Monday 22 February 2016

Keris Milik Hang Tuah Ditemui Di Jepun, Pensyarah Mahu Bawa Balik Ke Malaysia


KUALA LUMPUR — Keris milik Hang Tuah yang dipercayai menjadi lambang hubungan diplomasi antara Melaka dengan kerajaan Ryukyu di Jepun akan dibawa pulang ke Malaysia.

Keris itu, yang ditemui pengkaji sejarah Jepun sebelum disimpan di muzium, perlu dikaji lanjut bagi membuktikan pahlawan itu bukan satu mitos, kata pengkaji Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dr Rohaidah Kamaruddin, yang menumpukan kajian terhadap laksamana terbilang itu, berkata ia boleh menjadi bukti penting Hang Tuah pernah ke Jepun sebagai “duta” kerajaan Melayu Melaka.

“Saya akan bekerjasama dengan pengkaji sejarah dari Jepun untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keris terbabit yang belum dipamerkan kepada umum terutama masyarakat di negara ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Melayu UPM itu pernah mendakwa Hang Tuah pernah bertemu Leonardo da Vinci, seniman dan ahli sains terkenal Itali zaman itu.

Baru-baru ini ahli akademik itu menggesa Malaysia membawa pulang meriam-meriam Hang Tuah yang tersadai di pantai Goa, India yang pernah dijadikan kubu pertahanan Portugis.

Rohaidah menjalankan kajiannya bersama Dr Hashim Musa yang dilaporkan berkata surat tulisan Hang Tuah kepada Maharaja Ryukyu pada abad ke-15 ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan.

Profesor itu, yang bertugas jabatan sama di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, berkata surat itu ditulis oleh Hang Tuah bagi pihak sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah.

Rohaidah berkata pengkaji sejarah Jepun menyimpan keris itu sebagai artifak kerajaan Ryukyu dan “usaha membawa pulang khazanah itu masih dalam peringkat perbincangan.”

Pasukan penyelidikannya juga akan pergi ke Istanbul, Turki untuk membuat kajian manuskrip pahlawan Melayu itu yang tersimpan di negara berkenaan.

“Saya difahamkan tiada pihak terutama pengkaji sejarah melihat seterusnya, mengkaji manuskrip berkenaan walaupun ia diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Manuskrip itu menceritakan mengenai Hang Tuah sebagai wakil sultan datang ke negara itu ketika pemerintahan Uthmaniyah iaitu Sultan Muhammad Al Fateh.

“Malah ada juga bukti yang mengatakan anak perempuan Sultan Muhamad Al Fateh berkahwin dengan Sultan Alaudin bagi memperkukuhkan hubungan kedua-dua kerajaan,” katanya.

Rohaidah sebelum ini dilaporkan ke Goa untuk meninjau sendiri beberapa artifak milik Melaka yang dibawa Portugis selepas menewaskan kerajaan Melayu itu.

“Sekurang-kurangnya 10 meriam dipercayai milik kesultanan Melayu Melaka dan pernah digunakan oleh Laksamana Hang Tuah ditemui di Kota Cabo da Rama iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Goa,” beliau dilaporkan berkata.


“Meriam itu mempunyai simbol padi yang diperbuat daripada besi campuran digunakan untuk menangkis serangan musuh.” – MalayMail


No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...