Thursday, 4 February 2016

Sampai masa kerajaan tidak taja belajar di luar negara

Arshad Ayub

DUNGUN - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula penajaan pelajar bagi peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi luar negara memandangkan universiti dalam negara sudah setanding dengan universiti lain di luar negara.

Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata, berkata sudah sampai masanya untuk kerajaan dan mana-mana pihak yang terlibat menilai semula keperluan itu memandangkan bukan lagi satu keperluan utama.

"Sekarang ini, kita sudah ada universiti yang setanding dengan universiti luar negara dan program pengajian juga sama dengan universiti-universiti tersebut, bahkan tenaga pengajar kita juga semuanya berkaliber dan lulusan luar negara.

"Jadi, sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan tidak lagi menaja pelajar peringkat ijazah pertama ke luar negara kerana pendidikan di negara ini sudah setaraf dengan luar negara...melainkan, kalau program pengajian tidak ada dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada 122 ahli akademik dan kakitangan UiTM Terengganu pada Majlis Hari Inovasi di sini hari ini.

Turut hadir Rektor UiTM Terengganu, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi.

Arshad berkata, kerajaan turut membelanjakan kos yang tinggi untuk menghantar pelajar ke luar negara setiap tahun dan perkara ini perlu dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara  juga tidak menentu.

"Kalau suatu masa dahulu, memang penajaan pelajar ke luar negara dilihat relevan kerana pada masa itu kita tidak mempunyai universiti yang hebat dan tidak ada kepakaran...tetapi itu dahulu, dan sekarang mereka (pelajar) yang dah melanjutkan pelajaran tersebut, dah pulang berkhidmat dan menjadi pakar dalam negara dan kita turut mempunyai empat universiti yang hebat," katanya.

Arshad berkata, empat universiti yang boleh menjadi pilihan utama pelajar bagi melanjutkan pelajaran ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Seharusnya pelajar yang ditaja ke luar negara ini hanya pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dan bukannya di peringkat ijazah pertama kecuali program pengajian tidak ditawarkan dalam negara," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...