Sunday 7 February 2016

Tahun sukar cari kerja, terutama untuk graduan

Pekerjaan dijangka sukar diperolehi tahun ini disebabkan ekonomi Malaysia yang terkesan kerana kelembapan ekonomi China dan kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Februari, 2016.

Mereka yang sedang mencari pekerjaan akan melalui tempoh sukar mendapatkan peluang itu tahun ini, terutama graduan yang baru menamatkan pengajian, kata pakar kerjaya dan kumpulan majikan sektor swasta, ketika semakin banyak syarikat membekukan pengambilan.

Laman web kerjaya seperti JobStreet.com berkata, banyak syarikat masih mengiklankan kerja kosong pada suku pertama tahun ini, yang dianggap sebagai musim puncak pengambilan.

Laman lain seperti Monster.com bagaimanapun, menjangkakan akan melihat penurunan dalam tawaran kerja pada separuh pertama 2016 berbanding tempoh yang sama pada 2015.


 Penurunan ini bersambung dari suku terakhir 2015, kata Pengarah Monster.com Sanjay Modi, kerana keadaan perniagaan di Malaysia terkesan akibat kelembapan ekonomi China dan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pergantungan negara kepada sektor minyak dan gas juga memberi kesan kepada aktiviti perniagaan dalam banyak sektor, kata Modi, pengarah urusan laman itu bagi India, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Hong Kong.

"Majikan diminta mengenakan dasar pengambilan yang lebih ketat bagi mengoptimumkan sumber organisasi dan mengurangkan kos, ini melembapkan keseluruhan sentimen pengambilan pekerja," kata Modi dalam satu e-mel.

Penurunan di merata tempat


Penurunan terbesar peluang pekerjaan dijangka dalam sektor minyak dan gas, 1 trend yang dapat dilihat di seluruh dunia, kata Modi.

Sektor ini mencatatkan penurunan 30% peluang pekerjaan pada Disember 2015.

"Kami juga menjangkakan akan melihat penurunan dalam sektor logistik, kurier/freight/pengangkutan, perkapalan dan marin, ketika industri maritim terus bergelut dengan permintaan dan perdagangan global yang semakin lemah."

Menurut Monster.com, sektor ini juga menunjukkan penurunan peluang pekerjaan paling mendadak tahun-ke-tahun pada 35% pada Disember 2015.

Sektor lain yang menyaksikan pengurangan dalam pengambilan pekerja ialah hospitaliti pada -34% dan IT pada -33%.

Sektor pemasaran bagaimanapun, mungkin melihat lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia, kata Modi, sambil menambah, daripada semua sektor, ia mencatatkan 1% pertumbuhan tahun-ke-tahun pada bulan Disember 2015.

"Masih terdapat permintaan di Malaysia bagi mereka yang mempunyai 'niche' (bidang khusus), kerana ia lokasi yang menarik untuk syarikat multinasional menubuhkan pusat perkongsian perkhidmatan dan perhubungan mereka.

"Jadi, kita mungkin menyaksikan keperluan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat bagi mengisi jawatan itu pada 2016," katanya.

Tempoh 4 bulan pertama tahun ini mungkin masa terbaik mencari peluang pekerjaan baru.

Pengurus negara Malaysia JobStreet, Chook Yuh Yng berkata, majoriti syarikat dalam semua sektor memaklumkan kekosongan jawatan di laman webnya dengan sejumlah 21,000 iklan.

"Sektor utama ialah pembuatan, perkhidmatan perbankan dan kewangan, pembinaan, teknologi komputer dan maklumat dan peruncitan," kata Chook.

Kajian tinjauan pasaran JobStreet menunjukkan 50% daripada majikan dijangka meningkatkan pengambilan mereka pada suku tahun ini.

"Menjadi satu trend bermusim untuk pekerja menukar pekerjaan selepas menerima bonus, menyebabkan majikan meningkatkan aktiviti pengambilan pekerja bagi mengisi jawatan yang kosong," katanya.

Nasihat pekerjaan

Walaupun masih terdapat peluang pekerjaan di peringkat kemasukan, jawatan pengurusan rendah yang biasanya dipohon graduan universiti akan lebih sukar diperolehi, kata Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

"Oleh kerana syarikat tidak mempunyai wang untuk berkembang berikutan permintaan yang lemah, mereka tidak boleh mewujudkan jawatan ini.

"Itulah sebabnya akan ada peningkatan dalam bilangan siswazah menganggur," kata Shamsuddin.

MEF menganggarkan 63% daripada mereka yang menganggur di Malaysia kini adalah pemegang diploma dan ijazah yang baru menamatkan pengajian dan jumlah ini mungkin meningkat tahun ini.

Modi bersetuju, mengatakan terdapat juga 1 jurang antara bekalan siswazah baru dan pekerjaan yang ada untuk kelayakan mereka.

Mereka yang sedang mencari kerja dan ingin berjaya dalam pasaran yang kompetitif tahun ini perlu menyesuaikan diri, memastikan faktor kestabilan dan tidak membuat keputusan hanya berdasarkan gaji, katanya.

"Mereka tidak perlu bercita-cita terlalu tinggi, harus sentiasa menyasarkan peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan kemahiran sedia ada, atau membenarkan mereka mempelajari kemahiran baru, bagi meningkatkan keupayaan mendapat pekerjaan pada masa akan datang," katanya.

Lepasan sekolah boleh menyertai tenaga kerja bebas (freelance) bagi mengisi keperluan dalam bidang hospitaliti, peruncitan, pentadbiran dan logistik, di mana syarikat yang mahu mengekalkan kos rendah mungkin akan mengambil mereka.

Sekali lagi, peluang untuk mengembangkan kemahiran dan pengalaman perlu direbut, kata Modi.

"Mereka yang dibuang kerja juga digalakkan melihat ke dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bagi mencari peluang pekerjaan kerana kerajaan mempunyai rancangan membantu mereka.

"PKS Malaysia juga sedang melihat kepada usaha mengisi jurang dalam pengurusan mereka dan menyasarkan tenaga kerja berpengalaman yang diberhentikan daripada syarikat-syarikat yang lebih besar," kata Modi.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...