Sunday 28 February 2016

Gencatan senjata Syria bermula

Gencatan senjata itu membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk di kawasan terjejas teruk. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula berkuatkuasa di Syria, tengah malam kelmarin.

Hal ini terbukti apabila bunyi tembakan tidak lagi kedengaran di sekitar pinggir Damsyik dan Aleppo menjelang jam 12 tengah malam (waktu tempatan).

Media tempatan melaporkan, kurang sejam sebelum gencataan dikuatkuasakan, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyokong resolusi yang dirangka oleh Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

“UNSC mengulangi gesaan supaya semua pihak supaya membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar ke seluruh Syria secara cepat dan selamat tanpa sebarang halangan,” menurut resolusi itu.

Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berpusat di Britain mendakwa, Moscow dan rejim Bashar telah melancarkan gelombang serangan ke kawasan puak pemberontak bukan militan sebelum tengah malam.

“Ia adalah serangan udara paling sengit berbanding biasa dan kawasan pemberontak menjadi sasaran utama mereka,” kata ketuanya, Rami Abdel Rahman.

Beberapa hari lalu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dan pembangkang utama juga telah sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata tersebut.

Perjanjian itu disifatkan sebagai usaha diplomatik terbesar setakat ini untuk membantu menghentikan konflik berdarah yang berlarutan selama lima tahun di Syria walaupun ada beberapa pihak meragui keberkesanannya selepas usaha damai sebelum ini menemui jalan buntu.

Difahamkan, hampir 100 kumpulan bersenjata menyatakan persetujuan mereka untuk mengambil bahagian dalam gencatan senjata itu bagi meredakan krisis di Syria.

Jawatankuasa Perundingan Tinggi (HNC) memaklumkan kira-kira 97 puak dan kumpulan bersenjata itu juga bersetuju untuk menghormati gencatan senjata berkenaan selama dua minggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura berkata, beliau bercadang untuk mengemukakan semula rundingan damai pada 7 Mac depan. -Agensi

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...