Thursday 18 February 2016

KJ Sokong Syor Ahli Parlimen Belia, Kaji Semula Kesalahan Hisap Ganja?


Kuala Lumpur -Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin dikatakan menyokong syor seorang wakil Ahli Parlimen Belia yang mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kesalahan menghisap marijuana atau ganja di negara ini.

Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli ketika membahaskan usul mengenai meningkatkan undang-undang dadah pada sidang Parlimen Belia hari ini berkata, golongan muda tidak menganggap ganja sebagai dadah.

“Ganja bukan dadah… Saya hanya luahkan pendapat belia yang saya temui di peringkat akar umbi,” katanya yang mewakili Selangor itu.

Kenyataan Ridhwan yang dilaporkan oleh portal The Star itu kemudiannya ditweet oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Rata-rata penguna media sosial menyifatkan tindakan KJ itu sebagai tanda menyokong syor yang dikemukakan itu.

Ridhwan turut berkata beliau tidak menyokong amalan menghisap ganja namun menegaskan isu ketagihan ganja di negara ini hanya menyumbang lapan peratus daripada semua jenis ketagihan berbanding 60 peratus daripada morfin dan 30 peratus daripada heroin.

“Mereka kata bahawa ganja adalah sah di Amerika Syarikat dan Australia, yang merupakan sebahagian negara yang menganggotai TPPA.

“Jika demikian, kita harus menyusul dan setanding dengan mereka supaya tidak bertentangan dengan TPPA,” katanya lagi. – SuaraTV


No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...