hanya untuk menaikkan harga simpanan kepada harga lebih tinggi. Ada juga ulat yang dilantik sebagai ejen untuk menaikkan harga rumah lebih daripada harga pasaran. 

Keadaan ini akan mengakibatkan pembeli yang tulus hati dan betul-betul memerlukan rumah, gagal untuk membida harga yang tinggi. Paling menyedihkan apabila ulat ini meminta pembida tulus supaya membayar sejumlah wang sekiranya mahu mereka menarik diri daripada bidaan. Jika tidak, mereka akan terus membida dan sekali gus menaikkan harga rumah lebih daripada harga pasaran.

Ini hanya akan menguntungkan pihak institusi kewangan. Keadaan ini amat mendukacitakan kerana tiada sebarang kawalan atau peraturan untuk melindungi pembida tulus. Selain ulat lelong, pembida yang berjaya membeli rumah akan berdepan dengan kedegilan pemilik rumah terdahulu. 

Ini banyak berlaku apabila mereka enggan mengosongkan premis seperti yang diarahkan oleh pihak bank. Sekali lagi, urusan mengosongkan premis ini terletak di bahu pembeli. Ini boleh mencetuskan kemarahan pembeli dan pemilik rumah terbabit. 

Pada tahap ini, pihak bank hanya lepas tangan. Keadaan ini akan membawa keburukan. Tanpa campur tangan pihak berkuasa, kemungkinan boleh mengakibatkan perbalahan, sekali gus jenayah kebencian yang boleh menyebabkan kecederaan.

Bakal pembeli diminta memeriksa sendiri premis yang mungkin mengundang bahaya. Kemungkinan premis dihuni oleh pemilik asal atau 'pemilik tak sah' seperti sarang penagih. Rumah dijual adalah bersyarat dalam keadaan seperti sedia ada. Pembeli bakal terbeban dengan kos mengejut selepas pembelian. Keadaan penyelenggaraan rumah yang teruk serta tidak layak untuk diduduki mungkin mengundang masalah baharu kepada pembeli. 

Ini belum termasuk hutang penyelenggaraan, cukai tanah atau pintu tertunggak dan sebagainya. Ini semua bakal ditanggung oleh pembeli rumah lelong. Artikel ini ditulis bukan untuk mematahkan semangat bakal pembida rumah lelong, bahkan untuk mencadangkan polisi atau peraturan demi kebaikan pembida/pembeli dan pengguna institusi kewangan. Berikut adalah beberapa cadangan yang sekadar pandangan, mungkin mampu untuk dipertimbangkan pihak berkenaan untuk tindakan susulan jika didapati wajar dan baik. 

Campur tangan pihak berkuasa 


Pertama, bidaan untuk sesebuah aset hanya boleh dibuat oleh syarikat pembida berdaftar. Orang awam yang berminat untuk membeli aset itu, akan berdaftar dengan syarikat terbabit dan bidaan akan dibuat bagi pihak mereka. 

Pembida yang berminat harus dihalusi rekod perumahan dan keupayaan membeli rumah berkenaan. Ini akan menutup peluang ulat meminta sejumlah wang daripada pembida awam untuk menarik diri. Di sesetengah negara maju, hanya syarikat pembida berdaftar dibenarkan untuk membida aset lelongan.

Kedua, perlu campur tangan pihak berkuasa ketika pemeriksaan premis atau ketika pengosongan premis dibuat demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Ketiga, diunjurkan supaya bidaan yang melebihi harga simpanan (reserve price), digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak seperti bil elektrik, bil air, cukai pintu, tanah, bil masuk eletrik dan air dan sebagainya. Tidaklah segala-galanya dibebankan ke atas pembeli baharu. 

Terakhir, kebanyakan deposit akan terhapus sekiranya pinjaman tidak lulus. Diunjurkan supaya wang ini dikembalikan kepada pembeli. 

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sunday, 24 July 2016

China pindah misil dari pulau dipertikai

PELURU berpandu China, HQ-9 dipindahkan dari Pulau Woody.

BEIJING: China memindahkan peluru berpandu generasi barunya dari pulau yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan selepas Amerika Syarikat (AS) mengundurkan kapal pengangkut pesawat menjelang keputusan bersejarah oleh tribunal antarabangsa, menurut laporan media. 

Imej Pertahanan dan Ruang Udara Airbus menunjukkan peluru berpandu HQ-9 dipindahkan dari Pulau Woody sebelum Mahkamah Timbang Tara Kekal di The Hague menolak tuntutan Beijing berhubung Laut China Selatan, lapor akhbar South China Morning Post memetik kenyataan majalah IHS Janes Defence, merujuk imej satelit. 

HQ-9 mempunyai jarak 200 kilometer dan boleh memintas pesawat dan peluru berpandu.

Laporan menyatakan, peluru berpandu yang berada di Pulau Woody, terbesar di Pulau Parcel yang dituntut China dan Vietnam di Laut China Selatan mungkin diangkut balik ke tanah besar untuk tujuan penyelenggaraan oleh kapal Type 072A yang berlabuh di pelabuhan pulau itu. 

Akhbar berkenaan memetik pakar tentera laut, Li Jie, sebagai berkata pemindahan HQ-9 adalah tindak balas kepada keputusan Pentagon untuk mengundurkan USS John C Stennis dari Laut China Selatan pada 5 Julai lalu, menunjukkan Beijing dan Washington mahu mengurangkan risiko konfrontasi ketenteraan. 

"Tentera China perlu menunjukkan sikap mesra selepas Pentagon mengundurkan USS John Stennis ke Hawaii.

"Beberapa usaha tepat melucutkan senjata akan membantu mengurangkan ketegangan di rantau itu. Kami melihat kemajuan dalam pertukaran tentera peringkat tertinggi China-Amerika Syarikat, dengan Amerika menghantar ketua operasi tentera lautnya, Laksamana John Richardson untuk bertemu rakan sejawatannya dari China, Laksamana Wu Shengli, selepas keputusan itu," kata Li. - AGENSI

Pelajar sorok mayat bayi dalam laci


MANCHESTER - BRITAIN. Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dilaporkan menyimpan bayi yang baru dilahirkannya selama dua hari dalam laci katilnya sebelum perkara itu terbongkar, lapor Miror.

Pelajar itu membalut mayat bayi tersebut dengan selimut sebelum menyembunyikannya.

Malah, dia pergi ke sekolah seperti biasa pada keesokan harinya.

Perkara itu terbongkar apabila pelajar itu meminta rakan baiknya membantunya menanam bayi tersebut.

Salah seorang rakannya itu memberitahu ibunya sebelum akhirnya keluarga pelajar itu dimaklumkan dan mayat bayi itu ditemui.

Pelajar itu mendakwa tidak tahu sedang hamil dan menganggap dia sakit perut yang teruk ketika hendak melahirkan bayi itu.

Doktor yang memeriksa mayat bayi itu tidak dapat mengesahkan punca kematian bayi malang itu namun pelajar tersebut mendakwa ada mendengar bayi itu menangis sekejap selepas dilahirkan.

Pelajar yang kini berusia 16 tahun ini mengaku bersalah kepada mahkamah di Manchester kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi.

Kejadian itu berlaku pada Februari 2014, tiga hari sebelum dia menyambut hari lahirnya yang ke-14.

Mahkamah di beritahu pelajar itu menjalin hubungan dengan teman lelakinya yang berakhir kurang setahun sebelum dia melahirkan anak.

Difahamkan pelajar itu dijatuhkan hukuman 10 bulan untuk kerja khidmat masyarakat dan diarahkan membayar kos pendakwaan.